ULANGAN
Kata Pengantar
Kitab Ulangan disusun sebagai satu siri ucapan Musa kepada umat Israel ketika mereka di tanah Moab. Mereka berhenti di tempat itu selepas mengakhiri perjalanan jauh melalui padang gurun, dan tidak lama lagi akan masuk ke Kanaan untuk menduduki tanah itu.
Beberapa perkara yang penting sekali di dalam kitab ini adalah: (1) Musa mengingatkan umat Israel akan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku selama empat puluh tahun yang lalu. Dia berseru kepada umat Israel supaya ingat akan pimpinan Allah bagi mereka ketika melalui padang gurun, dan agar mereka taat dan setia kepada Allah. (2) Musa mengulangi Sepuluh Hukum dan menegaskan makna Hukum Pertama. Dia berseru kepada umat Israel supaya mengabdi kepada Tuhan sahaja. Kemudian Musa mengulangi beberapa hukum yang akan mengatur kehidupan umat Israel di tanah yang dijanjikan. (3) Musa mengingatkan umat Israel akan makna perjanjian Allah dengan mereka. Dia berseru kepada umat itu supaya membaharui kerelaan mereka untuk memenuhi tuntutan perjanjian itu. (4) Yosua dilantik sebagai pengganti Musa untuk memimpin umat Allah. Setelah menyanyikan sebuah lagu pujian bagi kesetiaan Allah, dan sesudah memberkati setiap suku Israel, Musa meninggal di tanah Moab, di sebelah timur Sungai Yordan.
Inilah tema utama kitab ini: Allah telah menyelamatkan dan memberkati umat pilihan-Nya, umat yang dikasihi-Nya. Umat Israel tidak boleh lupa akan hal itu. Mereka mesti mentaati Allah, supaya mereka hidup dan sentiasa diberkati.
Ayat-ayat utama di dalam kitab ini ialah 6.4-6. Ayat-ayat ini disebut oleh Yesus sebagai hukum yang terutama, “Kasihilah TUHAN Allah kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu.”
Kandungan
Ucapan Musa yang Pertama 1.1—4.49
Ucapan Musa yang Kedua 5.1—26.19
a. Sepuluh Hukum Allah 5.1—10.22
b. Hukum, Peraturan, dan Amaran 11.1—26.19
Petunjuk untuk Pergi ke Tanah Kanaan 27.1—28.68
Perjanjian Dibaharui 29.1—30.20
Ucapan Musa yang Terakhir 31.1—33.29
Musa Meninggal 34.1-12
Pendahuluan
1
1 Kitab ini mengandungi kata-kata yang disampaikan oleh Musa kepada umat Israel semasa mereka di padang gurun di Lembah Yordan. Lembah itu terletak di sebelah timur Sungai Yordan, dekat kota Suf, di antara kota Paran di satu sisi dan kota Tofel, Laban, Hazerot, dan Di-Zahab di sisi lain. (
2 Perjalanan dari Gunung Sinai ke Kades-Barnea melalui daerah perbukitan Edom, memakan waktu sebelas hari.)
3 Pada hari pertama bulan kesebelas dalam tahun keempat puluh selepas mereka meninggalkan Mesir, Musa memberitahu umat Israel segala yang diperintahkan TUHAN kepadanya, untuk disampaikan kepada mereka.
4 Hal ini berlaku setelah TUHANa mengalahkan Raja Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di kota Hesybon, dan juga Raja Og, raja Basan, yang memerintah di kota Asytarot dan Edrei. +
5 Pada masa umat Israel berada di sebelah timur Sungai Yordan di kawasan Moab, Musa mula menjelaskan hukum dan ajaran Allah.
Musa berkata,
6 “Semasa kita di Gunung Sinai, TUHAN, Allah kita berfirman, ‘Sudah cukup lama kamu tinggal di gunung ini.
7 Sekarang bongkarlah perkhemahan kamu, dan pergilah ke kawasan perbukitan orang Amori dan ke seluruh daerah di sekitarnya: ke Lembah Yordan, ke kawasan perbukitan dan dataran rendah, ke daerah di bahagian selatan, dan ke pantai Laut Tengah. Pergilah ke tanah Kanaan dan ke Pergunungan Lebanon sampai ke Sungai Efrat, sungai yang besar itu.
