Nubuat tentang Hukuman terhadap Amon
25
1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, kecamlah negeri Amon.
3 Suruhlah bangsa itu mendengar apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Kamu bersukacita ketika melihat Rumah-Ku dinajiskan, negeri Israel dimusnahkan, dan penduduk Yehuda dibuang negeri.
4 Oleh itu Aku akan membiarkan kamu dikalahkan oleh suku-suku dari gurun di sebelah timur. Mereka akan mendirikan perkhemahan di negeri kamu dan menetap di situ. Mereka akan makan buah-buahan dan minum susu ternakan kamu.
5 Aku akan menjadikan kota Raba tempat menggembalakan unta, dan seluruh negeri Amon tempat menggembalakan domba, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.’”
6 TUHAN Raja berfirman, “Kamu sangat membenci Israel sehingga kamu bertepuk tangan dan menari-nari dengan gembira atas kemusnahan negeri Israel.
7 Oleh itu Aku akan menyerahkan kamu kepada bangsa-bangsa yang akan merompak dan menjarah segala milik kamu. Aku akan membinasakan kamu habis-habisan sehingga kamu bukan lagi satu bangsa yang mempunyai negeri sendiri. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” +
Nubuat tentang Hukuman atas Moab
8 TUHAN Raja berfirman, “Kerana Moabi berkata bahawa Yehuda sama dengan bangsa-bangsa lain,
9 Aku akan membiarkan musuh menyerang kota-kota yang mempertahankan sempadan Moab, termasuk kota-kota yang terbaik iaitu Bet-Yesimot, Baal-Meon, dan Kiryataim.
10 Aku akan membiarkan Moab bersama-sama Amon dikalahkan oleh suku-suku dari gurun di sebelah timur, sehingga Moabj bukan satu bangsa lagi.
11 Aku akan menghukum Moab, maka penduduknya akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” +
Nubuat tentang Hukuman terhadap Edom
12 TUHAN Raja berfirman, “Penduduk Edom telah membalas Yehuda dengan kejam. Perbuatan Edom itu kesalahan besar.
13 Sekarang Aku mengumumkan bahawa Aku akan menghukum Edom. Aku akan membunuh semua orang dan binatang yang tinggal di situ. Aku akan memusnahkan negeri itu, dari kota Teman sampai ke kota Dedan. Penduduknya akan mati dalam peperangan.
14 Umat-Ku Israel akan Kusuruh untuk membalas dendam terhadap Edom. Mereka akan membiarkan Edom merasakan kemurkaan-Ku yang dahsyat. Edom akan tahu bagaimana rasanya menjadi sasaran kemarahan-Ku.” TUHAN Raja telah berfirman. +
Nubuat tentang Hukuman terhadap Filistin
15 TUHAN Raja berfirman, “Orang Filistin telah membalas dendam dengan kejam terhadap musuh mereka sejak dahulu, dan membinasakan mereka dengan penuh kebencian.
16 Sekarang Aku mengumumkan bahawa Aku akan menyerang orang Filistin dan membinasakan mereka. Aku akan membinasakan setiap orang yang masih hidup di kawasan pantai negeri itu.
17 Aku akan menghukum mereka dengan berat dan melampiaskan dendam terhadap mereka. Apabila mereka merasakan kemurkaan-Ku, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” +
+ 25:7 Yer 49.1-6; Yeh 21.28-32; Am 1.13-15; Zef 2.8-11
i 25:8 Beberapa buah terjemahan kuno: Moab; Naskhah Ibrani: Moab dan Seir.
j 25:10 Dapat bermakna: Moab; Naskhah Ibrani: Amon.
+ 25:11 Yes 15.1—16.14, 25.10-12; Yer 48.1-47; Am 2.1-3; Zef 2.8-11
+ 25:14 Yes 34.5-17, 63.1-6; Yer 49.7-22; Yeh 35.1-15; Am 1.11-12; Ob 1-14; Mal 1.2-5
+ 25:17 Yes 14.29-31; Yer 47.1-7; Yl 3.4-8; Am 1.6-8; Zef 2.4-7; Za 9.5-7