Jawapan TUHAN kepada Ayub
38
1 Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub,
2 “Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku
dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu?
3 Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku,
dan jawablah soalan-soalan-Ku.
4 Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia?
Jika engkau sangat pandai, jawablah.
5 Siapakah yang menentukan keluasan dunia?
Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya?
Tahukah engkau jawapannya?
6 Apakah yang menyangga tiang-tiangv bumi?
Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini,
7 pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama,
dan makhluk-makhluk syurgaw bersorak gembira?
8 Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samuderax
ketika air memancar keluar dari rahim bumi?
9 Akulah yang meliputi laut dengan awan
dan menyelimutinya dengan kegelapan.
10 Aku menentukan sempadan samudera
dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya.
11 Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi!
Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’ +
12 Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi,
dan memerintah fajar merekah?
13 Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi
dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi?
14 Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah
sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah.
15 Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan,
dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan.
16 Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut?
Pernahkah engkau berjalan di dasar laut?
17 Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu,
pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu?
18 Tahukah engkau keluasan dunia?
Jawablah, jika engkau tahu segalanya.
19 Tahukah engkau asalnya cahaya?
Tahukah engkau tempatnya kegelapan?
20 Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya,
ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang?
21 Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya,
seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia;
tentunya engkau sudah sangat tua!
22 Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku,
tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu?
23 Aku menyediakannya untuk masa kesusahan,
untuk hari pertempuran dan peperangan.
24 Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit,
ataupun ke tempat asal angin timur?
25 Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat,
dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat?
26 Siapakah yang menurunkan hujan
ke tempat yang tidak didiami orang?
27 Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus,
sehingga rumput di sana bertunas?
28 Adakah hujan mempunyai bapa kandung?
Siapakah yang melahirkan embun?
29 Adakah air batu mempunyai ibu?
Siapakah yang melahirkan embun beku?
30 Siapakah yang mengubah air menjadi batu
dan menjadikan permukaan laut beku?
31 Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika,
ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion? +
32 Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim,
dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil?
33 Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala,
dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia?
34 Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan,
dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan?
35 Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung,
adakah kilat datang kepadamu dan berkata, “Saya, tuan!”?
36 Siapakah yang memberitahu burung ibisy bahawa Sungai Nil akan banjir?
Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun?
37 Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan,
dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan,
38 hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan,
dan tanah menjadi ketulan?
39 Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa,
dan mengenyangkan anak singa,
40 apabila singa bersembunyi di dalam gua,
atau menunggu mangsa di dalam sarangnya?
41 Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam
ketika burung itu merayau mencari makanan,
ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan?