Bahagian Tanah yang Menjadi Milik TUHAN
45
1 Apabila tanah itu dibahagikan kepada setiap suku, sebahagian daripadanya harus diasingkan untuk TUHAN. Panjangnya tanah itu hendaklah 12.5 kilometer, dan lebarnya 10 kilometer.i Seluruh kawasan itu suci.
2 Di kawasan itu, sebidang tanah yang empat persegi harus dikhaskan untuk Rumah TUHAN. Ukuran setiap sisi tanah itu harus 250 meter dan dikelilingi lapangan selebar 25 meter.
3 Separuh daripada kawasan itu, yang panjangnya 12.5 kilometer dan lebarnya 5 kilometer, harus dikhaskan untuk bangunan Rumah TUHAN, tempat yang paling suci.
4 Tanah itu suci dan diberikan kepada para imam yang menyelenggarakan ibadat di Rumah TUHAN. Rumah-rumah mereka dan Rumah TUHAN hendaklah dibina di situ.
5 Separuh lagi kawasan itu hendaklah diberikan sebagai pusaka kepada orang Lewi yang bekerja di Rumah TUHAN. Bahagian itu akan menjadi kota-kota tempat tinggal mereka.j
6 Di samping tanah yang suci itu harus lagi diasingkan sebidang tanah untuk sebuah kota yang boleh didiami sesiapa sahaja umat Israel. Panjangnya tanah itu hendaklah 12.5 kilometer, dan lebarnya 2.5 kilometer.
Tanah untuk Penguasa yang Memerintah
7 Tanah juga harus disediakan bagi penguasa yang memerintah. Kawasan itu bermula dari sempadan barat kawasan yang suci itu sampai ke Laut Tengah dan dari sempadan timur kawasan yang suci itu sampai ke sempadan timur negeri itu. Panjangnya tanah itu sama dengan panjangnya salah satu kawasan yang ditentukan bagi suku Israel.
8 Tanah itu akan menjadi milik penguasa yang memerintah di Israel, supaya dia tidak menindas rakyat, tetapi membiarkan tanah yang selebihnya menjadi milik suku-suku Israel.
Peraturan bagi Penguasa yang Memerintah
9 TUHAN Raja berfirman, “Hai kamu yang memerintah Israel, kamu telah berdosa terlalu lama. Hentikan penindasan dan perbuatan yang kejam. Lakukan yang benar dan adil. Jangan sekali-kali usir umat-Ku dari tanah mereka lagi. Aku, TUHAN Raja, berfirman kepada kamu.
10 Setiap orang harus menggunakan timbangan dan sukatan yang tepat: +
11 Satu efa untuk menakar bahan kering mesti sama dengan satu bat untuk menakar bahan cair. Ukuran piawai ialah homer.k Oleh itu sukatan kamu hendaklah demikian:
1 homer = 10 efa = 10 bat
12 Timbangan kamu hendaklah demikian:
20 gera = 1 syikall
60 syikal = 1 mina
13-15 Persembahan kamu hendaklah berdasarkan ukuran yang berikut:
Gandum: 1/60 daripada tuaian kamu
Barli: 1/60 daripada tuaian kamu
Minyak zaitun: 1/100 daripada hasil pokok kamu
(Sukatlah menurut bat: 10 bat = 1 homer = 1 kor.)
Domba: 1 daripada setiap 200 ekor yang di padang rumput Israel.
Hendaklah kamu mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada-Ku,m korban untuk menyenangkan hati-Ku,n dan korban untuk memohon berkat-Ku,o supaya dosa kamu diampunkan. Aku, TUHAN Raja yang memberikan perintah ini.
16 Semua penduduk negeri harus membawa persembahan itu kepada penguasa Israel.
17 Tetapi pada perayaan-perayaan bulan baru, hari Sabat, dan hari perayaan yang lain, penguasa bertanggungjawab menyediakan binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan juga korban untuk mengucap syukur kepada-Ku,p serta korban wain bagi seluruh bangsa Israel. Dialah yang bertanggungjawab menyediakan korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku,q korban untuk menyenangkan hati-Ku,r dan korban untuk memohon berkat-Ku.s Maka Aku akan mengampunkan dosa umat Israel.”
