31
Dengan sumpah aku telah berjanji,
tidak memandang gadis muda dengan berahi.
Apakah yang dilakukan Allah Yang Maha Kuasa kepada kita?
Bagaimanakah Dia membalas perbuatan manusia?
Dia mendatangkan kecelakaan dan kemusnahan
kepada mereka yang melakukan kesalahan.
Allah tahu segala perbuatanku;
Dia melihat setiap langkahku.
Aku bersumpah bahawa aku tidak pernah bertindak curang,
dan aku tidak pernah menipu orang.
Biarlah Allah menimbang aku dengan penimbang yang sah,
dan Dia akan tahu bahawa aku tidak bersalah.
Jika aku telah berpaling dari jalan yang benar,
atau hatiku tertarik kepada hal yang cemar,
jika tanganku kotor kerana dosa,
maka biarlah orang lain makan apa yang aku tabur,
dan biarlah seluruh tanamanku hancur.
Jika aku tertarik kepada isteri jiranku,
dan menanti dia sambil bersembunyi di balik pintu,
10 maka biarlah isteriku memasak makanan lelaki lain,
dan tidur di katil lelaki lain.
11 Dosa seperti itu jahat sekali,
dan orang yang melakukannya patut dihukum mati.
12 Dosa itu membinasakan seperti api neraka,
membakar segala yang aku miliki.
13 Apabila hambaku mengadu kerana haknya kusalahi,
aku mendengar dan memperlakukan dia dengan tulus hati.
14 Jika tidak, bagaimana aku dapat menghadap Allah?
Apakah yang dapat aku katakan ketika aku diadili Allah?
15 Allah yang menciptakan aku,
juga menciptakan hamba-hambaku.
16 Aku belum pernah enggan menolong orang yang papa,
dan belum pernah membiarkan balu hidup putus asa.
17 Aku belum pernah membiarkan anak yatim piatu kelaparan,
sedang aku sendiri cukup makanan.
18 Aku seperti bapa kepada anak yatim piatu,
aku selalu membela balu.
19 Ketika aku bertemu dengan orang yang berkekurangan,
yang terlalu miskin untuk membeli pakaian,
20 aku memberinya pakaian daripada bulu dombaku sendiri,
maka dia akan memuji aku dengan sepenuh hati.
21 Jika aku pernah menipu anak yatim piatu
kerana aku tahu bahawa aku akan memenangi perkaraku,
22 biarlah lenganku dipatahkan,
sehingga dari bahuku dipisahkan.
23 Oleh sebab aku takut terhadap hukuman Allah,
aku tidak sekali-kali berani melakukan hal itu.
24 Aku tidak pernah bergantung pada kekayaanku,
25 ataupun membanggakan hartaku.
26 Aku tidak pernah menyembah matahari yang bersinar cerah,
ataupun bulan yang bercahaya indah.
27 Aku tidak pernah terpikat kepada semuanya,
dan tidak pernah mencium tanganku untuk menghormati semuanya.
28 Dosa itu patut dijatuhi hukuman mati,
kerana Allah Yang Maha Kuasa diingkari.
29 Aku tidak pernah gembira ketika musuhku menderita,
dan tidak pernah suka apabila mereka ditimpa bencana.
30 Aku tidak pernah mendoakan kematian mereka;
aku tidak pernah berdosa begitu.
31 Semua orang yang bekerja untuk aku tahu
bahawa orang yang tidak kukenal, aku jamu di rumahku.
32 Rumahku terbuka kepada pengembara,
dan aku tidak pernah membiarkan mereka tidur di jalan raya.
33 Orang lain cuba menyembunyikan dosa,
tetapi aku tidak berbuat seperti mereka.
34 Pendapat umum tidak aku takuti,
dan penghinaan orang tidak kupeduli;
aku tidak pernah tinggal di rumah atau diam sahaja,
kerana takut akan cacian mereka.
35 Tiadakah sesiapa yang mahu mendengar kata-kataku?
Aku bersumpah bahawa setiap perkataanku benar.
Biarlah Allah Yang Maha Kuasa menjawab aku.
Jika semua tuduhan lawanku dituliskan
supaya aku dapat melihatnya,
36 maka aku akan memasangnya pada bahu,
dan mengenakannya seperti mahkota pada kepalaku.
37 Aku akan memberitahu Allah segala yang telah kulakukan,
dan menghadap Dia dengan yakin dan kepala terangkat.
38 Jika aku telah mencuri tanah yang aku bajak,
dan aku telah merampasnya daripada pemilik yang sebenar,
39 jika aku makan hasil tanahnya
dan membiarkan petani yang menanamnya kelaparan dan merana,
40 biarlah yang tumbuh di situ, lalang dan duri,
dan bukan gandum ataupun barli.”
Sekianlah kata-kata Ayub.