Membuat Tuntutan Mahkamah terhadap Saudara Seiman
6
1 Jika seseorang di kalangan kamu bersengketa dengan saudara seiman, dia seharusnya tidak membawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah. Dia harus meminta umat Allah menyelesaikan perkara itu.
2 Kamu tentu tahu bahawa umat Allah akan mengadili dunia ini! Jika kamu akan mengadili dunia ini, kamu tentu dapat mengadili perkara yang kecil.
3 Kamu tentu tahu bahawa kita akan mengadili malaikat-malaikat! Oleh itu kita harus dapat mengadili perkara kehidupan sehari-hari!
4 Jika timbul perkara seperti itu, adakah kamu akan mengemukakannya kepada orang yang sama sekali tidak mempunyai kedudukan di kalangan jemaah?
5 Sungguh memalukan! Setidak-tidaknya tentu ada seorang di kalangan kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan persengketaan antara sesama orang Kristian.
6 Tetapi sebaliknya, seorang Kristian membawa seorang saudara seiman ke mahkamah, dan meminta orang bukan Kristian menyelesaikan perkara mereka.
7 Sebenarnya persengketaan di kalangan kamu yang memerlukan penyelesaian mahkamah, menunjukkan bahawa kamu tidak hidup berdasarkan ajaran Kristus. Lebih baiklah kamu diperlakukan dengan tidak adil atau dirugikan.
8 Tetapi kamu sendiri yang memperlakukan orang lain dengan tidak adil, dan kamu sendiri yang merugikan orang lain. Bahkan kamu melakukannya terhadap saudara seiman!
9 Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Allah tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Janganlah tipu diri kamu sendiri. Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit,
10 atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak - semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah.
11 Demikianlah keadaan beberapa orang antara kamu dahulu. Tetapi Tuhan Yesus Kristus dan kuasa Roh daripada Allah kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Allah, dan membolehkan kamu berbaik semula dengan Allah.
Gunakanlah Tubuh Kamu untuk Memuliakan Allah
12 Mungkin seseorang berkata, “Aku dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah bagi kita. Aku pun dapat berkata bahawa aku dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan sesuatu pun memperhamba diriku. +
13 Seorang lain berkata, “Makanan untuk perut dan perut untuk makanan.” Betul, tetapi Allah akan meniadakan kedua-duanya. Tubuh kita tidak boleh digunakan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, dan Tuhan akan memelihara tubuh kita.
14 Allah sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, demikian juga Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
15 Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu anggota tubuh Kristus. Oleh itu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus lalu menjadikannya anggota tubuh seorang pelacur? Sekali-kali tidak!
16 Atau mungkinkah kamu tidak tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur, menjadi satu dengan pelacur itu? Di dalam Alkitab tertulis dengan jelas, “Kedua-duanya menjadi satu.” +
17 Tetapi seseorang yang menyatukan diri dengan Tuhan, roh orang itu menjadi satu dengan Roh Tuhan.
18 Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri!
19 Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah.B Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. +
20 Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.