Dua Buah Batu Tulis yang Baru
(Ul 10.1-5)
34
1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua buah batu tulis seperti yang dahulu. Pada batu tulis itu, Aku akan menulis firman yang sama dengan firman yang ada pada batu tulis yang pertama, yang telah engkau pecahkan.
2 Bersiap-siaplah esok pagi, dan naiklah ke Gunung Sinai untuk menghadap Aku di puncak gunung itu.
3 Tiada sesiapa pun boleh naik bersama-samamu, atau kelihatan di bahagian mana pun gunung itu; domba ataupun lembu tidak boleh meragut di kaki gunung itu.”
4 Kemudian Musa memahat dua buah batu tulis seperti yang dahulu, dan pada awal pagi esoknya dia membawa batu tulis itu, lalu naik ke Gunung Sinai, seperti yang diperintahkan TUHAN.
5 TUHAN turun dalam awan; Dia berdiri dengan Musa di tempat itu dan menyebut nama-Nya yang suci, iaitu TUHAN.q
6 Kemudian TUHAN lalu di hadapan Musa dan berfirman, “Aku TUHAN, Allah yang penuh dengan rahmat dan belas kasihan; Aku tidak cepat murka, dan Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan yang besar.
7 Aku menepati janji-Ku kepada beribu-ribu keturunan,r serta mengampunkan kejahatan dan dosa, tetapi Aku tidak akan membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman. Aku juga akan menghukum anak-anak dan cucu-cicit mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan yang keempat, kerana dosa ibu bapa mereka.” +
8 Dengan segera Musa bersujud menyembah.
9 Dia berkata, “Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, aku mohon Engkau ikut dengan kami. Umat ini degil, tetapi ampunkanlah kejahatan serta dosa kami, dan terimalah kami sebagai umat-Mu sendiri.”
Perjanjian Dibaharui
(Kel 23.14-19; Ul 7.1-5; 16.1-17)
10 TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku membuat suatu perjanjian dengan umat Israel. Di depan mata mereka, Aku akan melakukan perkara-perkara besar, yang belum pernah dilakukan antara bangsa-bangsa di seluruh bumi. Semua bangsa akan melihat apa yang dapat Aku, TUHAN lakukan, kerana Aku akan melakukan perkara yang hebat untuk kamu.
11 Taatilah hukum yang Aku berikan kepadamu hari ini. Aku akan mengusir orang Amori, Kanaan, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi apabila kamu pergi ke sana.
12 Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri yang akan kamu duduki, kerana hal itu akan menjadi perangkap yang mengakibatkan kebinasaan kamu.
13 Robohkanlah mazbah-mazbah mereka; hancurkanlah tugu-tugu keramat mereka, dan tebanglah lambang-lambang Asyera, berhala mereka. +
14 Jangan sembah tuhan-tuhan lain, kerana Aku, TUHAN, tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.
15 Jangan buat perjanjian dengan orang di negeri itu, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu. Maka kamu akan tergoda untuk makan makanan yang dipersembahkan mereka kepada tuhan-tuhan itu.
16 Anak-anak lelaki kamu mungkin akan berkahwin dengan anak-anak perempuan mereka, yang akan menyebabkan anak-anak lelaki kamu tidak lagi setia kepada-Ku, dan menyembah tuhan-tuhan lain.
17 Jangan buat tuhan-tuhan daripada logam, dan jangan sembah tuhan-tuhan itu. +
18 Rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Sebagaimana telah Aku perintahkan, makanlah roti tidak beragi selama tujuh hari pada bulan Abib, kerana pada bulan itu kamu telah meninggalkan Mesir. +
19 Setiap anak lelaki sulung dan anak jantan sulung ternakan adalah milik-Ku. +
20 Tetapi kamu harus menebus setiap anak sulung keldai kamu dengan mempersembahkan seekor domba sebagai penggantinya. Jika kamu tidak menebus keldai itu, patahkanlah lehernya. Kamu harus menebus setiap anak lelaki sulung kamu.
Tidak seorang pun boleh menghadap Aku tanpa membawa persembahan. +
21 Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi jangan bekerja pada hari ketujuh, walaupun pada masa membajak atau masa menuai. +
22 Rayakanlah Perayaan Menuai apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu. Rayakanlah juga Perayaan Pondok Daun pada musim luruh, apabila kamu memetik buah-buahan. +
23 Tiga kali setahun, semua orang lelaki mesti datang menyembah Aku TUHAN, Allah Israel.
24 Setelah Aku mengusir bangsa-bangsa dari hadapan kamu dan meluaskan wilayah kamu, tiada sesiapa pun yang akan cuba menakluki negeri kamu pada waktu tiga perayaan itu.
25 Jangan persembahkan roti yang beragi apabila kamu mempersembahkan binatang sebagai korban kepada-Ku. Sisa binatang yang disembelih pada masa Perayaan Paska tidak boleh disimpan sehingga esok pagi. +
26 Tiap-tiap tahun, bawalah hasil pertama dari tanah kamu ke rumah TUHAN, Allah kamu.
Jangan masak anak domba atau anak kambing dalam air susu induknya.” +
27 TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman ini Aku membuat perjanjian dengan engkau dan dengan Israel.”
28 Musa tinggal di tempat itu bersama-sama TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, tanpa makan dan minum. Musa menulis perkataan perjanjian itu, iaitu Sepuluh Hukum, pada batu-batu tulis itu.
Musa Turun dari Gunung Sinai
29 Apabila Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa Sepuluh Hukum itu, mukanya bercahaya kerana dia telah bercakap dengan TUHAN, tetapi Musa sendiri tidak tahu bahawa mukanya bercahaya.
30 Harun dan segenap umat melihat bahawa muka Musa bercahaya. Oleh itu mereka takut mendekati Musa,
31 tetapi Musa memanggil mereka. Kemudian Harun bersama dengan para pemimpin umat mendekatinya, dan Musa berkata-kata kepada mereka.
32 Selepas itu, segenap umat Israel berkumpul di sekeliling Musa. Lalu kepada mereka, Musa menyampaikan segala hukum yang diberikan TUHAN kepadanya di Gunung Sinai.
33 Selepas Musa berucap kepada mereka, dia menutup mukanya dengan selubung.
34 Setiap kali Musa masuk ke dalam Khemah TUHAN untuk bercakap dengan TUHAN, Musa membuka selubungnya. Selepas Musa keluar, dia menyampaikan segala yang diperintahkan TUHAN kepada segenap umat Israel,
35 dan mereka nampak mukanya bercahaya. Kemudian Musa menutup mukanya semula sehingga sampai masanya dia bercakap lagi dengan TUHAN. +
q 34:5 TUHAN: Lihat 3.14.
r 34:7 beribu-ribu keturunan; atau beribu-ribu orang.
+ 34:7 Kel 20.5-6; Bil 14.18; Ul 5.9-10, 7.9-10
+ 34:13 Ul 16.21
+ 34:17 Kel 20.4; Im 19.4; Ul 5.8, 27.15
+ 34:18 Kel 12.14-20; Im 23.6-8; Bil 28.16-25
+ 34:19 Kel 13.2
+ 34:20 Kel 13.13
+ 34:21 Kel 20.9-10, 23.12, 31.14-15, 35.2; Im 23.3; Ul 5.13-14
+ 34:22 Im 23.15-21, 39.43; Bil 28.26-31
+ 34:25 Kel 12.10
+ 34:26 Ul 24.20-21, 26.2
+ 34:35 2 Kor 3.7-16