TUHAN Satu-satunya Allah
44
1 TUHAN berfirman,
“Dengarlah, hai hamba-Ku Israel,
hai umat pilihan-Ku, keturunan Yakub.
2 Akulah TUHAN yang telah menciptakan kamu,
yang membentuk kamu semasa kamu dalam kandungan,
dan Aku akan menolong kamu.
Janganlah takut; kamu hamba-Ku,
umat pilihan-Ku yang Aku kasihi.
3 Aku akan mencurahkan air pada tanah yang gersang,
dan mengalirkan anak-anak sungai di tempat yang kering.
Aku akan mencurahkan Roh-Ku pada anak-anak kamu,
Aku akan memberkati keturunan kamu.
4 Mereka akan tumbuh subur seperti rumput di tempat yang berair,
seperti pokok gandarusa di tepi sungai yang mengalir.
5 Seorang demi seorang akan berkata, ‘Aku milik TUHAN.’
Mereka akan bergabung dengan umat Israel.
Tiap-tiap orang akan menulis pada lengannya: Milik TUHAN,
serta menyebut dirinya sebagai anggota umat Allah.”
6 TUHAN yang memerintah dan melindungi Israel,
TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman,
“Akulah yang pertama dan yang terakhir, Allah satu-satunya;
selain Aku, tiada yang lain. +
7 Siapakah dapat melakukan apa yang telah Kubuat?
Siapakah dapat meramalkan apa yang akan berlaku
sejak permulaan hingga akhir zaman?
8 Janganlah takut, hai umat-Ku!
Kamu tahu bahawa sejak dahulu hingga sekarang
Aku telah bernubuat tentang segala yang akan berlaku;
kamulah saksi-saksi-Ku.
Selain Aku, tiada yang lain,
dan tiada pelindung lain yang belum Aku ketahui.”
Teguran terhadap Penyembahan Berhala
9 Semua orang yang membuat berhala tidak berguna, dan dewa-dewa yang dipuja mereka pun tidak berguna. Mereka yang menyembah dewa-dewa itu buta dan tidak tahu apa-apa; oleh itu mereka akan dipermalukan.
10 Sia-sia sahaja membuat patung daripada logam lalu menyembahnya sebagai dewa!
11 Tiap-tiap orang yang menyembah patung itu akan dipermalukan. Orang yang membuat berhala itu manusia belaka. Suruhlah mereka menghadap Aku; pasti mereka akan takut dan dipermalukan.
12 Tukang besi mengambil sekeping logam lalu membentuknya dengan menggunakan api dan pemukul. Dia mengerjakannya dengan sekuat tenaga. Sementara membentuk logam itu, dia merasa lapar, haus, dan penat.
13 Tukang kayu mengukur kayu. Dia melukis bentuk dengan kapur, mengukirnya dengan alat-alatnya, dan menjadikannya patung yang berupa manusia yang kacak, lalu meletakkannya di dalam rumahnya.
14 Barangkali dia menggunakan kayu sedar, kayu oak atau kayu sipres dari hutan. Barangkali dia menanam pokok laurel dan menantikan hujan supaya pokok itu tumbuh.
15 Demikianlah seorang mendapat kayu dan menggunakan sebahagian sebagai bahan api, dan sebahagian lagi untuk membuat berhala. Sebahagian kayu itu digunakannya sebagai kayu api, baik untuk memanaskan diri ataupun untuk membakar roti, dan sebahagian lagi untuk membuat dewa yang disembahnya.
16 Sebahagian kayu itu digunakan untuk menyalakan api. Lalu dia memanggang daging, memakan daging itu, dan berasa puas. Dia juga berdiang sambil berkata, “Alangkah baik dan hangatnya api itu!”
17 Kayu yang selebihnya dijadikan patung berhala, lalu dia sujud dan menyembahnya. Dia berdoa kepada berhala itu dan berkata, “Engkaulah tuhanku; selamatkanlah aku!”
18 Orang seperti itu terlalu bodoh untuk memahami perbuatan mereka itu. Mereka memejamkan mata dan menutup fikiran sehingga tidak mengetahui apa yang benar.
19 Mereka yang membuat patung-patung itu tidak terfikir untuk berkata, “Sebahagian kayu itu aku bakar; apinya aku gunakan untuk membakar roti dan aku memanggang daging, lalu aku memakannya. Kayu yang selebihnya aku jadikan berhala. Lihatlah, yang aku sembah itu hanya sepotong kayu!”
20 Perbuatan itu sama sahajam dengan memakan abu. Fikirannya disesatkan sehingga dia tidak dapat ditolong lagi. Dia tidak mahu mengaku bahawa berhala yang dipegangnya itu bukan tuhan.
TUHAN, Pencipta dan Penyelamat
21 TUHAN berfirman,
“Ingatlah, hai Israel;
ingatlah bahawa kamu hamba-Ku.
Aku menciptakan kamu untuk menjadi hamba-Ku;
Aku tidak akan melupakan kamu.
22 Aku telah menghapus segala dosa kamu seperti awan dibawa angin.
Kembalilah kepada-Ku, kerana Akulah yang menyelamatkan kamu.”
23 Bersoraklah dengan ria, hai langit!
Bersoraklah, hai tempat-tempat dalam di bumi!
Bersoraklah dengan ria, hai gunung-ganang,
dan hutan serta segala pokoknya!
TUHAN telah menunjukkan kebesaran-Nya
dengan menyelamatkan umat-Nya Israel.
24 “Akulah TUHAN Penyelamat kamu;
Akulah yang menjadikan kamu.
Akulah TUHAN Pencipta segala sesuatu.
Aku sendiri yang membentangkan langit;
Aku menciptakan bumi tanpa bantuan.
25 Aku mempermainkan tukang tilik,
Aku menggagalkan ramalan ahli nujum.
Aku membantah pendapat orang bijak,
dan menyatakan bahawa kebijaksanaan mereka itu kebodohan. +
26 Tetapi apabila hamba-Ku bernubuat,
apabila Aku mengutus hamba-Ku untuk menyatakan rancangan-Ku,
Aku melaksanakan nubuat dan rancangan itu.
Aku berfirman bahawa Yerusalem akan didiami semula,
dan kota-kota Yehuda akan dibina semula.
Kota-kota itu akan bangkit daripada runtuhan.
27 Demi perintah-Ku, laut menjadi kering.
28 Aku berfirman kepada Kores, ‘Engkaulah yang akan memerintah bagi-Ku;
engkau akan bertindak menurut kehendak-Ku:
engkau akan memberikan perintah untuk membina Yerusalem semula,
dan untuk meletakkan asas Rumah-Ku.’” +