Hidup yang Menyenangkan Hati Allah
4
1 Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu.
2 Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus.
3 Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul.
4 Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinyad dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia,
5 serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah.
6 Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu.
7 Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah.
8 Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci.
9 Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi.
10 Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi.
11 Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu.
12 Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu.
Kedatangan Tuhan Yesus
13 Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan.
14 Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus.
15 Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia.
16 Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu.
17 Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. +
18 Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.