SURAT PAULUS YANG KEDUA
KEPADA JEMAAH DI
TESALONIKA
Kata Pengantar
Kedatangan semula Kristus masih menimbulkan persoalan di kalangan jemaah di Tesalonika. Surat Paulus yang Kedua kepada Jemaah di Tesalonika ditulis untuk menyelesaikan masalah ini. Jemaah di Tesalonika berpendapat bahawa Kristus sudah datang kembali. Paulus memberikan penjelasan bahawa pendapat itu salah, kerana sebelum Kristus datang kembali, kejahatan dan kekejaman akan memuncak di bawah pimpinan seorang yang dikenal sebagai “Manusia Jahat” yang akan menentang Kristus.
Kepada para pembacanya, Paulus menegaskan pentingnya bertahan dalam kepercayaan mereka kepada Kristus, walaupun kehidupan mereka susah dan penuh penderitaan. Paulus menasihati mereka supaya mencari nafkah, seperti yang dilakukan oleh Paulus dan rakan-rakannya. Mereka juga harus tekun mengamalkan perbuatan baik.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-2
Pujian dan Doa 1.3-12
Penjelasan tentang Kedatangan Kristus 2.1-17
Nasihat tentang Kelakuan Orang Kristian 3.1-15
Penutup 3.16-18
1
1 Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius, serta ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi umat Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus. +
2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Ucapan Syukur dan Doa
3 Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain.
4 Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan.
5 Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah,A yang baginya kamu telah mengalami penderitaan.
6 Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita.
7 Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa,
8 dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita.
9 Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia. +
10 Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan.
11 Itulah sebabnya kami sentiasa mendoakan kamu. Kami berdoa supaya Allah menjadikan kamu layak untuk hidup menurut kehendak-Nya; untuk hal itulah Dia telah memanggil kamu. Semoga Allah dengan kekuasaan-Nya memenuhi segala keinginan kamu untuk berbuat baik, dan menyempurnakan segala usaha yang kamu lakukan, kerana percaya kepada Kristus.
12 Dengan demikian Yesus Tuhan kita akan kamu muliakan dan kamu pun akan dimuliakan oleh-Nya. Semuanya akan berlaku kerana rahmat Allah kita dan rahmat Tuhana Yesus Kristus.