Panggilan untuk Bertaubat
5
1 Dengarlah, hai umat Israel! Aku hendak menyanyikan lagu perkabungan untuk kamu:
2 Israel, anak dara itu sudah jatuh,
dia tidak akan bangkit lagi!
Dia dibiarkan terlantar di tanahnya sendiri,
tiada sesiapa yang menolongnya berdiri.
3 TUHAN Raja berfirman, “Sebuah kota di Israel mengerahkan seribu orang askar, tetapi hanya seratus orang yang kembali. Kota yang lain mengerahkan seratus orang, tetapi hanya sepuluh orang yang kembali.”
4 TUHAN berfirman kepada umat Israel, “Kembalilah kepada-Ku, maka kamu akan hidup.
5 Jangan pergi ke Bersyeba untuk beribadat. Jangan cari Aku di Betel kerana Betel akan lenyap. Jangan pergi ke Gilgal, kerana penduduk kota itu akan dibuang negeri.”
6 Kembalilah kepada TUHAN, maka kamu akan hidup. Jika kamu tidak kembali kepada-Nya, Dia akan datang seperti api yang menyala-nyala kepada umat Israel. Api akan membakar penduduk Betel dan tiada seorang pun dapat memadamkan api itu.
7 Alangkah malangnya kamu yang memutarbalikkan keadilan dan merampas hak orang!
8 TUHAN mencipta bintang-bintang di angkasa -
bintang Orion dan bintang Kartika.
Dia mengubah kegelapan menjadi cahaya,
dan mengubah siang menjadi malam.
Dia memanggil air dari lautan
dan mencurahkan air itu ke daratan.
TUHAN itulah nama-Nya. +
9 Dia membinasakan orang perkasa,
dan memusnahkan pertahanan mereka.
10 Kamu membenci orang yang menentang ketidakadilan dan yang berkata benar di tempat pengadilan.
11 Kamu menindas orang miskin dan merampas gandum mereka. Oleh itu kamu tidak akan tinggal di dalam rumah mewah daripada batu, yang sudah kamu bina. Kamu tidak akan minum wain dari ladang anggur kamu yang indah.
12 Aku tahu betapa dahsyatnya dosa kamu dan betapa banyaknya jenayah yang kamu lakukan. Kamu menganiaya orang baik, menerima rasuah, dan menghalang orang miskin daripada mendapat keadilan di tempat pengadilan.
13 Oleh sebab perbuatan kamu itu, maka orang bijaksana berfikir lebih baik berdiam diri sahaja pada masa yang jahat seperti itu.
14 Berusahalah untuk berbuat baik dan jangan berbuat jahat, supaya kamu hidup. Maka TUHAN Allah Yang Maha Kuasa akan sungguh-sungguh menyertai kamu seperti yang kamu katakan.
15 Bencilah kejahatan, cintailah kebaikan, dan tegakkanlah keadilan di mahkamah. Mungkin TUHAN akan mengasihani orang Israel yang masih hidup.
16 Oleh itu TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Di jalan-jalan kota, orang akan meratap dan menangis kerana sedih. Bahkan petani-petani pun akan dipanggil untuk ikut meratap bersama dengan orang yang diupah untuk meratapi orang mati.
17 Orang akan meratap di semua ladang anggur kerana Aku datang untuk menghukum kamu.” Demikianlah firman TUHAN.
18 Alangkah malangnya kamu yang menanti-nantikan Hari TUHAN! Apakah gunanya hari itu bagi kamu? Hari itu hanya merupakan hari yang gelap dan bukan hari yang terang bagi kamu.
19 Keadaannya seperti orang yang melarikan diri dari singa, lalu bertemu dengan beruang; atau seperti orang yang pulang ke rumah dan meletakkan tangannya pada tembok, lalu dipatuk ular!
20 Hari TUHAN itu akan membawa kegelapan dan bukan cahaya; hari itu akan suram, tanpa cahaya sama sekali.
21 TUHAN berfirman, “Aku benci dan muak dengan perayaan agama kamu; Aku jemu melihatnya!
22 Apabila kamu mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHANd dan korban untuk mengucap syukure kepada-Ku, Aku tidak akan menerimanya. Aku tidak akan menerima ternak yang gemuk, yang kamu persembahkan sebagai korban untuk memohon berkat,f kepada-Ku. +
23 Hentikanlah nyanyian kamu yang membisingkan itu; Aku tidak mahu mendengar permainan kecapi kamu.
24 Sebaliknya, berusahalah supaya keadilan mengalir seperti sungai, dan kejujuran mengalir seperti air yang tidak pernah kering.
25 Hai umat Israel, pada masa Aku memimpin kamu melalui padang gurun selama empat puluh tahun, Aku tidak menuntut persembahan dan korban daripada kamu.
26 Tetapi sekarang kamu menyembah Sakut yang kamu anggap raja dan Kewan, bintang yang kamu dewa-dewakan itu. Oleh itu kamu sendiri harus mengangkut patung-patung itu,
27 apabila Aku membuang kamu ke suatu negeri yang lebih jauh dari Damsyik.” Demikianlah firman TUHAN yang bernama Allah Yang Maha Kuasa. +