Perayaan Paska
(Kel 12.1-20)
16
1 “Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan Paska pada bulan Abib kerana pada bulan itu, pada suatu malam, TUHAN, Allah kamu menyelamatkan kamu dari Mesir.
2 Pergilah ke satu tempat ibadat itu, lalu di sana sembelihlah seekor daripada domba atau lembu kamu untuk perjamuan Paska bagi menghormati TUHAN, Allah kamu.
3 Apabila kamu makan perjamuan itu, jangan makan roti yang beragi. Selama tujuh hari kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang kamu lakukan dahulu semasa kamu melarikan diri dengan tergesa-gesa dari Mesir. Makanlah roti yang tidak beragi - roti yang disebut roti penderitaan - supaya seumur hidup kamu, kamu ingat akan hari kamu meninggalkan Mesir, tempat penderitaan itu.
4 Selama tujuh hari, seorang pun di tanah kamu tidak dibenarkan menyimpan ragi di dalam rumahnya; dan daging binatang yang disembelih pada malam pertama itu mesti dimakan pada malam itu juga.
5-6 Sembelihlah binatang untuk perjamuan Paska di satu tempat ibadat itu, dan bukan di mana-mana tempat lain di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Sembelihlah binatang itu pada waktu matahari terbenam, seperti pada waktu kamu meninggalkan Mesir dahulu.
7 Rebuslah daging itu dan makanlah di satu tempat ibadat itu, lalu pulanglah ke rumah pada keesokan paginya.
8 Selama enam hari, kamu mesti makan roti yang tidak beragi, dan pada hari ketujuh kamu harus berkumpul untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.” +
Perayaan Menuai
(Kel 34.22; Im 23.15-21)
9 “Kiralah tujuh minggu mulai hari pertama kamu menuai gandum.
10 Kemudian rayakanlah Perayaan Menuai untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. Berikanlah persembahan sukarela kepada-Nya, menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan-Nya kepada kamu.
11 Bersukacitalah di hadirat TUHAN, bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu. Lakukanlah hal ini di satu tempat ibadat itu.
12 Taatilah perintah-perintah ini dengan setia. Ingatlah bahawa kamu diperhamba di Mesir dahulu.” +
Perayaan Pondok Daun
(Im 23.33-43)
13 “Setelah kamu menebah semua gandum dan memeras semua buah anggur, rayakanlah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari.
14 Bersukacitalah bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang bangsa asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu.
15 Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan perayaan ini selama tujuh hari di satu tempat ibadat itu. Bersukacitalah kerana TUHAN sudah memberkati tuaian dan pekerjaan kamu. +
16 Semua orang lelaki bangsa kamu mesti datang untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu tiga kali setahun, di satu tempat ibadat: pada Perayaan Paska, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun. Setiap orang lelaki harus membawa persembahan
17 menurut kemampuannya dan menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepadanya.”
Cara Menjalankan Keadilan
18 “Lantiklah hakim-hakim dan pegawai-pegawai lain di tiap-tiap kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Semua orang itu mesti menghakimi rakyat dengan adil.
19 Mereka tidak boleh bersikap curang atau berat sebelah apabila menjalankan penghakiman. Mereka tidak boleh menerima rasuah kerana rasuah membutakan orang, bahkan orang bijak dan jujur sekalipun, sehingga mereka membuat keputusan yang salah. +
20 Kamu harus sentiasa adil dan tidak berat sebelah, supaya kamu boleh menduduki tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu terus menetap di sana.