Si Penggoda Menguji Ayub Lagi
2
Makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN lagi, dan Si Penggoda pun hadir bersama-sama mereka. TUHAN bertanya kepada Si Penggoda, “Dari mana engkau?”
Si Penggoda menjawab, “Aku telah mengembara ke sana sini dan menjelajahi seluruh bumi.”
TUHAN berfirman, “Adakah engkau perhatikan Ayub, orang yang mengabdi kepada-Ku? Di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Dia beribadat kepada-Ku dan sungguh berhati-hati supaya tidak berbuat jahat. Engkau telah memujuk Aku supaya membenarkan engkau mencelakakan dia tanpa alasan, tetapi Ayub masih tetap setia kepada-Ku.”
Si Penggoda menjawab, “Manusia rela mengorbankan segala milik mereka supaya dapat terus hidup. Tetapi jika Engkau menyakiti tubuhnya, tentu dia akan mengutuk Engkau secara terang-terang.”
Maka TUHAN berfirman kepada Si Penggoda, “Baiklah, lakukan apa saja dengan dia, asalkan engkau tidak membunuh dia.”
Kemudian Si Penggoda meninggalkan TUHAN, lalu mendatangkan kudis kepada Ayub dari telapak kaki sampai mercu kepalanya. Ayub pergi duduk di sebelah timbunan sampah sambil mengikis kudisnya dengan sekeping pecahan tembikar. Isterinya berkata kepadanya, “Masihkah engkau tetap setia kepada Allah? Kutuklah Allah, dan matilah!”
10 Ayub menjawab, “Engkau bercakap seperti orang bodoh. Apabila Allah memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik.” Walaupun Ayub menderita, dia tidak mengucapkan kata-kata yang menentang Allah.
Kedatangan Sahabat-Sahabat Ayub
11 Tiga orang sahabat Ayub, iaitu Elifas dari kota Teman, Bildad dari negeri Suah, dan Zofar dari negeri Naamah mendengar tentang penderitaan Ayub. Kemudian mereka memutuskan untuk berkumpul dan pergi menghiburkan Ayub. 12 Ketika mereka masih jauh, mereka nampak Ayub, tetapi tidak mengenali dia. Apabila mereka menyedari bahawa orang itu Ayub, mereka menangis dan meraung. Mereka mengoyakkan pakaian kerana sedih, dan menaburkan debu ke udara dan pada kepala mereka. 13 Kemudian mereka duduk di atas tanah bersama-sama Ayub selama tujuh hari dan tujuh malam tanpa mengeluarkan sepatah kata pun kerana mereka tahu betapa beratnya penderitaan Ayub.