Hukuman Allah bagi Pemberontak
65
1 TUHAN berfirman, “Aku bersedia mengabulkan doa umat-Ku, tetapi mereka tidak berdoa kepada-Ku. Aku bersedia ditemui oleh mereka, tetapi mereka tidak cuba mencari Aku. Bangsa ini tidak berdoa kepada-Ku, walaupun Aku sentiasa bersedia menjawab, ‘Inilah Aku. Aku mahu menolong kamu.’ +
2 Aku sentiasa bersedia menyambut umat-Ku, tetapi mereka selalu berdegil dan melakukan perkara-perkara yang salah serta mengikut kehendak mereka sendiri. +
3 Mereka terus-menerus membuat Aku murka. Mereka mempersembahkan korban di taman-taman keramatd dan membakar kemenyan di mazbah-mazbah dewa.
4 Pada waktu malam mereka pergi ke gua dan kubur untuk minta nasihat arwah. Mereka makan daging babi dan minum kuah daging yang telah dipersembahkan kepada berhala.
5 Kemudian mereka berkata, ‘Jauhilah kami. Jangan sentuh kami kerana kami terlalu suci bagi kamu!’ Aku membenci orang yang berkelakuan demikian. Kemurkaan-Ku terhadap mereka seperti api yang tidak pernah padam.
6 Aku telah menentukan hukuman bagi mereka. Hukuman itu telah Kutuliskan. Aku tidak akan membiarkan perbuatan mereka. Aku akan membalas
7 dosa mereka dan dosa nenek moyang mereka. Mereka telah membakar kemenyan untuk dewa-dewa di tempat pemujaan di bukit, dan menghina Aku. Oleh itu Aku akan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.”
8 TUHAN berfirman, “Tiada sesiapa pun memusnahkan buah anggur yang baik; sebaliknya mereka membuat wain daripadanya. Aku pun tidak akan membinasakan semua umat-Ku; Aku akan menyelamatkan mereka yang mengabdikan diri kepada-Ku.
9 Aku akan memberkati umat Israel daripada suku Yehuda. Keturunan mereka akan memiliki tanah pergunungan-Ku. Umat pilihan-Ku yang mengabdikan diri kepada-Ku akan tinggal di situ.
10 Mereka akan menyembah Aku, dan akan memimpin ternak mereka ke Dataran Saron di sebelah barat, dan ke Lembah Akhor di sebelah timur. +
11 Tetapi bukan begitu kesudahan kamu yang meninggalkan Aku serta tidak mempedulikan Sion, bukit-Ku yang suci,e dan yang menyembah Gad dan Meni, dewa nasib dan dewa takdir.
12 Kamu akan mati dengan dahsyatnya kerana kamu tidak menjawab ketika Aku memanggil, dan kamu tidak mendengar ketika Aku berfirman. Kamu sengaja tidak mahu taat kepada-Ku dan kamu sengaja melakukan kejahatan.
13 Sesungguhnya, orang yang menyembah Aku dan taat kepada-Ku akan mendapat banyak makanan dan minuman, tetapi kamu akan lapar dan dahaga. Mereka akan gembira tetapi kamu akan dihina.
14 Mereka akan menyanyi dengan gembira, sedangkan kamu akan menangis dan putus asa.
15 Umat pilihan-Ku akan menggunakan nama kamu sebagai kutukan. Aku, TUHAN Raja akan membunuh kamu, tetapi kepada mereka yang taat kepada-Ku akan Kuberikan nama yang baru.
16 Sesiapa yang tinggal di negeri itu, dan yang memohon berkat akan minta diberkati oleh Allah yang setia. Sesiapa yang bersumpah, akan bersumpah demi Allah yang setia. Hal itu demikian kerana penderitaan pada masa yang lalu telah lenyap dan dilupakan.”
Ciptaan Baru
17 TUHAN berfirman, “Aku akan mencipta langit yang baru dan bumi yang baru. Peristiwa-peristiwa yang lalu akan dilupakan sama sekali. +
18 Bergiranglah dan bersukacitalah selama-lamanya kerana apa yang Aku ciptakan. Yerusalem baru yang Aku cipta akan penuh kegembiraan dan penduduknya akan bahagia.
19 Aku sendiri akan bersukacita kerana Yerusalem dan penduduknya. Di sana tiada lagi tangisan ataupun seruan minta tolong. +
20 Anak-anak tidak akan mati ketika masih bayi, dan orang akan panjang umur. Mereka yang berusia seratus tahun akan dianggap muda. Sesiapa yang mati sebelum seratus tahun akan dianggap kena hukuman-Ku.
21-22 Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya; hasil itu tidak akan dinikmati orang lain. Umat-Ku akan panjang umur seperti pokok. Mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka.
23 Usaha mereka akan berjaya, dan anak mereka tidak akan ditimpa malapetaka. Aku akan memberkati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya.
24 Sebelum mereka habis berdoa, Aku sudah mengabulkan doa mereka.
25 Serigala dan anak domba akan makan bersama-sama, singa akan makan jerami seperti lembu, dan ular tidak berbahaya lagi. Di Sion, bukit-Ku yang suci,f tidak lagi terdapat perkara yang berbahaya ataupun jahat.” +