Allah yang Menentukan Masa Hadapan
48
1 Dengarlah hal ini, hai umat Israel,
keturunan Yehuda,
kamu bersumpah dengan nama TUHAN
dan mengaku menyembah Allah Israel,
tetapi kata-kata kamu itu tidak ikhlas.
2 Namun kamu mengaku dengan bangga
bahawa kamu warga kota yang suci,
dan bahawa kamu bergantung kepada Allah Israel,
yang disebut TUHAN Yang Maha Kuasa.
3 TUHAN berfirman kepada Israel,
“Sejak dahulu Aku telah berfirman tentang hal yang akan berlaku,
lalu dengan tiba-tiba Aku melaksanakannya.
4 Aku tahu bahawa kamu keras kepala,
keras hati dan berkepala batu.
5 Oleh itu sejak dahulu Aku berfirman tentang masa depan kamu,
Aku mengisytiharkan hal-hal yang belum berlaku;
supaya kamu tidak dapat berkata
bahawa hal itu perbuatan patung berhala kamu.
6 Segala nubuat-Ku telah berlaku sekarang,
kamu harus mengaku bahawa nubuat-Ku itu benar.
Sekarang Aku bernubuat pula tentang hal-hal yang baru,
rahsia-rahsia yang belum kamu ketahui.
7 Baru sekarang Aku melakukannya,
belum pernah kamu mendengar hal itu,
supaya kamu tidak dapat berkata
bahawa kamu sudah mengetahui segala-galanya.
8 Aku tahu bahawa kamu tidak boleh dipercayai,
kamu dikenal sebagai penderhaka.
Itulah sebabnya kamu tidak mengetahuinya,
dan tidak sepatah kata pun sampai ke telinga kamu.
9 Aku menahan kemurkaan-Ku,
supaya orang memuji nama-Ku.
Aku menahan kemarahan-Ku,
supaya kamu tidak dibinasakan.
10 Aku telah menguji kamu dengan api kesengsaraan,
seperti perak diuji di dalam relau.
11 Perbuatan-Ku ini bagi kepentingan-Ku sendiri,
Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemar,
atau membahagi kemuliaan-Ku dengan sesiapa pun.”
Kores, Pemimpin yang Dipilih TUHAN
12 TUHAN berfirman, “Dengarlah, hai Israel,
umat yang telah Kupanggil.
Akulah Allah, satu-satunya Allah,
yang pertama dan yang terakhir! +
13 Tangan-Ku meletakkan asas bumi,
dan membentangkan langit.
Apabila Aku memerintah langit dan bumi menghadap,
kedua-duanya datang dengan segera.
14 Berhimpunlah dan dengarlah, kamu semua!
Tidak satu dewa pun dapat meramalkan
bahawa orang yang Aku pilih itu akan menyerang Babel;
dia akan menjalankan perintah-Ku.
15 Akulah yang telah berfirman serta memanggil dia;
Aku memimpin dia dan memberi dia kejayaan.
16 Dekatilah Aku, dan dengarlah firman-Ku.
Sejak permulaan Aku telah berfirman dengan terus terang,
dan sentiasa menjadikan firman-Ku kenyataan.”
Rancangan TUHAN untuk Umat-Nya
Sekarang TUHAN Raja mengutus aku
dan memberi aku kuasa-Nya.
17 Firman Allah Israel, Allah yang suci,
TUHAN Penyelamat kamu,
“Akulah TUHAN, Allah kamu,
Aku mengajar kamu apa yang baik bagi kamu,
Aku memimpin kamu di jalan yang harus kamu tempuh.
18 Sekiranya kamu memperhatikan hukum-Ku,
tentu kamu menerima berkat yang tidak putus-putus
seperti sungai yang tidak pernah kering.
Kamu akan terus-menerus berjaya
seperti ombak laut yang tidak berhenti.
19 Keturunan kamu akan menjadi sebanyak butir pasir
dan Aku akan memastikan supaya mereka tidak binasa.”
20 Keluarlah dan larilah dari Babel!
Isytiharkanlah berita itu dengan sorak gembira.
Siarkan berita itu ke mana-mana,
“TUHAN telah menyelamatkan Israel, hamba-Nya!” +
21 Ketika TUHAN memimpin umat-Nya melalui padang gurun,
mereka tidak kehausan.
Dia mengeluarkan air dari bukit batu untuk mereka;
Dia membelah bukit batu, lalu air pun memancut.
22 “Orang yang berdosa tidak akan selamat,”
demikianlah firman TUHAN. +