4
Aku nampak pula segala ketidakadilan yang berlaku di dunia ini. Orang yang tertindas menangis dan tidak seorang pun menolong mereka. Tidak seorang pun berani menolong mereka kerana para penindas berkuasa. Alangkah bahagianya orang yang sudah mati; keadaan mereka lebih baik daripada orang yang masih hidup. Yang lebih bahagia lagi ialah orang yang belum dilahirkan, yang belum nampak ketidakadilan yang berlaku di dunia ini.
Aku faham juga mengapa orang bekerja keras supaya berjaya; mereka iri hati terhadap jiran mereka. Tetapi itu sia-sia sahaja. Keadaan mereka seperti orang yang mengejar angin. Kata mereka, hanya orang bodoh berpangku tangan dan mati kelaparan. Mungkin itu benar, tetapi lebih baik mempunyai sedikit disertai fikiran tenang, daripada sentiasa bekerja keras dengan dua belah tangan dan mengejar angin.
Ada lagi perkara yang sia-sia dalam hidup ini. Ada orang yang hidup seorang diri tanpa anak ataupun saudara. Namun, dia tidak berhenti-henti bekerja. Dia tidak puas hati dengan harta yang dimilikinya. Bagi siapakah dia membanting tulang serta menolak segala kesenangan? Bukankah itu sia-sia, dan satu cara hidup yang menyedihkan?
Berdua lebih baik daripada seorang diri, kerana bersama-sama mereka dapat bekerja dan hasilnya lebih baik. 10 Jika seorang jatuh, yang seorang lagi dapat menolongnya. Tetapi jika orang itu sendirian, lalu jatuh, malanglah dia kerana tiada sesiapa yang menolongnya. 11 Jika dua orang tidur bersama-sama mereka dapat saling menghangatkan badan, tetapi bagaimanakah seorang menjadi hangat jika dia sendirian? 12 Orang yang sendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan.
13-14 Seorang miskin mungkin menjadi raja; seorang banduan mungkin naik takhta. Tetapi jika pada usia lanjut, raja itu terlalu bodoh sehingga tidak mahu menerima nasihat, maka nasibnya lebih buruk daripada seorang pemuda yang miskin tetapi cerdas. 15 Aku memikirkan semua orang di dunia ini, dan aku sedar bahawa antara mereka tentu ada seorang pemuda yang akan menggantikan raja. 16 Bilangan rakyat yang diperintah oleh seorang raja mungkin tidak terhitung, tetapi apabila raja mangkat, tidak seorang pun akan bersyukur atas jasanya. Itu pun sia-sia, seperti usaha mengejar angin.
Jangan Terburu-buru Membuat Janji
17 Berhati-hatilah apabila pergi ke Rumah TUHAN. Lebih baik ke sana untuk belajar, daripada mempersembahkan korban seperti orang bodoh yang tidak tahu membezakan apa yang benar dengan apa yang salah.