Perjanjian Allah dengan Nuh
9
1 Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya, serta berfirman kepada mereka, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak supaya keturunan kamu mendiami seluruh bumi. +
2 Semua burung dan ikan, serta binatang lain akan takut kepada kamu; semuanya berada dalam kekuasaan kamu.
3 Kini kamu boleh makan semuanya, serta tumbuh-tumbuhan hijau; Aku memberikan semua itu kepada kamu sebagai makanan.
4 Hanya daging yang masih berdarah tidak boleh kamu makan, kerana nyawa itu terkandung di dalam darah. +
5 Setiap orang dan binatang yang membunuh manusia akan Kuhukum mati.
6 Manusia diciptakan seperti Allah; oleh itu, sesiapa yang membunuh manusia akan dibunuh oleh manusia juga. +
7 Kamu harus mempunyai banyak anak cucu, supaya keturunan kamu dapat mendiami seluruh bumi.” +
8 Allah berfirman kepada Nuh dan anak-anaknya,
9 “Sekarang Aku membuat perjanjian dengan kamu dan keturunan kamu,
10 dan juga dengan semua makhluk hidup, iaitu burung dan binatang; semua yang keluar dari bahtera bersama dengan kamu.
11 Inilah perjanjian-Ku dengan kamu. Aku berjanji bahawa semua makhluk hidup tidak akan dibinasakan oleh banjir lagi. Banjir tidak akan memusnahkan bumi lagi.
12 Sebagai tanda perjanjian abadi yang Aku buat dengan kamu dan semua makhluk hidup,
13 Aku menempatkan pelangi-Ku di langit. Pelangi menjadi tanda perjanjian-Ku dengan dunia.
14 Tiap-tiap kali Aku meliputi langit dengan awan dan pelangi itu kelihatan,
15 Aku akan mengingat perjanjian-Ku dengan kamu dan dengan semua makhluk hidup, bahawa banjir tidak lagi akan membinasakan semua makhluk hidup.
16 Apabila pelangi itu kelihatan di langit, Aku akan melihatnya dan mengingat perjanjian abadi antara Aku dan semua makhluk yang hidup di bumi.
17 Itulah tanda perjanjian yang Aku buat dengan semua makhluk yang hidup di bumi.”
Nuh dan Anak-Anaknya
18 Anak-anak Nuh yang keluar dari bahtera itu ialah Sem, Ham, dan Yafet. (Ham ialah bapa Kanaan.)
19 Ketiga-tiga orang anak Nuh itu ialah nenek moyang semua orang di dunia.
20 Nuh ialah petani, dan dialah yang mula-mula menanam anggur.
21 Setelah Nuh minum wainnya, dia menjadi mabuk. Dia menanggalkan semua pakaiannya lalu berbaring telanjang di dalam khemahnya.
22 Apabila Ham, bapa Kanaan, melihat bapanya bertelanjang, dia keluar dan memberitahukan hal itu kepada kedua-dua orang saudaranya.
23 Kemudian Sem dan Yafet mengambil sehelai jubah. Mereka membentangkan jubah itu pada bahu, lalu berjalan mundur masuk ke khemah dan menyelimuti bapa mereka dengan jubah itu. Mereka memalingkan muka supaya tidak nampak bapa mereka yang bertelanjang.
24 Apabila Nuh sedar daripada mabuknya dan mengetahui perbuatan anak bongsunya,
25 dia berkata,
“Terkutuklah Kanaan!
Dia akan menjadi abdi saudara-saudaranya.
26 Pujilah TUHAN, Allah Sem!
Kanaan akan menjadi abdi Sem.
27 Semoga Allah menambahkan berkat kepada Yafetx dengan meluaskan tempat tinggalnya.
Semoga keturunannya tinggal bersama dengan keturunan Sem.
Kanaan akan menjadi abdi Yafet.”
28 Selepas banjir itu, Nuh hidup selama 350 tahun lagi.
29 Nuh meninggal ketika dia berumur 950 tahun.