Perayaan-Perayaan
(Kel 12.1-20; Im 23.33-43)
18 TUHAN Raja berfirman, “Pada hari pertama, bulan pertama, kamu harus menyucikan Rumah-Ku dengan mempersembahkan seekor lembu jantan muda yang tidak ada cacat.
19 Lalu imam harus mengambil darah daripada korban untuk mengampunkan dosa itu, lalu menyapukannya pada tiang-tiang pintu Rumah TUHAN, keempat-empat sudut mazbah, dan tiang-tiang pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam.
20 Pada hari ketujuh, bulan itu, kamu harus berbuat demikian juga untuk sesiapa sahaja yang berdosa dengan tidak sengaja atau tanpa diketahuinya. Dengan demikian, kamu akan menjaga kesucian Rumah-Ku.
21 Pada hari keempat belas, bulan pertama, kamu harus merayakan Perayaan Paska. Selama tujuh hari perayaan itu, semua orang harus makan roti yang tidak beragi. +
22 Pada hari pertama perayaan itu, penguasa yang memerintah harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya dan bagi semua rakyat.
23 Setiap hari selama perayaan yang berlangsung tujuh hari itu, penguasa harus mempersembahkan tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan yang tidak ada cacat kepada TUHAN, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.t Setiap hari dia juga harus mempersembahkan seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa.
24 Bagi setiap ekor lembu jantan dan domba jantan yang dipersembahkan, hendaklah disertai 17.5 liter bijirin dan 3 liter minyak zaitun.
25 Bagi Perayaan Pondok Daun, yang bermula pada hari kelima belas, bulan ketujuh, pada tiap-tiap hari selama tujuh hari itu, penguasa harus mempersembahkan korban yang sama, iaitu korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk menyenangkan hati TUHAN,u dan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN,v serta minyak zaitun.” +
i 45:1 Sebuah terjemahan kuno: 10 kilometer; Naskhah Ibrani: 5 kilometer.
j 45:5 Sebuah terjemahan kuno: kota-kota...mereka; Naskhah Ibrani: 20 buah bilik.
+ 45:10 Im 19.36
k 45:11 homer: Sukatan untuk bahan kering atau bahan cair, lebih kurang 175 liter; maka 1 efa atau 1 bat lebih kurang 17.5 liter.
l 45:12 syikal: Unit timbangan yang digunakan pada zaman Yehezkiel, lebih kurang 11.4 gram.
m 45:13-15 korban untuk mengucap syukur kepada-Ku; Harfiah: korban bijirin. (Lihat Kamus).
n 45:13-15 korban untuk menyenangkan hati-Ku; Harfiah: korban bakar. (Lihat Kamus).
o 45:13-15 korban untuk memohon berkat-Ku; Harfiah: korban perdamaian. (Lihat Kamus).
p 45:17 korban untuk mengucap syukur kepada-Ku; Harfiah: korban bijirin. (Lihat Kamus).
q 45:17 korban untuk mengucap syukur kepada-Ku; Harfiah: korban bijirin. (Lihat Kamus).
r 45:17 korban untuk menyenangkan hati-Ku; Harfiah: korban bakar. (Lihat Kamus).
s 45:17 korban untuk memohon berkat-Ku; Harfiah: korban perdamaian. (Lihat Kamus).
+ 45:21 Kel 12.1-20; Bil 28.16-25
t 45:23 korban untuk menyenangkan hati TUHAN: Lihat 45.17.
u 45:25 korban untuk menyenangkan hati TUHAN: Lihat 45.17.
v 45:25 korban untuk mengucap syukur: Lihat 45.17.
+ 45:25 Im 23.33-36; Bil 29.12-38