Tentang Makanan yang Dipersembahkan kepada Berhala
8
1 Sekarang aku membincangkan hal makanan yang dipersembahkan kepada berhala.
Memang benar seperti kata orang, “Kita semua mempunyai pengetahuan.” Tetapi pengetahuan menjadikan orang sombong, sedangkan kasih membina kehidupan orang.
2 Sesiapa yang menyangka dirinya mengetahui segala-galanya, sebenarnya tidak mengetahui apa yang seharusnya diketahui.
3 Tetapi orang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah.
4 Sekarang tentang persoalan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak wujud. Kita juga tahu bahawa Allah hanya satu; tidak ada yang lain.
5 Sekalipun banyak yang disebut dewa dan tuhan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi,
6 tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup. Tuhan hanya satu juga, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia segala sesuatu diciptakan, dan kerana Dialah kita hidup.
7 Tetapi tidak semua orang mengetahui hal itu. Ada orang yang dahulu biasa menyembah berhala, sehingga apabila sekarang mereka makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, mereka masih berfikir bahawa makanan itu makanan berhala. Mereka merasa berdosa ketika makan makanan itu, kerana keyakinan mereka tidak teguh.
8 Sebenarnya makanan tidak dapat membuat hubungan kita dengan Allah menjadi lebih baik. Kita tidak akan rugi apa-apa jika kita tidak makan makanan itu dan kita pun tidak akan untung apa-apa jika kita memakannya.
9 Tetapi berwaspadalah! Janganlah biarkan kebebasan kamu untuk melakukan apa sahaja, menyebabkan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, berdosa.
10 Andaikata seseorang yang keyakinannya tidak teguh melihat kamu yang dikatakan ‘berpengetahuan’ makan di kuil berhala, bukankah hal itu akan mendorong dia makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala?
11 Dengan demikian ‘pengetahuan’ kamu itu menyebabkan saudara kamu binasa, kerana keyakinannya tidak teguh. Padahal Kristus mati bagi dia juga.
12 Oleh itu kamu berdosa terhadap Kristus, kerana kamu berdosa terhadap saudara-saudara Kristian dan melukai keyakinan mereka yang tidak teguh itu.
13 Oleh itu, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi. Dengan demikian aku tidak akan menyebabkan saudaraku berdosa.