10
1 Malanglah kamu! Kamu membuat undang-undang yang tidak adil untuk menindas umat-Ku.
2 Begitulah caranya kamu menghalang orang miskin mendapat hak mereka dan keadilan, serta merampas milik para balu dan anak yatim piatu.
3 Apa yang akan kamu lakukan apabila Allah menghukum kamu kelak? Apa yang akan kamu lakukan apabila Dia mendatangkan bencana dari negeri yang jauh? Kepada siapakah kamu akan lari minta pertolongan? Di mana akan kamu sembunyikan kekayaan kamu?
4 Kamu akan mati terbunuh dalam pertempuran, atau diseret sebagai tawanan. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum kamu.
Raja Asyur sebagai Alat Allah
5 TUHAN berfirman, “Malanglah Asyur! Aku menggunakan Asyur sebagai belantan untuk menghukum orang yang Aku marahi.
6 Aku mengirim Asyur untuk menyerang suatu bangsa yang telah membuang iman, dan yang telah membangkitkan kemurkaan-Ku. Aku mengutus Asyur untuk menjarah, mencuri, dan memijak-mijak bangsa itu seperti lumpur di jalan.”
7 Tetapi dalam hatinya, raja Asyur mempunyai rancangannya sendiri. Raja itu bertekad menggunakan kekerasan dan memusnahkan banyak bangsa.
8 Raja bercakap besar, “Tiap-tiap panglima beta ialah seorang raja!
9 Beta telah mengalahkan kota Kalno dan Karkemis, kota Hamat dan Arpad. Beta telah mengalahkan kota Samaria dan Damsyik.
10 Beta menghukum kerajaan-kerajaan yang menyembah berhala. Berhala mereka lebih banyak daripada berhala di Yerusalem dan Samaria.
11 Beta telah memusnahkan Samaria dengan segala berhalanya. Sekarang beta akan berbuat demikian juga terhadap Yerusalem dan patung-patung yang disembah di situ.”
12 Tetapi Tuhan berfirman, “Setelah selesai apa yang hendak Aku lakukan di Bukit Sion dan di Yerusalem, Aku akan menghukum raja Asyur kerana cakap besarnya dan kesombongannya.”
13 Raja Asyur bercakap besar, “Beta telah melakukan segalanya itu dengan kekuatan beta sendiri. Beta bijak dan pandai. Beta menghapuskan sempadan antara negeri dan merampas bekalan mereka. Seperti seekor lembu jantan, beta telah memijak-mijak bangsa yang tinggal di situ.
14 Bangsa-bangsa di dunia ini seperti sarang burung; beta merampas harta mereka semudah beta mengumpulkan telur. Tidak seekor burung pun yang menggerakkan sayap untuk menakutkan beta atau membuka paruh untuk menciap!”
15 Tetapi TUHAN berfirman, “Dapatkah sebilah kapak memegahkan diri terhadap orang yang menggunakannya? Adakah sebilah gergaji lebih penting daripada orang yang menggunakan gergaji itu? Bukan belantan yang mengangkat orang, sebaliknya orang yang mengangkat belantan.”
16 TUHAN Yang Maha Kuasa akan mendatangkan penyakit untuk menghukum panglima-panglima yang tegap. Mereka akan menghidap penyakit demam seperti api membakar terus-menerus.
17 Allah, cahaya Israel, akan menjadi api. Allah Israel, Allah yang suci, akan menjadi nyala api, yang dalam sehari akan menghanguskan segala-galanya, bahkan duri dan lalang.
18 Hutan lebat dan ladang subur di Asyur akan dimusnahkan sama sekali seperti seorang sakit yang merana hingga mati.
19 Pokok akan tinggal sedikit sahaja, sehingga seorang anak kecil pun dapat mengiranya.
Sedikit Orang Akan Kembali
20 Masanya akan tiba apabila umat Israel yang terselamat tidak lagi bergantung kepada bangsa yang hampir membinasakan mereka. Mereka akan sungguh-sungguh bergantung kepada TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci.
21 Sedikit sahaja umat Israel akan kembali kepada Allah yang perkasa.
22 Walaupun sekarang umat Israel sebanyak pasir di tepi laut, hanya sedikit yang akan kembali. Kebinasaan menantikan umat Israel dan memang mereka layak dihukum.
23 Sesungguhnya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa akan mendatangkan kebinasaan ke seluruh negeri ini, sebagaimana yang telah difirmankan-Nya. +
TUHAN Akan Menghukum Negeri Asyur
24 TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman kepada umat-Nya yang tinggal di Sion, “Jangan takut akan orang Asyur walaupun mereka menindas kamu seperti orang Mesir dahulu.
25 Tidak lama lagi Aku akan berhenti menghukum kamu, lalu Aku akan memusnahkan mereka.
26 Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, akan mencambuk mereka dengan cemeti sebagaimana Aku mencambuk orang Midian di Batu Oreb dahulu. Aku akan menghukum Asyur sebagaimana Aku menghukum Mesir.
27 Apabila masanya tiba kelak, Aku akan membebaskan kamu daripada penindasan Asyur, dan mereka tidak akan menguasai kamu lagi.”t
Musuh Melancarkan Serangan
28 Tentera musuh telah menawan kota Ayat!u Mereka telah melintasi Migron! Mereka meninggalkan bekalan di Mikhmas!
29 Mereka telah melalui genting dan sekarang sedang bermalam di Geba! Penduduk kota Rama ketakutan, dan penduduk Gibea, kota Raja Saul telah melarikan diri.
30 Berteriaklah, hai penduduk Galim! Dengarlah, hai penduduk Laisya! Jawablah, hai penduduk Anatot!
31 Penduduk Madmena dan Gebim lari untuk menyelamatkan diri.
32 Pada hari ini musuh berada di kota Nob; di sana mereka mengepalkan tinju ke arah Bukit Sion, ke kota Yerusalem.
33 TUHAN Yang Maha Kuasa akan menggugurkan mereka seperti dahan-dahan yang ditebang dari pokoknya. Orang yang paling sombong dan megah akan ditebang dan dihinakan.
34 TUHAN akan menebang mereka seperti pokok di tengah hutan ditebang dengan kapak. Walaupun mereka kuat seperti pokok yang paling baik di Lebanon, mereka akan roboh juga. +
+ 10:23 Rm 9.27
t 10:27 Dalam naskhah Ibrani masih ada tambahan tiga perkataan yang tidak jelas ertinya.
u 10:28 Ayat: Kota ini dan kota-kota lain yang disebut dalam ayat 28-32 letaknya dekat Yerusalem, di sepanjang jalan yang dilalui oleh penyerbu yang menyerang dari utara.
+ 10:34 Yes 14.24-27; Nah 1.1—3.19; Zef 2.13-15