Allah Akan Menghukum Siria dan Israel
17
1 TUHAN berfirman, “Damsyik tidak lagi merupakan sebuah kota, tetapi hanya setimbunan runtuhan.
2 Kota-kota di negeri Siria akan ditinggalkan selama-lamanya.e Lembu dan domba akan berkeliaran di sana dan tidak dihalau oleh sesiapa pun.
3 Israel akan kehilangan perlindungan, dan Damsyik akan kehilangan kemerdekaan. Orang Siria yang terselamat akan hidup dalam kehinaan seperti orang Israel. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.” +
4 TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila kebesaran Israel akan berakhir, dan kekayaannya akan lenyap.
5 Israel akan menjadi seperti ladang yang hasilnya sudah dituai, dan terbiar seperti ladang di Lembah Refaim selepas hasilnya habis dipungut.
6 Hanya sedikit orang yang akan terselamat. Ketika itu Israel akan menjadi seperti pokok zaitun yang buahnya habis dipetik, dan tinggal beberapa biji sahaja pada bahagian atas sekali atau pada dahan yang rendah. Aku, TUHAN, Allah Israel, telah berfirman.”
7 Apabila hari itu tiba kelak, orang akan kembali minta tolong kepada Pencipta mereka, Allah Israel, Allah yang suci.
8 Mereka tidak lagi bergantung kepada mazbah-mazbah buatan mereka sendiri, ataupun berharap kepada karya tangan mereka sendiri, iaitu patung-patung Dewi Asyera dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan.
9 Apabila hari itu tiba kelak, kota-kota yang kuat pertahanannya akan menjadi runtuhan dan lengang seperti kota-kota yang ditinggalkan orang Hewi dan orang Amorif ketika mereka lari daripada orang Israel.
10 Hai Israel, engkau telah melupakan Allah yang menyelamatkan engkau, dan yang melindungi engkau seperti gunung batu. Sebaliknya engkau telah menanami kebun-kebun indah untuk dewa-dewa.g
11 Walaupun tanaman itu bertunas dan berbunga pada pagi engkau menanamnya, namun tidak akan ada hasil apa-apa; yang ada hanya kesusahan dan kesakitan yang tidak dapat disembuhkan.
Negara-Negara Musuh Dikalahkan
12 Bangsa-bangsa yang kuat menjadi riuh, dan gemuruhnya seperti gelora ombak laut yang kuat.
13 Bangsa-bangsa mara seperti ombak besar, tetapi Allah mengherdik mereka, lalu mereka undur. Mereka diusir seperti sekam di lereng bukit yang diterbangkan angin, dan seperti debu yang ditiup puting beliung.
14 Pada petang hari mereka mengganas, tetapi pagi esoknya mereka lenyap. Itulah yang ditentukan bagi setiap orang yang menjarah negeri kita.
e 17:2 Sebuah terjemahan kuno: Kota-kota...selama-lamanya; Naskhah Ibrani: Kota-kota Aroer sudah ditinggalkan.
+ 17:3 Yer 49.23-27; Am 1.3-5; Za 9.1
f 17:9 Sebuah terjemahan kuno: orang Hewi dan orang Amori; Naskhah Ibrani: tanah berhutan dan negeri berbukit.
g 17:10 kebun-kebun indah untuk dewa-dewa: Lihat 1.29.