Nabi Mengutuk Dosa Umat
59
1 Jangan sangka bahawa TUHAN terlalu lemah untuk menyelamatkan kamu, atau terlalu pekak untuk mendengar seruan kamu minta tolong!
2 Kerana dosa kamu, Dia tidak mendengarkan kamu, apabila kamu berdoa kepada-Nya. Dosa kamu memisahkan kamu daripada-Nya.
3 Kamu telah berdosa kerana berdusta, berlaku curang, membunuh, dan berlaku ganas.
4 Kamu mengadukan perkara tanpa alasan, dan kamu tidak menghakimi perkara dengan adil. Kamu mendapat kemenangan dengan berdusta. Kamu merancang untuk menyakiti orang lain, dan kamu melakukan kejahatan itu.
5-6 Rancangan jahat kamu membawa maut, seperti telur ular berbisa. Apabila telur itu pecah, ular keluar! Tetapi muslihat kamu sia-sia sahaja seperti pakaian yang dibuat daripada sarang labah-labah!
7 Kamu selalu merancangkan sesuatu yang jahat, dan ingin segera melaksanakannya. Kamu tidak ragu-ragu membunuh orang yang tidak bersalah. Ke mana sahaja kamu pergi kamu meninggalkan keruntuhan dan kebinasaan,
8 dan tiada seorang pun selamat. Segala perbuatan kamu tidak adil. Kamu mengikut jalan yang sesat, dan orang yang mengikut jalan itu tidak selamat. +
Umat Mengakui Dosa Mereka
9 Umat itu berkata, “Sekarang barulah kami tahu sebabnya Allah tidak menyelamatkan kami daripada orang yang menindas kami. Kami menanti-nantikan cahaya, tetapi hanya kegelapan yang ada.
10 Kami meraba-raba seperti orang buta. Kami tersandung pada tengah hari, seolah-olah hari sudah malam. Kami seperti orang mati di kalangan orang hidup.
11 Kami takut dan sedih. Kami mengharapkan Allah untuk menyelamatkan kami daripada penindasan dan kejahatan, tetapi tiada apa-apa berlaku.
12 Kesalahan kami terhadap-Mu sungguh banyak. Dosa kami menyalahkan kami. Kami sungguh-sungguh menyedari kejahatan kami.
13 Kami telah memberontak terhadap TUHAN, menolak Dia, dan tidak mahu mengikut Allah kami. Kami telah menindas orang lain dan menyeleweng daripada-Mu. Fikiran kami sesat dan kata-kata kami dusta belaka.
14 Hukum yang adil telah disingkirkan dan keadilan dijauhkan. Kejujuran dipandang rendah di tempat-tempat umum, dan ketulusan diketepikan.
15 Tiada lagi orang yang jujur sehingga sesiapa yang menjauhi kejahatan menjadi mangsa kejahatan.”
TUHAN Bersiap-siap Menyelamatkan Umat-Nya
TUHAN nampak semuanya; Dia murka kerana tiada keadilan lagi.
16 Dia hairan kerana tiada sesiapa pun menolong orang yang tertindas. Oleh itu, dengan kuasa-Nya sendiri Dia akan menyelamatkan mereka dan memberi mereka kemenangan. +
17 Dia memakai keadilan sebagai baju zirah dan penyelamatan sebagai topi besi. Dia bertekad untuk memulihkan keadaan dan membalas ketidakadilan. +
18 Dia akan menghukum musuh-Nya menurut perbuatan mereka, termasuk juga orang yang tinggal di negeri-negeri yang jauh.
19 Dari timur ke barat, tiap-tiap orang takut akan keagungan dan kuasa-Nya. Dia akan datang seperti air sungai yang deras dan seperti angin yang kuat.
20 TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Aku akan datang ke Yerusalem untuk membela dan menyelamatkan semua orang yang bertaubat daripada dosa. +
21 Aku membuat perjanjian dengan kamu: Aku telah memberi kamu kuasa-Ku dan ajaran-Ku untuk menjadi milik kamu selama-lamanya. Mulai sekarang hendaklah kamu taat kepada-Ku, dan mengajar anak serta keturunan kamu supaya taat kepada-Ku selama-lamanya.”