8 Aku, TUHAN, sudah berjanji untuk memberikan seluruh tanah itu kepada nenek moyang kamu Abraham, Ishak, dan Yakub, serta keturunan mereka. Pergilah dan dudukilah tanah itu.’”
Musa Melantik Hakim-Hakim
(Kel 18.13-27)
9 Musa berkata kepada umat itu, “Semasa kita di Gunung Sinai, aku berkata kepada kamu, ‘Tanggungjawab untuk memimpin kamu terlalu berat bagiku. Aku tidak sanggup melakukannya seorang diri.
10 TUHAN, Allah kamu sudah menjadikan kamu sebanyak bintang di langit.
11 Semoga TUHAN, Allah nenek moyang kamu, melipatgandakan jumlah kamu sampai seribu kali ganda, dan menjadikan kamu makmur seperti yang dijanjikan-Nya!
12 Tetapi bagaimana mungkin aku seorang dapat memikul tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikan pertikaian kamu?
13 Pilihlah beberapa orang lelaki yang bijaksana, arif, dan berpengalaman daripada tiap-tiap suku, supaya aku melantik mereka menjadi pemimpin kamu.’
14 Kamu bersetuju bahawa hal itu baik untuk dilaksanakan.
15 Oleh itu aku melantik beberapa orang yang bijaksana dan berpengalaman, yang sudah kamu pilih daripada tiap-tiap suku supaya menjadi pemimpin kamu. Ada beberapa orang di kalangan mereka yang bertanggungjawab atas seribu orang, yang lain atas seratus orang, atas lima puluh orang, dan juga atas sepuluh orang. Aku juga melantik pegawai-pegawai lain di kalangan suku-suku kamu.
16 Pada masa itu aku menasihatkan mereka, ‘Dengarkanlah baik-baik pertikaian yang berlaku di kalangan bangsa kamu. Hakimilah tiap-tiap pertikaian dengan adil, baik yang berkaitan dengan bangsa kamu sendiri, mahupun dengan orang asing yang tinggal di kalangan kamu.
17 Jangan berat sebelah apabila kamu membuat keputusan; hakimilah tiap-tiap orang dengan menggunakan dasar yang sama, tidak kira siapa orang itu. Jangan takut akan sesiapa pun, kerana keputusan yang kamu buat itu keputusan daripada Allah. Jika ada perkara yang terlalu sukar bagi kamu, serahkanlah perkara itu kepadaku; aku akan membuat keputusan bagi perkara itu.’
18 Pada masa itu juga aku memberikan petunjuk kepada kamu tentang segala perkara lain yang harus kamu lakukan.”
Pengintip yang Dikirim dari Kades-Barnea
(Bil 13.1-33)
19 “Kita melaksanakan perintah TUHAN, Allah kita. Kita meninggalkan Gunung Sinai, lalu berjalan melalui padang gurun yang luas dan menakutkan, serta menuju kawasan perbukitan negeri orang Amori. Apabila kita sampai di Kades-Barnea,
20-21 aku berkata, ‘Sekarang, kamu sudah sampai di kawasan perbukitan negeri orang Amori, tanah yang hendak diberikan kepada kita oleh TUHAN, Allah kita, Allah nenek moyang kita. Lihatlah, tanah itu terbentang di hadapan kamu. Pergilah dan dudukilah tanah itu sebagaimana yang diperintahkan Allah. Jangan bimbang ataupun takut.’
22 Tetapi kamu datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah kita menyuruh beberapa orang mendahului kita untuk mengintip tanah itu, supaya mereka boleh memberitahu kita jalan terbaik yang harus diikuti, dan keadaan kota-kota di sana.’
23 Cadangan itu nampaknya baik. Oleh itu aku memilih dua belas orang, seorang daripada tiap-tiap suku.
24 Mereka pergi ke kawasan perbukitan sampai ke Lembah Eskol, lalu menjelajahi tempat itu.
25 Mereka membawa balik buah-buahan untuk kita, dan melaporkan bahawa tanah yang akan diberikan oleh TUHAN, Allah kita kepada kita itu sangat subur.
