Allah Akan Memusnahkan Moab
15
1 Inilah perkhabaran TUHAN tentang Moab.
Kota Ar dan Kir dimusnahkan dalam satu malam. Seluruh negeri Moab menjadi sunyi.
2 Penduduk Dibona mendaki bukit untuk menangis di tempat penyembahan dewa. Penduduk Moab meratapi kota Nebo dan Medeba. Mereka telah mencukur rambut dan janggut sebagai tanda berduka.
3 Orang di jalan memakai kain guni. Di tanah lapang dan di bumbung rumah,b orang meratap dan menangis.
4 Tangisan orang di Hesybon dan Eleale terdengar sampai ke Yahas. Bahkan askar-askar pun gementar; mereka hilang semangat.
5 Aku mengasihani Moab. Penduduknya sudah lari ke Zoar dan Eglat-Selisia. Ada yang mendaki jalan ke Luhit sambil menangis. Ada pula yang lari ke Horonaim sambil menjerit-jerit dengan sedih kerana ditimpa bencana.
6 Sungai Nimrim sudah kering. Rumput di tepinya sudah layu dan tidak ada lagi tumbuhan yang hijau.
7 Orang menyeberangi Sungai Haarabim untuk menyelamatkan diri dengan segala harta mereka.
8 Di serata perbatasan Moab kedengaran suara tangisan. Tangisan itu kedengaran juga di Eglaim dan Beer-Elim.
9 Di kota Dibon, air sungai menjadi merah kerana bercampur darah. Namun Allah akan mendatangkan hal yang lebih dahsyat lagi bagi penduduk di sana. Sesungguhnya setiap orang yang masih hidup di Moab akan mati dibantai.