Cara Memperlakukan Abdi
(Ul 15.12-18)
21
1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berikanlah hukum-hukum ini kepada umat Israel:
2 Jika kamu membeli seorang abdi bangsa Ibrani, dia harus bekerja untuk kamu selama enam tahun. Pada tahun ketujuh dia mesti dibebaskan tanpa membayar apa-apa pun kepada kamu.
3 Jika dia masih bujang ketika dia menjadi abdi kamu, maka isterinya tidak boleh ikut apabila dia dibebaskan. Tetapi jika dia sudah berkahwin ketika dia menjadi abdi kamu, dia boleh pergi bersama dengan isterinya.
4 Jika tuannya mengahwinkan dia dengan seorang perempuan, lalu isterinya melahirkan beberapa orang anak lelaki atau perempuan, isteri dan anak-anaknya itu milik tuannya, dan tidak boleh ikut apabila abdi itu dibebaskan.
5 Tetapi jika abdi itu mengaku mengasihi tuannya, isterinya serta anak-anaknya, dan tidak mahu dibebaskan,
6 tuannya harus membawa dia ke tempat ibadat. Di situ abdi itu disuruh berdiri dan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinga abdi itu. Dengan demikian abdi itu akan menjadi abdi tuannya seumur hidup. +
7 Jika seorang bapa menjual anak perempuannya sebagai abdi, abdi perempuan itu tidak boleh dibebaskan seperti abdi lelaki.
8 Jika perempuan itu dijual kepada seorang lelaki dengan maksud dia menjadi isteri lelaki itu, tetapi jika lelaki itu tidak suka akan dia, maka perempuan itu mesti dijual balik kepada bapanya. Tuannya tidak boleh menjual perempuan itu kepada orang asing kerana tuannya tidak memperlakukan dia dengan adil.
9 Jika seorang bapa membeli seorang abdi perempuan untuk dikahwinkan kepada anak lelakinya, bapa itu mesti memperlakukan abdi itu sebagai anak perempuannya sendiri.
10 Jika anak lelaki itu berkahwin lagi, dia tetap mempunyai kewajipan untuk memberikan makanan dan pakaian serta hak seperti biasa kepada isterinya yang pertama.
11 Jika dia tidak memenuhi tanggungjawabnya terhadap isterinya itu, dia mesti membebaskannya tanpa menerima bayaran apa-apa pun.”
Peraturan tentang Tindakan Ganas
12 “Sesiapa yang memukul dan membunuh orang lain mesti dihukum mati. +
13 Tetapi jika dia tidak sengaja dan tidak berniat untuk membunuhnya, orang itu boleh melarikan diri ke suatu tempat yang akan Aku tunjukkan kepada kamu. Di situ orang itu akan mendapat perlindungan. +
14 Tetapi jika seseorang naik marah lalu dengan sengaja membunuh orang lain, dia mesti dihukum mati walaupun dia lari ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan.
15 Sesiapa yang memukul bapanya atau ibunya mesti dihukum mati.
16 Sesiapa yang menculik orang, sama ada sudah dijual ataupun masih di rumahnya, penculik itu mesti dihukum mati. +
17 Sesiapa yang mengutuk bapanya ataupun ibunya mesti dihukum mati. +
18 Jika dalam suatu pergaduhan, seseorang memukul orang lain dengan batu atau memukul dia dengan tinju, tetapi tidak membunuhnya, orang itu tidak akan dihukum. Jika orang yang dipukul itu harus berbaring akibat pukulan itu,
19 tetapi kemudian dapat bangun dan berjalan dengan menggunakan tongkat, orang yang memukulnya itu mesti membayar ganti rugi selama orang itu sakit, dan merawatnya sehingga sembuh.
20 Jika seseorang memukul abdinya dengan kayu, sama ada abdi itu lelaki ataupun perempuan, lalu abdi itu mati dengan serta-merta, orang yang memukul abdi itu mesti dihukum.
21 Tetapi jika abdi itu tidak mati selepas satu atau dua hari, tuannya tidak akan dihukum. Kehilangan abdi itu sudah merupakan hukuman baginya.
22 Jika ada beberapa orang lelaki bergaduh lalu mencederakan seorang perempuan hamil sehingga dia keguguran, tetapi perempuan itu sendiri tidak cedera pada bahagian lain, orang yang mencederakan perempuan itu mesti didenda menurut permintaan suami perempuan itu, dengan persetujuan para hakim.
23 Tetapi jika perempuan itu sendiri cedera, hukumannya adalah nyawa ganti nyawa,
24 mata ganti mata, gigi ganti gigi, tangan ganti tangan, kaki ganti kaki, +
25 luka bakar ganti luka bakar, luka ganti luka, dan lebam ganti lebam.
26 Jika seseorang memukul mata abdinya, lelaki ataupun perempuan, lalu menyebabkan mata itu buta, dia mesti membebaskan abdinya itu sebagai pembayaran ganti rugi untuk mata itu.
27 Jika seseorang memukul abdinya sampai patah gigi abdinya, dia mesti membebaskan abdinya itu sebagai pembayaran ganti rugi untuk gigi itu.”
Tanggungjawab Pemilik
28 “Jika seekor lembu jantan menanduk seseorang sehingga orang itu mati, lembu jantan itu mesti direjam dan dagingnya tidak boleh dimakan, tetapi pemiliknya tidak akan dihukum.
29 Tetapi jika lembu jantan itu selalu menyerang orang, dan pemiliknya sudah diberikan peringatan tetapi dia tidak mengurung lembu jantan itu, lalu jika lembu jantan itu menanduk seseorang sehingga orang itu mati, lembu jantan itu mesti direjam dan pemiliknya juga mesti dihukum mati.
30 Tetapi jika pemilik itu dibenarkan membayar denda, dia mesti membayar seberapa banyak yang diminta untuk menebus nyawanya.
31 Jika lembu jantan itu membunuh seorang anak lelaki atau seorang anak perempuan, peraturan yang sama harus diikuti.
32 Jika lembu jantan itu membunuh seorang abdi lelaki atau seorang abdi perempuan, pemilik lembu jantan itu mesti membayar pemilik abdi itu sebanyak tiga puluh keping wang perak, dan lembu jantan itu mesti direjam sampai mati.
33 Jika seseorang membuka penutup perigi ataupun menggali perigi tanpa menutupnya, lalu seekor lembu jantan atau keldai jatuh ke dalam perigi itu,
34 pemilik perigi itu mesti membayar ganti rugi kepada pemilik ternakan itu, tetapi dia boleh mengambil ternakan yang mati itu bagi dirinya.
35 Jika lembu jantan milik seseorang membunuh lembu jantan orang lain, kedua-dua orang itu mesti menjual lembu yang hidup itu lalu membahagikan wang harganya. Mereka juga mesti membahagikan daging lembu jantan yang sudah mati itu.
36 Tetapi jika sudah diketahui bahawa lembu jantan itu sering menanduk lembu lain dan pemiliknya tidak mengurung lembu jantan itu, dia mesti membayar ganti rugi dengan lembu jantan yang hidup, dan mengambil lembu jantan yang sudah mati itu bagi dirinya.”