26 Tetapi kamu membantah perintah TUHAN, Allah kamu, dan tidak mahu pergi ke tanah itu. +
27 Kamu bersungut-sungut sesama sendiri sambil berkata, ‘TUHAN membenci kita. Dia membawa kita keluar dari Mesir semata-mata untuk menyerahkan kita kepada orang Amori, supaya mereka membunuh kita.
28 Mengapa kita harus pergi ke sana? Kita takut. Pengintip-pengintip yang kita kirim itu memberitahu kita bahawa orang di sana lebih kuat dan lebih tinggi daripada kita. Orang di sana tinggal di kota-kota yang temboknya setinggi langit. Pengintip-pengintip itu nampak raksasa di sana!’
29 Tetapi aku berkata, ‘Jangan takut kepada orang di sana.
30 TUHAN, Allah kamu akan memimpin kamu. Dia akan berperang untuk kamu, seperti yang sudah kamu nampak sendiri di Mesir
31 dan di padang gurun. Kamu sudah melihat cara Dia memimpin kamu dengan selamat di sepanjang perjalanan ke tempat ini, seperti seorang bapa menggendong anaknya.’ +
32 Tetapi biarpun aku berkata demikian, kamu tetap tidak mahu percaya kepada TUHAN, +
33 walaupun Dia selalu berjalan di hadapan kamu untuk mencari tempat berkhemah bagi kamu. Dia berada di hadapan kamu dalam tiang api pada waktu malam dan dalam tiang awan pada waktu siang, untuk menunjukkan jalan kepada kamu.
TUHAN Menghukum Israel
(Bil 14.20-45)
34 TUHAN mendengar sungutan kamu lalu Dia murka. Dia berfirman,
35 ‘Tidak seorang pun antara kamu daripada generasi yang jahat ini akan pergi ke tanah yang subur itu, yang sudah Aku janjikan untuk diberikan kepada nenek moyang kamu. +
36 Hanya Kaleb anak Yefune akan pergi ke sana, kerana dia tetap setia kepada-Ku. Aku akan memberi Kaleb dan keturunannya tanah yang sudah dijelajahinya.’
37 Oleh sebab kamu, TUHAN juga murka kepadaku lalu berfirman, ‘Musa, engkau pun tidak akan pergi ke tanah itu.
38 Tetapi kuatkanlah hati pembantumu, Yosua anak Nun, kerana dia akan memimpin Israel untuk menduduki tanah itu.’
39 Kemudian TUHAN berfirman kepada kita semua, ‘Anak-anak kamu yang masih terlalu muda untuk membezakan yang benar daripada yang salah, akan pergi ke tanah itu, iaitu anak-anak yang kamu katakan akan ditangkap oleh musuh. Aku akan memberikan tanah itu kepada mereka, dan mereka akan mendudukinya.
40 Tetapi kamu, berpalinglah dan baliklah semula ke padang gurun melalui jalan yang menuju Teluk Akaba.’
41 Kamu menjawab, ‘Musa, kami sudah berdosa terhadap TUHAN. Tetapi sekarang kami akan maju berperang sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN, Allah kita.’ Kemudian setiap orang di kalangan kamu bersiap untuk pergi berperang, dan berfikir bahawa mudah sahaja untuk menakluki kawasan perbukitan itu.
42 Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan biarkan mereka pergi berperang kerana Aku tidak akan menyertai mereka, dan musuh akan mengalahkan mereka.’
43 Aku menyampaikan firman TUHAN itu kepada kamu, tetapi kamu tidak mengendahkannya. Kamu memberontak terhadap TUHAN, dan dengan sombong kamu pergi ke kawasan perbukitan untuk berperang.
44 Kemudian orang Amori yang tinggal di kawasan perbukitan itu keluar menyerang kamu. Mereka bagaikan kawanan lebah yang mengusir kamu. Mereka mengejar kamu sampai ke Horma, lalu mengalahkan kamu di kawasan perbukitan negeri Edom.
45 Kemudian kamu kembali dan berseru kepada TUHAN untuk minta tolong, tetapi Dia tidak mendengarkan ataupun memperhatikan kamu.”
Tahun-Tahun di Padang Gurun
46 “Selepas itu kita tinggal di Kades lama sekali.