34
1-2 Kamu semua begitu bijak, begitu pandai;
sekarang dengarlah kata-kataku ini.
3 Orang tahu makanan yang sedap ketika merasanya;
dan kata-kata yang bijak apabila mendengarnya. +
4 Persoalan ini harus kita periksa,
lalu kita putuskan bersama-sama.
5 Ayub berkata, ‘Aku tidak bersalah,
tetapi Allah tidak memberikan keadilan kepadaku.
6 Aku dianggap berdusta, kerana mengatakan aku benar.
Aku cedera parah, tetapi aku tidak bersalah.’
7 Pernahkah kamu melihat orang seperti Ayub ini?
Dia menghina Allah berkali-kali.
8 Dia gemar akan orang jahat sebagai teman,
dan orang durjana sebagai kawan.
9 Dia berkata bahawa tiada gunanya
diperkenankan Allah.
10 Hai orang pandai, dengarlah!
Adakah Allah Yang Maha Kuasa melakukan hal yang salah?
11 Dia membalas manusia setimpal dengan perbuatan mereka
dan memperlakukan mereka dengan sepatutnya. +
12 Allah Yang Maha Kuasa tidak melakukan kejahatan;
semua orang diberikan-Nya keadilan.
13 Adakah Allah mendapatkan kuasa-Nya daripada sesiapa?
Adakah sesiapa yang menugaskan Dia untuk menguasai dunia?
14 Jika Allah mencabut nyawa manusia,
dan mengambil kembali nafas hidup mereka,
15 maka matilah semua orang yang bernyawa,
dan manusia menjadi debu semula.
16 Jika kamu arif, perhatikanlah,
pasanglah telinga dan dengarlah.
17 Jika Allah membenci keadilan, Dia tidak patut memerintah.
Adakah kamu menyalahkan Allah yang adil dan perkasa?
18 Allah menyalahkan pemerintah dan raja,
apabila mereka berbuat jahat dan derhaka.
19 Allah menciptakan setiap insan;
Dia tidak menyebelahi raja,
atau mengutamakan yang kaya daripada yang miskin.
20 Orang mungkin mati pada waktu malam dengan tiba-tiba.
Allah menjatuhkan hukuman kepada manusia dan mereka pun binasa;
Dia membunuh yang perkasa dengan mudah sahaja.
21 Dia memperhatikan kelakuan manusia,
dan meneliti semua langkah mereka.
22 Tiada kegelapan yang cukup gelapnya
untuk menyembunyikan orang berdosa.
23 Allah tidak perlu menentukan masas
untuk mengadili manusia.
24 Dia tidak perlu menyelidiki dan menyiasat penguasa
sebelum memecat mereka, dan mengangkat pengganti mereka.
25 Kerana Dia tahu apa yang dilakukan mereka,
Dia menggulingkan mereka pada waktu malam dan memusnahkan mereka.
26 Dia menghukum orang berdosa di hadapan orang ramai,
27 kerana mereka tidak lagi mengikut Dia;
dan mereka tidak mengendahkan segala perintah-Nya.
28 Mereka menyebabkan orang miskin berseru kepada Allah,
dan Allah mendengar seruan mereka.
29 Jika Allah membuat keputusan untuk diam sahaja,
tiada sesiapa pun dapat mengecam Dia.
Jika Dia menyembunyikan muka-Nya,
tidak sesiapa pun dapat menemukan Dia.
30 Maka bangsa-bangsa tidak berdaya
untuk menghalang penindas daripada menguasai mereka.
31 Ayub, sudahkah engkau mengakui kesalahanmu kepada Allah?
Sudahkah engkau berjanji tidak akan berdosa semula?
32 Sudahkah engkau meminta Allah menunjukkan kesalahan yang tidak engkau ketahui?
Sudahkah engkau bersetuju menghentikan kejahatan itu?
33 Oleh sebab engkau tidak menyetujui perbuatan Allah,
engkau tidak boleh mengharapkan Dia mengabulkan kehendakmu.
Engkaulah yang harus membuat keputusan, bukan aku;
beritahulah kami pendapatmu.
34 Setiap orang yang berakal pasti akan bersetuju;
setiap orang bijak yang mendengar aku akan berkata
35 bahawa Ayub bercakap tanpa mengerti,
dan bahawa kata-katanya tidak mengandung erti.
36 Jika ucapan Ayub ditinjau dengan cermat,
akan nyatalah bahawa dia berkata-kata seperti orang jahat.
37 Bukan sahaja dia berdosa, malah dia memberontak;
dia mengolok-olokkan Allah di hadapan kita.