Allah Memanggil Yesaya untuk Menjadi Nabi
6
1 Pada tahun Raja Uzia mangkat, aku nampak Tuhan. Dia bersemayam di atas takhta-Nya yang tinggi dan mulia. Kelepet jubah-Nya memenuhi seluruh Rumah TUHAN. +
2 Makhluk-makhluk yang bernyala seperti api berdiri di sekeliling-Nya: setiap makhluk mempunyai enam sayap. Tiap-tiap makhluk itu menggunakan dua sayap untuk menutup muka, dua sayap lagi untuk menutup tubuh, dan dua lagi untuk terbang.
3 Makhluk-makhluk itu berseru satu sama lain,
“Suci, suci, suci!
Sucilah TUHAN Yang Maha Kuasa!
Bumi penuh dengan hadirat-Nya yang mulia.” +
4 Suara makhluk-makhluk itu menyebabkan asas Rumah TUHAN bergoncang, dan Rumah TUHAN itu dipenuhi asap. +
5 Lalu aku berkata, “Malanglah aku! Tiada harapan lagi bagi aku, kerana tiap-tiap perkataanku itu dosa, dan aku hidup di kalangan orang yang begitu juga. Namun dengan mataku sendiri, aku telah melihat Raja, TUHAN Yang Maha Kuasa!”
6 Kemudian salah satu makhluk itu terbang turun kepadaku, membawa bara yang diambilnya dari mazbah dengan sepit.
7 Dia menyentuh bibirku dengan bara itu sambil berkata, “Bara ini telah menyentuh bibirmu. Oleh itu, kesalahanmu sudah dihapuskan, dan dosamu pun sudah diampunkan.”
8 Kemudian aku mendengar Tuhan berfirman, “Siapakah yang akan Kuutus? Siapa akan menjadi utusan kita?”
Aku menjawab, “Inilah aku. Utuslah aku!”
9 Lalu Dia menyuruh aku memberikan perkhabaran ini kepada umat, “Kamu akan terus mendengar, tetapi tidak mengerti. Kamu akan terus memperhatikan, tetapi tidak tahu apa yang berlaku.”
10 Kemudian Dia berfirman kepadaku, “Tumpulkanlah fikiran umat ini, tulikanlah telinga mereka dan butakanlah mata mereka supaya mereka tidak dapat melihat, atau mendengar, ataupun mengerti. Jika mereka tidak demikian, mungkin mereka kembali kepada-Ku lalu disembuhkan.” +
11 Aku bertanya, “Sampai bilakah hal ini akan berlangsung, ya Tuhan?”
Dia menjawab, “Sehingga kota-kota runtuh dan musnah tanpa penghuni, rumah-rumah tidak didiami lagi dan tanah menjadi kosong serta tandus.
12 Aku akan membuang umat itu ke tempat yang jauh, dan Aku akan menjadikan seluruh negeri sepi tidak berpenghuni.
13 Bahkan jika ada seorang antara sepuluh yang masih tertinggal di negeri itu, dia juga akan dibinasakan. Dia akan menjadi seperti tunggul pokok oak yang telah ditebang. Tunggul itu melambangkan permulaan yang baru bagi umat Allah.”