Raja Mesir Dibandingkan dengan Buaya
32
1 Pada hari pertama, bulan kedua belas, tahun kedua belas masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, berikanlah amaran keras kepada raja Mesir. Sampaikanlah firman-Ku kepadanya, ‘Di hadapan bangsa-bangsa lain engkau berlagak seperti singa, tetapi engkau lebih menyerupai buaya yang berkecimpung di dalam sungai. Kakimu mengeruhkan dan mengotorkan sungai-sungai.
3 Apabila bangsa-bangsa berkumpul, Aku akan menangkap engkau dengan jala-Ku dan membiarkan bangsa-bangsa menyeret jala itu ke darat.
4 Aku akan menghempaskan engkau ke tanah lalu menyuruh segala burung dan binatang di dunia untuk memakan engkau.
5 Aku akan menghamburkan mayatmu yang membusuk itu di seluruh bukit dan lembah.
6 Aku akan menumpahkan darahmu sehingga membasahi bukit-bukit dan memenuhi anak-anak sungai.
7 Apabila Aku membinasakan engkau, Aku akan menutupi langit dan memadamkan segala bintang. Matahari akan diliputi awan, dan bulan pun tidak bercahaya lagi. +
8 Aku akan memadamkan semua cahaya di langit, dan menjadikan negerimu gelap-gelita. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
9 Banyak bangsa akan cemas apabila Aku menyiarkan berita tentang kebinasaanmu ke negeri-negeri yang tidak engkau kenal.
10 Perbuatan-Ku terhadap engkau akan mengejutkan banyak bangsa. Apabila Aku mengayunkan pedang-Ku, raja-raja akan ketakutan. Pada hari engkau jatuh, mereka semua akan gementar dan menggigil kerana takut mati.’”
11 TUHAN Raja berfirman kepada raja Mesir, “Engkau akan menghadapi pedang raja Babilonia.
12 Askar-askar daripada bangsa-bangsa yang kejam akan menghunus pedang dan membunuh semua rakyatmu. Rakyatmu dan segala yang engkau banggakan akan musnah.
13 Aku akan membunuh ternakanmu di tepi sungai-sungai. Baik manusia mahupun binatang tidak akan mengeruhkan air sungai lagi.
14 Aku akan membuat air sungaimu jernih dan mengalir dengan tenang. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
15 Apabila Aku menjadikan Mesir padang gurun yang tandus dan lengang, serta membinasakan semua penduduk di sana, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
16 Amaran ini akan menjadi lagu ratapan, dan kaum wanita bangsa-bangsa lain akan menyanyikannya untuk meratapi Mesir dengan semua rakyatnya. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”
Dunia Orang Mati
17 Pada hari kelima belas, bulan pertama,a tahun kedua belas masa pembuangan kami, TUHAN berfirman kepadaku,
18 “Hai manusia fana, merataplah bagi rakyat Mesir yang banyak itu. Hantarlah mereka bersama-sama bangsa lain yang kuat ke dunia orang mati.
19 Katakanlah kepada mereka,
‘Adakah kamu berfikir kamu lebih cantik daripada orang lain?
Kamu akan turun ke dunia orang mati,
dan berbaring di sana bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah.’
20 Rakyat Mesir akan gugur bersama-sama mereka yang mati dalam peperangan. Sebilah pedang sudah siap untuk membunuh mereka semua.
21 Para pahlawan dan orang yang memihak Mesir akan menyambut kedatangan orang Mesir ke dunia orang mati. Mereka bersorak, ‘Lihatlah, orang yang tidak mengenal Allah telah terbunuh dalam peperangan. Sekarang mereka ke mari, dan berbaring di sini!’
22 Asyur berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah terbunuh dalam peperangan,
23 dan kubur mereka terletak di bahagian yang paling dalam di dunia orang mati. Semua askarnya telah gugur dalam peperangan dan Asyur dikelilingi oleh kubur mereka. Namun pada suatu masa dahulu, mereka menimbulkan ketakutan di dunia orang hidup.
24 Elam berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah gugur dalam peperangan, lalu turun ke dunia orang mati tanpa mengenal Allah. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka telah mati dan menanggung malu.
25 Elam berbaring bersama-sama mereka yang terbunuh dalam peperangan, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua tidak mengenal Allah. Semuanya gugur dalam peperangan. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka mati dan menanggung malu bersama-sama orang yang gugur dalam peperangan.
26 Mesekh dan Tubal berada di sana, di kelilingi oleh kubur-kubur askar mereka. Mereka semua tidak mengenal Allah, dan mereka semua gugur dalam peperangan. Namun pada suatu masa dahulu mereka menakutkan orang yang hidup.
27 Mereka tidak diberikan penguburan yang terhormat seperti pahlawan pada zaman purbab yang dikebumikan lengkap dengan pedang di bawah kepala dan perisaic di atas dada. Semasa hidup, pahlawan-pahlawan itu sungguh perkasa sehingga menakutkan orang hidup.
28 Demikianlah orang Mesir akan hancur dan dibaringkan bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah, yang gugur dalam peperangan.
29 Edom ada di sana dengan semua raja dan penguasanya. Dahulu mereka askar yang kuat, tetapi sekarang mereka terbaring di dunia orang mati bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah, yang gugur dalam peperangan.
30 Semua penguasa negeri-negeri utara berada di sana, demikian juga orang Sidon. Pada suatu masa dahulu kekuasaan mereka menimbulkan ketakutan, tetapi sekarang mereka mati dan dipermalukan bersama-sama mereka yang gugur dalam peperangan. Mereka dikuburkan bersama-sama orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menanggung hinaan orang yang turun ke dunia orang mati.
31 Raja Mesir dan tenteranya akan terhibur melihat semua orang yang mati dalam peperangan.” Demikianlah TUHAN Raja berfirman.
32 “Akulah yang menyebabkan raja Mesir menakutkan orang hidup, tetapi sekarang dia dan tenteranya akan dibunuh. Mereka akan dikebumikan bersama-sama semua orang yang gugur dalam peperangan, dan yang tidak mengenal Allah.” Demikianlah firman TUHAN Raja. +
+ 32:7 Yes 13.10; Mat 24.29; Mrk 13.24-25; Luk 21.25; Why 6.12-13, 8.12
a 32:17 Sebuah terjemahan kuno: bulan pertama; Naskhah Ibrani tidak mempunyai perkataan ini.
b 32:27 Beberapa terjemahan kuno: pada zaman purba; Naskhah Ibrani: yang tidak disunat.
c 32:27 Dapat bermakna: perisai; Naskhah Ibrani: ketidakadilan.
+ 32:32 Yes 19.1-25; Yer 46.2-26