Banjir
7
1 Kemudian TUHAN berfirman kepada Nuh, “Aku mendapati engkau satu-satunya orang yang melakukan kehendak-Ku. Oleh itu masuklah ke dalam bahtera bersama-sama semua anggota keluargamu.
2-3 Bawalah tujuh pasang daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang yang halal, tetapi hanya satu pasang daripada tiap-tiap jenis yang haram. Lakukanlah hal itu supaya daripada setiap jenis binatang dan burung ada yang terselamat, lalu dapat membiak semula di bumi.
4 Tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan yang tidak akan berhenti selama empat puluh hari dan empat puluh malam, supaya semua makhluk hidup yang sudah Aku ciptakan itu binasa.”
5 Lalu Nuh melakukan segala yang diperintahkan TUHAN.
6 Nuh berumur enam ratus tahun ketika berlaku banjir di bumi.
7 Nuh dan isterinya, bersama dengan anak-anaknya serta isteri-isteri mereka, masuk ke dalam bahtera untuk menyelamatkan diri daripada banjir. +
8 Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap jenis burung dan binatang, baik yang halal mahupun yang haram,
9 masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh, seperti yang diperintahkan oleh Allah.
10 Tujuh hari kemudian banjir melanda bumi.
11 Ketika Nuh berumur enam ratus tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, segala mata air di bawah tanah terbelah. Segala pintu air di langit terbuka, +
12 lalu hujan turun selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
13 Pada hari itu juga, Nuh dan isterinya masuk ke dalam bahtera bersama dengan ketiga-tiga orang anak mereka, iaitu Sem, Yafet, dan Ham, serta isteri masing-masing.
14 Bersama-sama mereka masuk pula setiap jenis binatang, baik yang jinak mahupun yang liar, yang besar mahupun yang kecil, dan juga setiap jenis burung.
15 Seekor jantan dan seekor betina daripada tiap-tiap makhluk hidup masuk ke dalam bahtera bersama dengan Nuh,
16 seperti yang diperintahkan oleh Allah. Selepas semuanya masuk, TUHAN menutup pintu bahtera.
17 Banjir terus-menerus melanda bumi selama empat puluh hari, dan air naik sehingga bahtera terapung.
18 Air semakin naik sehingga bahtera terapung-apung pada permukaan air.
19 Air masih naik sehingga meliputi gunung-gunung yang paling tinggi.
20 Air terus-menerus naik sampai tujuh meter lebih tinggi daripada puncak gunung.
21-23 TUHAN membinasakan semua makhluk yang hidup di bumi: manusia, burung, dan binatang darat yang kecil mahupun yang besar. Hanya Nuh dan semua yang ada bersama-sama dia di dalam bahtera tidak binasa.
24 Air tidak kunjung surut selama seratus lima puluh hari.