Penglihatan Daniel tentang Domba Jantan dan Kambing Jantan
8
1 Pada tahun ketiga pemerintahan Raja Belsyazar, aku nampak penglihatan kedua.u
2 Dalam penglihatan itu, tiba-tiba aku dapati diriku di wilayah Elam, di Susan, ibu kota Persia. Aku berdiri dekat Sungai Ulai.
3 Di tepi sungai itu aku nampak seekor domba jantan yang mempunyai dua buah tanduk yang panjang: yang satu lebih panjang dan lebih baru daripada yang lain.
4 Aku nampak domba jantan itu menanduk ke arah barat, utara, dan selatan. Tiada binatang sanggup menghalanginya, ataupun melarikan diri daripada kuasanya. Domba jantan itu berbuat sesuka hati dan bertambah sombong.
5 Sementara aku memandang, seekor kambing jantan meluru dari barat dan melintasi bumi dengan amat laju sehingga kakinya tidak lagi menyentuh tanah. Kambing jantan itu mempunyai sebuah tanduk yang menonjol di antara dua matanya.
6 Kambing jantan itu datang kepada domba jantan yang aku nampak berdiri di tepi sungai itu, lalu menyerang domba jantan itu dengan segala kekuatannya.
7 Aku melihat kambing jantan menyerang domba jantan dengan begitu ganas sehingga menyondol kedua-dua tanduk domba jantan itu dan mematahkannya. Domba jantan itu tidak berdaya mempertahankan diri, lalu jatuh ke tanah dan dipijak-pijak. Tiada sesiapa pun dapat menyelamatkannya.
8 Kambing jantan itu semakin sombong, tetapi apabila kambing jantan itu sampai pada kemuncak kekuasaannya, tanduknya patah. Sebagai gantinya, muncul pula empat buah tanduk yang menonjol dan menunjuk ke arah yang berlainan.
9 Satu daripada empat buah tanduk itu tiba-tiba menumbuhkan sebuah tanduk yang kecil, dan kuasa tanduk kecil itu meluas ke arah selatan, timur, dan ke arah tanah yang permai.v
10 Tanduk itu menjadi begitu kuat sehingga dapat menyerang bala tentera syurga. Beberapa di kalangan bala tentera syurga dan bintang-bintang dijatuhkannya ke bumi, lalu dipijak-pijaknya. +
11 Tanduk kecil itu juga berani mencabar Panglima bala tentera syurga, menghentikan korban harian yang dipersembahkan kepada Panglima itu, dan menajiskan Rumah TUHAN.
12 Di situ orang melakukan dosa dan tidak lagi mempersembahkan korban-korban harian yang diwajibkan. Hal yang benar tentang Allah dipandang hina. Tanduk kecil itu berjaya dalam segala usahanya.
13 Kemudian aku mendengar satu malaikat bertanya kepada malaikat yang lain, “Berapa lamakah perkara yang dilihat dalam penglihatan itu akan berlangsung? Berapa lamakah dosa yang keji akan menggantikan korban harian? Berapa lamakah bala tentera syurga dan Rumah TUHAN akan diinjak-injak?”
14 Aku mendengar malaikat yang lain menjawab, “Hal itu akan berlaku selama 1,150 hari, dan selama itu korban pagi dan korban petang tidak akan dipersembahkan. Selepas itu Rumah TUHAN akan dipulihkan.”
Malaikat Gabriel Mentafsirkan Penglihatan itu
15 Ketika aku sedang berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku.
16 Aku mendengar suara dari Sungai Ulai berkata, “Gabriel, terangkanlah makna penglihatan itu kepadanya.” +
17 Gabriel mendekati aku dan berdiri di sisiku. Aku begitu takut sehingga aku meniarapkan diri.
Gabriel berkata kepadaku, “Hai manusia fana, fahamilah maknanya. Penglihatan itu tentang akhir zaman.”
18 Sedang dia bercakap, aku jatuh ke tanah dan tidak sedar. Tetapi dia memegang aku, dan menolong aku berdiri.
19 Katanya lagi, “Aku akan memberitahu engkau keadaannya kelak sebagai akibat kemurkaan Allah. Penglihatan itu tentang akhir zaman.
20 Domba jantan yang mempunyai dua buah tanduk, yang kamu nampak itu melambangkan kerajaan Media dan Persia.
21 Kambing jantan itu melambangkan kerajaan Yunani, dan tanduk yang menonjol di antara dua matanya melambangkan raja yang pertama.
22 Empat buah tanduk yang muncul selepas tanduk yang pertama itu patah, bermakna kerajaan Yunani akan terpecah menjadi empat kerajaan yang tidak sekuat kerajaan yang pertama itu.
23 Apabila keruntuhan keempat-empat kerajaan itu telah dekat sehingga harus dihukum, dan kejahatan di situ telah memuncak, maka akan muncul seorang raja yang keras kepala, jahat, dan licik.
24 Dia akan menjadi kuat, tetapi bukan dengan kuasanya sendiri. Dia akan menyebabkan kebinasaan yang mengerikan, dan akan berjaya dalam segala usahanya. Dia akan membinasakan orang yang gagah perkasa, dan umat Allah juga.
25 Oleh kerana kelicikannya, dia akan berjaya dalam segala penipuannya. Dia akan berbangga dengan dirinya, dan membinasakan banyak orang tanpa memberikan amaran. Malahan dia akan berani mencabar Raja Yang Maha Besar. Tetapi dia akan dibinasakan tanpa kuasa manusia.
26 Penglihatan tentang korban pagi dan korban petang yang telah dinyatakan kepadamu itu juga akan berlaku. Tetapi rahsiakanlah hal itu, kerana masih lama lagi sebelum hal-hal itu berlaku.”
27 Aku merasa lemah lalu jatuh sakit selama beberapa hari. Selepas itu aku bangun lalu kembali melakukan pekerjaan yang ditugaskan raja. Aku gelisah memikirkan penglihatan itu dan tidak dapat memahaminya.