Gembala-Gembala Israel
34
1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, kecamlah raja-raja Israel. Bernubuatlah dan sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka, ‘Alangkah malangnya kamu, hai gembala-gembala Israel. Kamu hanya menjaga kepentingan diri sendiri dan bukan kepentingan domba-domba.
3 Kamu minum susu domba, memakai pakaian daripada bulu domba, menyembelih dan makan domba yang terbaik, tetapi kamu tidak pernah menggembalakan domba-domba itu.
4 Kamu tidak merawat yang lemah, atau mengubati yang sakit, atau membalut yang luka, atau membawa pulang yang sesat atau mencari yang hilang. Sebaliknya kamu memperlakukan semua domba itu dengan kejam.
5 Kerana tidak mempunyai gembala, domba-domba itu tercerai-cerai dan menjadi mangsa binatang buas. +
6 Maka domba-domba-Ku mengembara ke bukit dan gunung, tercerai-cerai di muka bumi. Tidak seorang pun mencari atau berusaha untuk mendapatkan domba-domba itu.
7 Hai gembala-gembala, dengarlah apa yang Aku, TUHAN firmankan.
8 Demi Aku, Allah yang hidup, dengarlah firman-Ku. Domba-domba-Ku telah diterkam dan dibunuh, serta dimakan binatang buas kerana tiada gembala yang menjaga domba-domba itu. Kamu, gembala-gembala-Ku tidak berusaha untuk mencari domba-domba itu. Kamu menjaga kepentingan diri sendiri, bukan kepentingan domba-domba-Ku.
9 Oleh itu dengarlah Aku, hai kamu para gembala.
10 Aku, TUHAN Raja, mengumumkan bahawa Aku musuh kamu. Aku akan mengambil domba-domba-Ku daripada kamu, dan tidak lagi mempercayakan domba-domba itu kepada kamu. Aku tidak lagi membenarkan kamu menjaga kepentingan diri kamu sahaja. Aku akan menyelamatkan domba-domba itu supaya tidak menjadi makanan kamu.’”
Gembala yang Baik
11 TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka,
12 seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu.
13 Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur.
14 Aku akan membiarkan mereka merumput dengan tenteram di padang hijau. Aku akan membolehkan mereka makan di padang rumput di gunung, di lembah, dan di padang rumput yang hijau di Israel.
15 Aku sendiri akan menggembalakan domba-domba-Ku. Aku akan mencari tempat berehat bagi mereka. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
16 Aku akan mencari mereka yang hilang, membawa pulang mereka yang sesat, membalut mereka yang luka, dan mengubati mereka yang sakit; tetapi mereka yang gemuk dan kuat akan Kubinasakan, kerana Aku gembala yang melakukan apa yang adil.
17 Dengarlah, hai domba-domba-Ku. Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan mengadili kamu masing-masing, dan memisahkan yang baik daripada yang jahat, domba daripada kambing.
18 Di kalangan kamu ada yang tidak puas hati hanya dengan memakan rumput yang terbaik, tetapi juga memijak-mijak rumput yang tidak dimakan mereka! Mereka minum air jernih, lalu mengeruhkan air yang tidak diminum mereka.
19 Domba-domba-Ku yang lain terpaksa makan rumput yang telah dipijak-pijak, dan minum air yang telah dikeruhkan.
20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan menjadi hakim antara domba yang kuat dengan domba yang lemah.
21 Kamu menanduk dan menolak domba yang sakit sehingga mereka terhalau daripada kawanan domba.
22 Tetapi Aku akan menyelamatkan domba-domba-Ku dan tidak akan membiarkan mereka diperlakukan dengan kejam lagi. Aku akan menghakimi setiap domba-Ku dan memisahkan yang baik daripada yang jahat.
23 Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka. +
24 Aku, TUHAN, akan menjadi Allah mereka; dan seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, akan menjadi penguasa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman. +
25 Aku akan membuat perjanjian dengan mereka yang menjamin keselamatan mereka. Aku akan mengusir semua binatang buas dari negeri itu, supaya domba-domba-Ku dapat hidup dengan aman di padang dan tidur di hutan.
26 Aku akan memberkati mereka dan membenarkan mereka hidup di sekeliling bukit-Ku yang suci.d Di sana Aku akan memberkati mereka dengan hujan manakala mereka memerlukannya.
27 Pokok akan berbuah, ladang akan mengeluarkan hasil, dan setiap orang akan tinggal dengan aman di tanahnya sendiri. Apabila Aku memutuskan belenggu umat-Ku dan membebaskan mereka daripada bangsa yang memperhamba mereka, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
28 Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Aku tidak akan menjarah umat-Ku lagi, dan binatang buas pun tidak akan membunuh dan memakan mereka. Mereka akan hidup dengan aman, dan tiada sesiapa pun akan menakutkan mereka.
29 Aku akan memberi mereka tanah yang subur serta menghapuskan kelaparan di negeri itu. Bangsa lain tidak akan mengolok-olokkan mereka lagi.
30 Semua orang akan tahu bahawa Aku melindungi Israel, dan bahawa mereka umat-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
31 Hai kawanan domba yang Aku beri makan. Kamulah umat-Ku dan Akulah Allah kamu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.