Harta Rohaniah di dalam Bekas Tanah
4
1 Kami tahu bahawa kerana belas kasihan Allah, Dia sudah mengurniai kami tugas ini. Oleh itu kami tidak patah semangat.
2 Kami tidak menggunakan cara gelap yang memalukan; kami tidak berusaha untuk menipu orang ataupun memutarbalikkan firman Allah. Allah saksi kami bahawa kami mengisytiharkan ajaran benar daripada Berita Baike secara terang-terang. Dengan perbuatan itu, kami berharap semua orang akan menilai kami dengan baik dalam hati mereka.
3 Jika Berita Baik yang kami khabarkan itu sukar difahami, maka hanya mereka yang sedang menuju kepada kebinasaan tidak memahaminya.
4 Mereka tidak mahu percaya kepada berita yang kami khabarkan, kerana Iblis yang menguasai dunia ini menjadikan fikiran mereka tertutup. Mereka tidak dapat melihat cahaya yang menyinari mereka. Cahaya itu daripada Berita Baik tentang kemuliaan Kristus, yang merupakan gambaran Allah.
5 Kami tidak menyampaikan berita tentang diri kami sendiri. Kami mengisytiharkan Yesus Kristus itu Tuhan, dan kami ini hamba kamu kerana Yesus.
6 Allah yang berfirman, “Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.” Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus. +
7 Tetapi kami yang memiliki harta rohaniah ini, seperti bekas yang dibuat daripada tanah. Dengan demikian nyatalah bahawa kekuasaan tertinggi dimiliki oleh Allah, bukan kami.
8 Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan.
9 Banyak orang memusuhi kami, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa.
10 Kami selalu menghadapi ancaman hukuman mati seperti yang dialami oleh Yesus, supaya kehidupan-Nya pun nyata pada tubuh kami.
11 Sepanjang hidup kami, kami sentiasa diancam oleh kematian kerana Yesus, supaya kehidupan Yesus pun nyata pada tubuh kami yang fana.
12 Hal ini bererti bahawa kami sentiasa menghadapi ancaman kematian, tetapi kamu mendapat hidup.
13 Di dalam Alkitab tertulis, “Aku berkata-kata kerana aku percaya kepada Allah.” Dengan kepercayaan seperti itu, kami pun berkata-kata kerana kami percaya. +
14 Kami tahu bahawa Allah yang sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, akan membangkitkan kami juga dengan Yesus, dan membawa kamu serta kami ke hadirat Yesus.
15 Semua ini untuk kebaikan kamu. Kerana semakin banyak orang mengalami rahmat Allah, semakin banyak pula doa kesyukuran yang disampaikan kepada Allah. Dengan demikian Allah dimuliakan.
Hidup dengan Beriman
16 Itulah sebabnya kami tidak tawar hati. Meskipun tubuh kami ini menjadi reput, tetapi batin kami dibaharui setiap hari.
17 Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal. Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu.
18 Hal itu demikian kerana kami menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan, dan bukan kepada apa yang kelihatan. Apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya.