SURAT KEPADA ORANG
IBRANI
Kata Pengantar
Surat kepada Orang Ibrani ditujukan kepada segolongan orang Kristian yang sedang menghadapi tentangan keras. Ada kemungkinan mereka akan membuang iman. Penulis surat ini berusaha menggalakkan mereka, supaya tetap percaya kepada Yesus. Dia menunjukkan bahawa Yesus Kristus adalah wahyu Allah yang sempurna. Penulis surat mengemukakan tiga perkara: (1) Yesus ialah Anak Allah, Anak yang kekal. Dia taat kepada Bapa melalui penderitaan yang sudah ditanggung-Nya dengan tabah. Sebagai Anak Allah, Yesus lebih tinggi daripada nabi-nabi dalam Perjanjian Lama, dan lebih tinggi daripada malaikat-malaikat, dan bahkan lebih tinggi daripada Musa. (2) Allah sudah menyatakan Yesus sebagai imam yang kekal, yang lebih tinggi daripada imam-imam dalam Perjanjian Lama. (3) Melalui Yesus, orang yang percaya kepada-Nya diselamatkan daripada dosa, ketakutan, dan kematian. Sebagai Imam Agung, Yesus memberi manusia penyelamatan yang sejati, yang hanya dibayangkan oleh upacara persembahan korban dan upacara lainnya dalam agama Yahudi.
Kemudian penulis surat ini menyebut iman beberapa orang tokoh dalam sejarah Israel sebagai contoh (fasal 11). Dalam fasal 12, dia mendorong para pembacanya supaya setia sehingga akhir, dengan sentiasa menumpukan pandangan kepada Yesus. Dia menggalakkan mereka supaya tabah menderita dan tabah menghadapi penganiayaan. Surat ini diakhiri dengan nasihat dan amaran.
Kandungan
Pendahuluan: Kristus Wahyu Allah yang Sempurna 1.1-3
Kristus Lebih Tinggi daripada Malaikat 1.4—2.18
Kristus Lebih Tinggi daripada Musa dan Yosua 3.1—4.13
Keagungan Kedudukan Kristus sebagai Imam 4.14—7.28
Keagungan Perjanjian Kristus 8.1—9.28
Keagungan Korban Kristus 10.1-39
Keutamaan Iman 11.1—12.29
Nasihat dan Penutup 13.1-25
Allah Berfirman melalui Anak-Nya
1
1 Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara.
2 Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya.
3 Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi.
Keagungan Anak Allah
4 Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat.
5 Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya,
“Engkaulah Anak-Ku;
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.”
Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini,
“Aku akan menjadi Bapa-Nya,
dan Dia akan menjadi Anak-Ku.” +
6 Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman,
“Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu.” +
7 Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian,
“Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin,
dan hamba-hamba-Nya nyala api.” +
8 Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman,
“Takhta-Mu, ya Allah, akan kekala selama-lamanya!
Engkau memerintah umat-Mub dengan keadilan.
9 Engkau suka akan keadilan,
dan benci akan kecurangan;
itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau
dan memberi Engkau kehormatan
yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar
daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu.” +
10 Allah juga berfirman,
“Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi,
dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit.
11 Semua itu akan lenyap,
dan menjadi usang seperti pakaian;
tetapi Engkau tidak akan berubah.
12 Alam semesta Engkau lipat seperti jubah,
dan akan Engkau ganti seperti pakaian.
Tetapi Engkau tidak akan berubah,
dan hidup-Mu tidak akan berakhir.” +
13 Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini,
“Duduklah di sebelah kanan-Ku,
sehingga musuh-musuh-Mu
Aku jadikan alas kaki-Mu.” +
14 Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan.