SURAT PAULUS KEPADA
JEMAAH DI
EFESUS
Kata Pengantar
Surat Paulus kepada Jemaah di Efesus mengutamakan rancangan Allah “untuk menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala” (1.10). Paulus juga menggesa umat Allah supaya menghayati erti rancangan Allah yang agung itu dalam hidup mereka, bagi perpaduan umat manusia melalui hidup yang bersatu dengan Yesus Kristus.
Dalam bahagian pertama surat Efesus ini, Paulus mengembangkan tema perpaduan ini dengan mengatakan cara Allah Bapa memilih umat-Nya, serta mengampuni dan membebaskan mereka daripada dosa melalui Yesus Kristus, Anak-Nya. Paulus juga memberitahukan janji Allah yang dijamin oleh Roh Allah. Dalam bahagian kedua, Paulus menggesa para pembacanya supaya hidup rukun, agar perpaduan mereka sebagai umat Kristus nyata.
Paulus menggunakan lambang-lambang ini untuk menunjukkan perpaduan umat Allah yang hidup bersatu dengan Kristus: Jemaah bagaikan tubuh dan Kristus kepalanya, atau seperti bangunan dan Kristus batu asasnya, atau seperti isteri dan Kristus suaminya. Surat ini menunjukkan perasaan yang mendalam, dan Paulus sangat terharu ketika mengingat rahmat Allah melalui Kristus. Paulus melihat segala-galanya berdasarkan kasih Kristus, pengorbanan-Nya, pengampunan-Nya, rahmat-Nya, dan kesucian-Nya.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-2
Kristus dan Jemaah 1.3—3.21
Kehidupan Baru sebagai Orang Kristian 4.1—6.20
Penutup 6.21-24
1
1 Surat ini daripada Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah. Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Efesusa yang setia dalam hidup yang bersatu dengan Kristus Yesus. +
2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Berkat Rohani melalui Kristus
3 Marilah kita bersyukur kepada Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus, Allah sudah memberkati kita dengan segala berkat rohani dari syurga.
4 Sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih kita untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus, supaya kita menjadi suci dan tidak bercela di hadirat-Nya.
Kerana kasih-Nya,
5 Allahb telah membuat keputusan untuk menjadikan kita anak-anak-Nya melalui Yesus Kristus. Itulah keinginan dan kehendak Allah.
6 Marilah kita memuji Allah bagi rahmat-Nya yang mulia, yang dikurniakan-Nya kepada kita melalui Anak yang dikasihi-Nya!
7 Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah, +
8 yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita dengan berlimpah-limpah!
Dengan segala kebijaksanaan dan pengertian,
9 Allah telah melaksanakan tujuan-Nya. Dia memberitahu kita rancangan-Nya yang dirahsiakan, tetapi yang sudah ditentukan-Nya akan disempurnakan melalui Kristus.
10 Rancangan itu akan disempurnakan oleh Allah pada masa yang ditentukan-Nya. Rancangan itu adalah untuk menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala.
11 Allah melakukan semuanya menurut rancangan dan keputusan-Nya sendiri. Dari mula-mula lagi Dia telah memilih kita, kerana Dia mahu supaya kita menjadi umat-Nya oleh sebab hidup bersatu dengan Kristus.
12 Marilah kita, yang pertama sekali berharap kepada Kristus, memuji kemuliaan Allah!
13 Kamu juga menjadi umat Allah, ketika kamu mendengar berita tentang ajaran benar,c iaitu Berita Baik yang membawa penyelamatan kepada kamu. Kamu percaya kepada Kristus, dan untuk menunjukkan bahawa kamu milik Allah, Allah mengurniai kamu Roh-NyaA yang telah dijanjikan-Nya itu.
14 Roh itu jaminan bahawa kita akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya. Hal itu meyakinkan kita bahawa Allah akan membebaskan umat-Nya dengan sepenuhnya. Marilah kita memuji kemuliaan-Nya!
Doa Paulus
15 Oleh itu, sejak aku mendengar berita bahawa kamu percaya kepada Tuhan Yesus, dan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah,
16 aku tidak berhenti-henti bersyukur kepada Allah untuk kamu. Aku mengingat kamu apabila aku berdoa.
17 Aku memohon supaya Allah Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang mulia, mengurniai kamu Roh-Nya. Roh Allah akan menjadikan kamu bijaksana dan akan menunjukkan Allah kepada kamu sehingga kamu mengenal Dia.
18 Aku memohon agar Allah menjadikan fikiran kamu terbuka untuk memahami ajaran-Nya. Dengan demikian kamu mengetahui apa yang dapat kamu harapkan daripada Allah yang memanggil kamu. Betapa indah dan berlimpah-limpahnya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya,
19 serta betapa besar kuasa-Nya yang menolong kita, orang yang percaya kepada Kristus. Kuasa itu seperti kuasa
20 yang digunakan oleh Allah ketika Dia membangkitkan Kristus daripada kematian, lalu memberi Dia tempat duduk di sebelah kanan-Nya di syurga. +
21 Di situ Kristus berkuasa atas semua pemerintah, penguasa, pemimpin, dan raja. Kristus jauh lebih berkuasa daripada sesiapa pun, baik yang hidup pada zaman ini mahupun pada zaman yang akan datang.
22 Allah menaklukkan semuanya ke bawah kekuasaan Kristus, dan memberikan Kristus kepada jemaah sebagai penguasa segala sesuatu. +
23 Jemaah itu tubuh Kristus, dan kesempurnaan Kristus, dan Kristus menyempurnakan segala sesuatu di mana-mana sahaja.d +
a 1:1 Dalam beberapa buah naskhah kuno tidak terdapat: di Efesus.
+ 1:1 Kis 18.19-21, 19.1
b 1:5 di hadirat-Nya. Kerana kasih-Nya, Allah; atau di hadirat-Nya, dan supaya hidup dalam kasih Allah.
+ 1:7 Kol 1.14
c 1:13 ajaran benar; Harfiah: firman kebenaran.
A 1:13 Roh-Nya; Harfiah: Roh Kudus.
+ 1:20 Mzm 110.1
+ 1:22 Mzm 8.6
d 1:23 yang menyempurnakan segala sesuatu di mana-mana sahaja; atau dan Dia sendiri telah disempurnakan oleh Allah.
+ 1:23 Kol 1.18