Yehezkiel Mencukur Rambut
5
1 TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, ambillah sebilah pedang yang tajam dan cukurlah janggut dan rambutmu. Kemudian timbanglah rambut itu, lalu bahagilah kepada tiga bahagian.
2 Bakarlah sepertiga rambut itu di dalam kota selepas pengepungan berakhir. Yang sepertiga lagi hendaklah engkau tetak dengan pedangmu sambil mengelilingi kota itu. Sepertiga yang terakhir harus engkau hamburkan ke udara, lalu Aku akan mengejarnya dengan pedang-Ku.
3 Ambillah beberapa utas rambut dan bungkuslah di dalam lipatan jubahmu.
4 Kemudian ambillah beberapa utas rambut itu dan lemparkannya ke dalam api hingga habis terbakar. Api itu akan menjalar ke segenap bangsa Israel.”
5 TUHAN Raja berfirman, “Lihatlah Yerusalem! Aku menempatkan kota itu di pusat dunia, dengan negeri-negeri lain di sekelilingnya.
6 Tetapi Yerusalem memberontak terhadap perintah-Ku, dan ternyata lebih jahat daripada bangsa-bangsa lain, lebih ingkar daripada negeri-negeri di sekelilingnya. Yerusalem menolak perintah-Ku dan tidak mematuhi hukum-Ku.
7 Hai Yerusalem, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Kerana engkau tidak mentaati hukum-Ku dan tidak mematuhi perintah-Ku, engkau telah mendatangkan lebih banyak kesusahan daripada bangsa-bangsa di sekelilingmu. Engkau telah mengikut adat resam bangsa-bangsa lain.
8 Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman kepada engkau sekarang bahawa Aku memusuhimu. Aku akan menjatuhkan hukuman kepadamu di hadapan semua bangsa.
9 Oleh sebab semua perbuatanmu yang Aku benci itu, Aku akan menghukum Yerusalem seperti yang belum pernah Kulakukan dan tidak akan Kulakukan lagi.
10 Akibatnya, di Yerusalem, ibu bapa akan makan anak mereka, dan anak akan makan ibu bapa mereka. Aku akan menghukum engkau dan mencerai-beraikan sesiapa sahaja yang masih hidup ke semua arah. +
11 Akulah Allah yang hidup, TUHAN Raja, dan inilah firman-Ku: Kerana engkau telah menajiskan Rumah-Ku dengan perbuatan yang jahat dan menjijikkan, Aku akan menghancurkan engkau tanpa kasihan.
12 Sepertiga pendudukmu akan mati kerana penyakit dan kelaparan di dalam kota, sepertiga akan mati ditikam pedang di luar kota, dan sepertiga lagi akan Kucerai-beraikan ke merata tempat dan akan Kukejar dengan pedang.
13 Engkau akan merasakan kedahsyatan kemurkaan dan keberangan-Ku sehingga Aku puas. Apabila segala perkara itu berlaku, barulah engkau yakin bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman kepadamu kerana Aku murka terhadap ketidaksetiaanmu.
14 Setiap orang dari negeri-negeri jiran yang lalu di hadapanmu akan mengejek dan menjauhi engkau.
15 Apabila Aku murka dan meradang, Aku akan menghukum engkau, sehingga semua bangsa di sekelilingmu akan ngeri. Mereka akan menghina dan mengejek engkau.
16 Aku akan menghentikan pembekalan makananmu dan membiarkan pendudukmu kelaparan. Engkauh akan mengalami kepedihan rasa lapar seperti anak panah tajam yang membinasakan engkau.
17 Aku akan mendatangkan wabak, keganasan, dan peperangan untuk membunuh pendudukmu. Aku akan mendatangkan kelaparan serta binatang buas untuk membunuh anak-anak mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.” +