Buah-buahan di dalam Bakul
8
1 Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada TUHAN Raja. Aku nampak buah-buahan di dalam bakul.
2 TUHAN bertanya, “Amos, apakah yang engkau nampak?”
Aku menjawab, “Buah-buahan di dalam bakul.”
TUHAN berfirman kepadaku, “Kesudahanj umat-Ku Israel sudah tiba. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka.
3 Pada hari itu nyanyian di istana akan menjadi ratapan. Mayat akan berselerak di merata-rata tempat. Mayat-mayat itu akan dibuang dengan diam-diam.”k
Israel Dihukum
4 Dengarlah, kamu yang menindas orang yang serba kekurangan dan membinasakan orang miskin di negeri ini.
5 Kamu berkata, “Bilakah hari perayaan selesai supaya kita dapat menjual gandum lagi? Lama betul perayaan ini. Bilakah hari Sabat berlalu supaya kita dapat berjualan lagi? Kemudian kita akan meminta harga yang berlebih-lebihan. Kita akan menggunakan sukatan dan timbangan yang tidak tepat untuk menipu pelanggan.
6 Kita akan menjual gandum yang rosak dengan harga tinggi. Kita akan mencari seorang miskin yang tidak mampu membayar hutang, walaupun hutang itu hanya seharga sepasang selipar, lalu kita akan membeli orang itu sebagai hamba.”
7 TUHAN, Allah Israel sudah bersumpah, “Sekali-kali Aku tidak akan melupakan perbuatan mereka yang jahat.
8 Oleh itu bumi akan gempa dan semua orang di negeri itu gelisah. Seluruh negeri akan goncang; bumi akan naik turun seperti Sungai Nil.
9 Masanya akan tiba apabila Aku menyebabkan matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menjadi gelap pada siang hari. Aku, TUHAN Raja sudah berfirman.
10 Perayaan kamu akan Kujadikan perkabungan, dan nyanyian gembira kamu Kujadikan ratapan. Aku akan menyebabkan kamu mencukur rambut sebagai tanda sedih, dan memakai kain guni. Kamu akan menjadi seperti ibu bapa yang meratapi kematian anak lelaki tunggal. Hari itu akan berakhir dengan penuh kesedihan.
11 Masanya akan tiba apabila Aku mendatangkan kebuluran di negeri ini. Orang akan lapar, tetapi tidak lapar akan makanan. Orang akan dahaga, tetapi tidak dahaga akan air. Mereka lapar dan dahaga akan perkhabaran daripada TUHAN. Aku, TUHAN Raja, sudah berfirman.
12 Orang akan mengembara dari Laut Mati ke Laut Tengah, dan selanjutnya dari utara ke timur. Di merata-rata tempat mereka akan mencari perkhabaran daripada TUHAN, tetapi mereka tidak akan mendapatnya.
13 Pada hari itu kelak, orang lelaki dan perempuan yang muda dan sihat pun akan pengsan kerana dahaga.
14 Orang yang bersumpah demi berhala-berhala Samaria, dengan berkata, ‘Demi dewa di Dan’ atau ‘Demi dewa di Bersyeba’, akan jatuh dan tidak bangun lagi.”