62
1 Aku akan bercakap demi Yerusalem;
aku tidak akan diam sehingga Yerusalam diselamatkan,
dan kemenangannya bersinar seperti suluh pada waktu malam.
2 Hai Yerusalem, bangsa-bangsa akan menyaksikan kemenanganmu.
Raja-raja mereka akan melihat kemuliaanmu!
Engkau akan disebut dengan nama yang baru,
nama yang diberikan oleh TUHAN sendiri.
3 Engkau akan menjadi seperti mahkota indah untuk TUHAN,
dan mahkota kerajaan bagi Allahmu.
4 Engkau tidak lagi disebut “Yang Ditinggalkan”,
negerimu tidak lagi disebut “Yang Kesepian”.
Tetapi engkau akan disebut “Yang Diperkenankan Allah”,
negerimu akan disebut “Yang Sudah Menikah”
kerana TUHAN berkenan kepadamu,
dan menjadi seperti suami terhadap negerimu.
5 Sebagaimana seorang pemuda mengahwini seorang dara,
demikianlah Penciptamu memperisteri engkau.
Sebagaimana pengantin lelaki gembira melihat pengantin perempuan,
demikian juga Allahmu menyukai engkau.
6 Di tembokmu, hai Yerusalem, Aku menempatkan pengawal;
siang malam mereka tidak boleh diam.
Mereka mesti mengingatkan TUHAN tentang janji-Nya,
supaya jangan sekali-kali Dia melupakannya.
7 Mereka mesti terus mengingatkan Dia,
sehingga Dia memulihkan Yerusalem,
dan menjadikannya kota
yang termasyhur di seluruh dunia.
8 TUHAN telah berjanji dengan sumpah,
dan akan melaksanakannya dengan kuasa-Nya.
“Gandummu tidak akan dimakan oleh musuhmu lagi,
dan wain yang kamu hasilkan dengan susah payah,
tidak akan diminum oleh orang bangsa asing lagi.
9 Tetapi kamu yang menabur dan menuai gandum
akan menikmati hasilnya dan memuji TUHAN.
Kamu yang memetik buah anggur
akan menikmati wain di halaman Rumah-Ku.”
10 Hai penduduk Yerusalem, keluarlah dari bandar,
dan binalah jalan bagi orang kamu yang pulang dari pembuangan.
Binalah sebatang lebuh raya; buanglah batu-batu!
Dirikanlah panji-panji supaya bangsa-bangsa tahu
11 bahawa TUHAN mengumumkan hal ini kepada seluruh bumi,
“Beritahulah penduduk Yerusalem,
bahawa TUHAN datang untuk menyelamatkan kamu.
Orang yang telah diselamatkan-Nya dibawa-Nya bersama-sama.” +
12 Kamu akan disebut “Umat Yang Suci”,
“Umat Yang Telah Diselamatkan TUHAN”.
Yerusalem akan disebut “Kota Yang Dikasihi Allah”,
“Kota Yang Tidak Ditinggalkan Allah”.
+ 62:11 Yes 40.10; Why 22.12