Amaran Terakhir dan Salam
13
1 Inilah kali ketiga aku akan datang melawat kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Setiap tuduhan harus didukung oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.” +
2 Ketika aku melawat kamu pada kali kedua, aku sudah memperingatkan mereka yang telah berbuat dosa dan semua orang yang lain. Sekarang sementara aku jauh daripada kamu, aku memperingatkan kamu sekali lagi. Apabila aku datang kelak, tidak seorang pun akan terlepas daripada hukuman.
3 Kamu akan mendapat segala bukti yang kamu inginkan bahawa Kristus benar-benar berfirman melalui aku. Apabila Dia bertindak terhadap kamu, Dia tidak lemah; sebaliknya Dia menunjukkan kuasa-Nya di kalangan kamu.
4 Meskipun Kristus lemah pada masa Dia disalibkan, tetapi sekarang Dia hidup dengan kuasa Allah. Kami pun lemah dalam hidup kami yang bersatu dengan Kristus. Tetapi apabila kami menghadapi kamu, kami akan mendapat kuasa Allah kerana kami bersatu dengan Kristus.
5 Ujilah diri kamu sendiri sama ada kamu betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Tentu kamu tahu bahawa Kristus Yesus hidup dalam diri kamu, kecuali kamu tidak lagi percaya kepada-Nya.
6 Aku harap kamu tahu bahawa kami telah diuji dan kami benar-benar rasul yang sejati.
7 Kami berdoa kepada Allah semoga Dia menolong kamu supaya tidak berbuat salah. Yang penting adalah kamu melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, dan bukan supaya nampaknya kami ini berjaya. Tidak mengapalah jika kami nampaknya gagal dalam tugas kami.
8 Kami tidak dapat melakukan hal-hal yang bertentangan dengan yang benar, kami hanya dapat melakukan yang benar.
9 Kami bergembira apabila kami lemah, tetapi kamu kuat. Kami berdoa supaya kamu menjadi sempurna.
10 Itulah sebabnya aku menulis surat ini sementara aku masih jauh daripada kamu. Apabila aku datang kelak, aku tidak perlu bertindak keras terhadap kamu dengan menggunakan kekuasaan yang diberikan oleh Tuhan kepadaku. Kekuasaan itu diberikan untuk membina kamu, bukan untuk meruntuhkan kamu.
11 Akhirnya, saudara-saudaraku, bersukacitalah!o Berusahalah untuk menjadi sempurna; terimalah nasihatku. Hendaklah kamu sehati dan hidup rukun. Allah yang mengasihi kita dan mengurniai kita kedamaian akan menyertai kamu.
12 Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara seiman.
Jemaah Allah di sini mengirim salam kepada kamu.
13 Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu, Allah mengasihi kamu, dan Roh Allah menyertai kamu semua.