AMOS
Kata Pengantar
Amos ialah nabi pertama di dalam Alkitab yang perkhabarannya dicatat secara terperinci. Dia berasal dari sebuah kota di Yehuda, tetapi dia berkhutbah kepada orang Israel di kerajaan bahagian utara Israel pada kira-kira pertengahan abad kelapan Sebelum Masihi. Pada masa itu banyak orang hidup makmur dan mementingkan ibadat; negeri Israel nampaknya aman, tetapi Amos melihat bahawa yang menikmati kemakmuran hanya orang kaya yang memperoleh kekayaan daripada penindasan dan ketidakadilan terhadap orang miskin. Orang menjalankan ibadat dengan hati yang tidak ikhlas, sehingga keadaan aman kelihatan dari luar sahaja dan tidak sungguh-sungguh. Dengan berani dan penuh semangat, Amos menyampaikan perkhabaran bahawa Allah akan menghukum bangsa Israel. Amos melaungkan agar “keadilan mengalir seperti sungai.” Dia berkata, “Mungkin TUHAN akan mengasihani orang Israel yang masih hidup” (5.15).
Kandungan
Hukuman atas Negara-Negara Jiran Israel 1.1—2.5
Hukuman atas Israel 2.6—6.14
Lima Penglihatan 7.1—9.15
1
1 Inilah kata-kata Amos, seorang gembala domba dari kota Tekoa. Dua tahun sebelum gempa bumi berlaku, ketika negeri Yehuda diperintah oleh Raja Uzia dan Israel diperintah oleh Raja Yerobeam putera Raja Yehoas, Allah menyatakan perkara-perkara tentang Israel kepada Amos. +
2 Inilah yang dikatakan oleh Amos,
“TUHAN bertempik dari Bukit Sion,
suara-Nya bergemuruh dari Yerusalem.
Padang rumput menjadi gersang,
rumput di Gunung Karmel menjadi kering.” +
Hukuman Allah atas Negara-Negara Jiran Israel
Siria
3 TUHAN berfirman, “Penduduk Damsyik sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka memperlakukan orang Gilead dengan sangat kejam.
4 Oleh itu Aku akan mengirim api ke istana yang dibina oleh Raja Hazael dan membakar kubu-kubu Raja Benhadad.
5 Aku akan merosakkan pintu gerbang Damsyik, dan menyingkirkan penduduk Lembah Awen dari tempat tinggal mereka. Penguasa Bet-Eden akan Kuturunkan dari takhta, dan penduduk Siria akan ditawan serta dibuang ke negeri Kir.” +
Filistin
6 TUHAN berfirman, “Penduduk Gaza sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka sudah menawan semua orang daripada satu bangsa, dan menjual bangsa itu sebagai abdi kepada orang Edom.
7 Oleh itu Aku akan mengirim api ke tembok kota Gaza dan menghanguskan semua kubunya.
8 Aku akan melucutkan kuasa para penguasa kota Asdod dan Askelon. Aku akan menghukum kota Ekron dan membinasakan semua orang Filistin yang masih hidup.” +
Tirus
9 TUHAN berfirman, “Penduduk Tirus sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Mereka sudah membawa semua orang daripada satu bangsa ke pembuangan di negeri Edom; mereka tidak menepati perjanjian persahabatan yang dibuat oleh mereka.
10 Oleh itu Aku akan mengirim api ke tembok kota Tirus dan membakar kubu-kubunya.” +
Edom
11 TUHAN berfirman, “Penduduk Edom sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Tanpa belas kasihan, mereka sudah memburu orang Israel, saudara mereka.a Mereka terus-menerus marah dan tetap mendendam.
12 Oleh sebab itu Aku akan mengirim api ke kota Teman dan membakar kubu-kubu Bozra.” +
Amon
13 TUHAN berfirman, “Penduduk Amon sudah berkali-kali berdosa, oleh itu Aku pasti akan menghukum mereka. Ketika mereka berperang untuk meluaskan wilayah, mereka membelah perut wanita-wanita hamil di Gilead.
14 Oleh itu, Aku akan mengirim api ke tembok kota Raba dan menghanguskan semua kubunya. Pada masa itu akan terdengar keriuhan pertempuran dan peperangan akan memuncak seperti angin ribut.
15 Raja mereka dan para pegawai kerajaan akan ditawan dan di buang negeri.” +
+ 1:1 2 Raj 15.1-7; 2 Taw 26.1-23; 2 Raj 14.23-29
+ 1:2 Yl 3.16
+ 1:5 Yes 17.1-3; Yer 49.23-27; Za 9.1
+ 1:8 Yes 14.29-31; Yer 47.1-7; Yeh 25.15-17; Yl 3.4-8; Zef 2.4-7; Za 9.5-7
+ 1:10 Yes 23.1-18; Yeh 26.1—28.19; Yl 3.4-8; Za 9.1-4; Mat 11.21-22; Luk 10.13-14
a 1:11 saudara mereka: Orang Israel ialah keturunan Yakub, saudara Esau. Esau ialah nenek moyang orang Edom.
+ 1:12 Yes 34.5-17, 63.1-6; Yer 49.7-22; Yeh 25.12-14, 35.1-15; Ob 1-14; Mal 1.2-5
+ 1:15 Yer 49.1-6; Yeh 21.28-32, 25.1-7; Zef 2.8-11