Derma daripada Orang Kristian
8
1 Saudara-saudaraku, kami hendak kamu tahu bahawa Allah sangat baik kepada jemaah di Makedonia.
2 Mereka sudah diuji dengan kesusahan yang berat, tetapi mereka sentiasa bersukacita. Mereka sangat miskin, tetapi mereka sangat murah hati.
3 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi menurut kemampuan mereka, bahkan lebih daripadanya. Dengan kehendak mereka sendiri,
4 mereka meminta dan merayu kepada kami supaya dibenarkan membantu umat Allah di Yudea. +
5 Pemberian mereka itu melebihi apa yang kami harapkan! Mula-mula mereka menyerahkan diri kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga, sesuai dengan kehendak Allah.
6 Oleh itu kami menggesa Titus yang memulakan usaha mengumpulkan wang derma di kalangan kamu, supaya dia meneruskan usaha itu dan menyelesaikannya.
7 Kamu unggul dalam semuanya: dalam kepercayaan kamu kepada Kristus, usaha kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik, pengetahuan kamu tentang yang benar, usaha kamu untuk menolong, dan kasih kamu kepada kami.j Oleh itu, kami juga ingin kamu unggul dalam usaha kamu yang baik ini.
8 Apa yang aku katakan itu bukanlah suatu perintah. Tetapi dengan menunjukkan betapa giatnya jemaah di Makedonia menolong orang lain, aku berharap kasih kamu yang sejati pun akan nyata.
9 Kamu tahu bahawa kita sangat dikasihi oleh Yesus Kristus Tuhan kita. Meskipun Dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan kamu, supaya dengan kemiskinan-Nya itu, kamu menjadi kaya.
10 Menurut pendapatku, lebih baik kamu selesaikan apa yang kamu mulakan pada tahun lalu. Kamulah yang pertama kali merancangkan dan memulakan usaha itu.
11 Teruskanlah dan selesaikanlah usaha itu. Semoga kamu sangat berminat menyelesaikannya sebagaimana kamu sangat berminat mencadangkannya dahulu. Berilah derma menurut kemampuan kamu.
12 Jika kamu sangat berminat memberi derma, Allah akan menerima pemberian kamu berdasarkan apa yang kamu miliki, bukan apa yang tidak kamu miliki.
13-14 Aku tidak berniat meringankan beban orang lain dengan memberatkan beban kamu. Pada masa ini kamu berkecukupan, maka sepatutnya kamu membantu mereka yang berkekurangan. Begitu juga apabila kamu berkekurangan dan mereka berkecukupan, mereka akan membantu kamu. Dengan demikian kedua-dua belah pihak mendapat layanan yang sama.
15 Di dalam Alkitab tertulis,
“Orang yang mengumpulkan banyak makanan,
tidak berkelebihan,
dan orang yang mengumpulkan sedikit makanan,
tidak berkekurangan.” +
Titus dan Sahabat-sahabatnya
16 Kami bersyukur kepada Allah yang sudah menyebabkan Titus sangat ingin menolong kamu, seperti kami juga!
17 Bukan sahaja dia rela memenuhi permintaan kami, tetapi dia juga sangat ingin menolong kamu sehingga dengan kemahuannya sendiri dia membuat keputusan untuk pergi kepada kamu.
18 Bersama dengan dia kami mengutus seorang saudara seiman yang sangat dihormati oleh jemaah di pelbagai tempat kerana pekerjaannya mengkhabarkan Berita Baik.
19 Lagi pula dia sudah dipilih dan dilantik oleh jemaah di wilayah Makedonia untuk menyertai kami dalam perjalanan kami. Dia akan menolong kami mengurus wang derma yang kami kumpulkan untuk memuliakan Tuhan, dan untuk menunjukkan bahawa kami ingin menolong.
20 Kami sangat berhati-hati mengurus wang derma yang besar jumlahnya itu, supaya tidak sesiapa pun dapat mencela kami.
21 Kami bertujuan melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia. +
22 Bersama dengan Titus dan saudara itu, kami juga mengutus seorang saudara seiman yang lain. Kami sudah menguji dia berkali-kali dan ternyata dia sentiasa ingin menolong. Sekarang dia lebih lagi ingin menolong kamu, kerana dia mempunyai keyakinan terhadap kamu.
23 Titus itu rakanku dan bekerja bersama-sama aku untuk menolong kamu. Kedua-dua orang saudara yang pergi bersama-sama dia mewakili jemaah di sini, dan kerja mereka mendatangkan kemuliaan bagi Kristus.
24 Tunjukkanlah kasih kamu kepada mereka, supaya jemaah yang mengutus mereka akan mengetahui hal itu. Dengan demikian terbuktilah bahawa apa yang kami banggakan tentang kamu itu benar.