Ayub
19
1 Kemudian Ayub menjawab,
2 “Mengapakah kamu terus mengecam aku,
dan menyeksa aku dengan perkataan kamu?
3 Berulang-ulang kamu menghina aku,
dan menyalahkan aku tanpa rasa malu.
4 Seandainya salah perbuatanku,
hal itu tidak merugikan kamu.
5 Kamu berfikir bahawa kamu lebih baik daripada aku,
dan kamu menganggap kesusahanku sebagai bukti kesalahanku.
6 Ketahuilah bahawa Allah yang menyalahkan aku.
Dia telah memasang perangkap untuk menangkap aku.
7 Aku berseru, ‘Kejam!’
tetapi tidak ada yang mendengarkan;
aku berseru minta tolong,
tetapi tidak ada keadilan.
8 Allah telah menutup jalanku sehingga aku tidak dapat lewat;
Dia telah meliputi jalanku dengan kegelapan yang pekat.
9 Dia telah merampas segala kekayaanku,
dan merosakkan nama baikku.
10 Dia menghentam aku dari segala arah.
Dia mencabut harapanku seperti orang mencabut pokok kayu.
11 Kemurkaan Allah terhadapku menyala-nyala,
dan aku dianggap-Nya sebagai musuh-Nya.
12 Dia menghantar tentera-Nya untuk menyerang aku;
mereka menghalangi jalanku dan mengepung khemahku.
13 Allah menjauhkan saudaraku daripada aku;
aku menjadi orang asing kepada kenalanku.
14 Saudara maraku telah meninggalkan aku,
dan sahabat-sahabatku tidak mengingat aku.
15 Orang yang pernah menginap di rumahku telah melupakan aku;
aku dianggap sebagai orang asing oleh hamba perempuanku.
16 Apabila aku memanggil hambaku, dia tidak menjawab
walaupun aku mohon pertolongannya.
17 Isteriku tidak tahan bau nafasku,
saudara kandungku sendiri tidak mahu menghampiri aku.
18 Bahkan kanak-kanak pun menghina aku,
dan tertawa apabila melihat aku.
19 Sahabat karibku jijik melihat aku,
mereka yang sangat aku kasihi meninggalkan aku.
20 Badanku hanya tinggal kulit pembalut tulang;
nyawaku hampir melayang.
21 Kamu sahabat-sahabatku! Kasihanilah aku!
Tangan Allah telah memukul aku.
22 Mengapa kamu mengikut Allah menganiaya aku?
Belum cukupkah kamu menyeksa aku?
23 Alangkah baiknya jika kata-kataku dicatat,
dan ditulis di dalam kitab supaya diingat;
24 ataupun dipahat pada batu,
agar kekal sepanjang waktu.z
25 Tetapi aku tahu bahawa di syurga ada Penyelamatku;
akhirnya Dia akan datang menolong aku.
26 Walaupun kulitku habis dimakan penyakit,
tetapi aku akan melihat Allah selagi aku bertubuh.a
27 Aku akan melihat Dia dengan mataku sendiri,
dan bagiku Dia tidak menjadi asing lagi.
Hatiku hancur kerana kamu berkata,
28 ‘Bagaimanakah kita dapat menyeksa dia?’
Kamu mencari alasan untuk menyerang aku.
29 Tetapi sekarang, takutlah pada pedang,
kerana Allah murka dan menghukum orang berdosa;
maka tahulah kamu bahawa Allah mengadili manusia.”b