Perkhabaran tentang Tirus dan Sidon
23
1 Inilah perkhabaran TUHAN tentang Tirus.
Merataplah, hai pelaut-pelaut Sepanyol di laut! Kota kamu di Tirus sudah dimusnahkan. Rumah dan pelabuhan kamu sudah menjadi reruntuhan. Kamu mendengarnya ketika kamu bertolak dari Siprus.
2 Menangislah, hai saudagar-saudagar dari Sidon! Kamu yang menyuruh orang
3 ke seberang laut untuk berjual-beli gandum dari Mesir dan untuk berdagang dengan semua bangsa.
4 Kota Sidon telah dipermalukan! Laut serta samudera raya enggan mengakui engkau, dan berkata, “Aku tidak mempunyai anak. Aku tidak pernah membesarkan anak lelaki atau anak perempuan.”
5 Bahkan orang Mesir pun akan terperanjat dan tawar hati apabila mendengar bahawa Tirus sudah dimusnahkan.
6 Merataplah dan larilah ke Sepanyol, hai penduduk kawasan pantai!
7 Inikah kota Tirus yang sentiasa bersukacita, yang dibina sejak zaman dahulu kala? Inikah kota yang mengutus orang ke seberang laut untuk merantau dan menetap di sana?
8 Siapakah yang merancangkan segala hal ini bagi Tirus, kota yang besar itu? Bukankah saudagar-saudagarnya kaum bangsawan yang paling dihormati di bumi?
9 TUHAN Yang Maha Kuasa telah merancangkannya, supaya Dia dapat mengakhiri kesombongan mereka yang sentiasa membangga-banggakan perbuatan mereka, serta menghina orang yang terhormat.
10 Pergilah bercucuk tanam, hai penduduk Sepanyol! Tiada sesiapa pun yang akan melindungi kamu lagi.
11 TUHAN telah merentangkan tangan-Nya ke atas lautan dan menggulingkan kerajaan-kerajaan. Dia telah memerintah supaya pusat-pusat perdagangan di Funisia dimusnahkan.
12 Hai kota Sidon, kegembiraanmu sudah berakhir. Sekarang rakyatmu ditindas. Walaupun mereka lari ke negeri Siprus, mereka masih tidak selamat.
(
13 Bukan orang Asyur, melainkan orang Babilonia yang membiarkan binatang-binatang liar berkeliaran di Tirus. Orang Babilonia yang membina menara-menara untuk mengepung musuh; merekalah yang merobohkan kubu-kubu di Tirus, serta menjadikan kota itu reruntuhan.)
14 Merataplah, hai pelaut-pelaut yang belayar di laut! Kota yang kamu harapkan itu sudah musnah.
15 Masanya akan tiba apabila Tirus dilupakan selama tujuh puluh tahun, iaitu sepanjang usia seorang raja. Selepas itu, Tirus akan menjadi seperti seorang pelacur yang digambarkan oleh lagu berikut:
16 Bawalah kecapimu, kelilingilah kota,
hai pelacur yang telah dilupakan orang!
Petiklah kecapimu, bernyanyilah semula,
supaya orang ingat akan kamu lagi!
17 Selepas tujuh puluh tahun itu, TUHAN akan membenarkan Tirus meneruskan perdagangannya dengan kerajaan-kerajaan di bumi ini semula.
18 Segala hasil perdagangan itu akan ditahbiskan untuk TUHAN. Wang daripada perdagangan itu tidak akan disimpan tetapi digunakan untuk membeli makanan dan pakaian yang diperlukan oleh orang yang menyembah TUHAN. +
+ 23:18 Yeh 26.1—28.19; Yl 3.4-8; Am 1.9-10; Za 9.1-4; Mat 11.21-22; Luk 10.13-14