5
1 Berserulah, Ayub. Adakah sesiapa yang memberikan jawapan?
Adakah malaikat yang dapat engkau minta bantuan?
2 Orang bodoh mati kerana sakit hati,
orang bebal mati kerana iri hati.
3 Aku pernah nampak orang bodoh yang kelihatan selamat,
tetapi dengan serta-merta aku mengutuk tempat tinggal mereka.
4 Anak-anak mereka tidak selamat;
tiada orang membela mereka di mahkamah.
5 Orang yang lapar makan hasil tanaman orang bodoh
bahkan gandum yang ditengah belukar;
dan orang yang haus harta
mengidamkan kekayaan orang bodoh.
6 Kejahatan tidak muncul dari tanah,
kesusahan tidak timbul dari bumi.
7 Manusia sendirilah yang mendatangkan kesusahan pada diri mereka,
seperti bunga api yang berterbangan daripada api.i
8 Andaikata aku dalam keadaanmu,
kepada Allah aku akan berseru,
kepada-Nya aku akan mengadu,
dan menyerahkan perkaraku.
9 Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah,
dan mukjizat-Nya tidak terkira.
10 Dia mencurahkan hujan ke tanah
dan menyiram ladang hingga basah.
11 Memang Allah yang meninggikan orang hina,
dan membahagiakan orang susah.
12-13 Dia menggagalkan rancangan orang licik,
dan memerangkap orang cerdik,
sehingga mereka terjerat oleh akal mereka
dan segala usaha mereka tidak berjaya. +
14 Pada siang hari mereka ditimpa kegelapan,
sehingga meraba-raba seperti pada waktu malam.
15 Tetapi Allah menyelamatkan orang miskin daripada kematian,
dan orang susah daripada penindasan.
16 Dia memberikan harapan kepada orang miskin,
dan membungkam mulut ketidakadilan.
17 Berbahagialah orang yang ditegur Allah!
Janganlah berasa kecil hati jika engkau diajar-Nya. +
18 Walaupun Allah menyakitimu,
Dia akan mengubatimu;
tangan-Nya yang melukakan,
tangan-Nya juga yang akan menyembuhkan. +
19 Jikalau bahaya mengancam engkau,
Dia akan selalu menyelamatkan engkau.
20 Dia akan memelihara engkau pada masa kebuluran,
dan melindungi engkau daripada maut pada masa peperangan.
21 Allah akan menyelamatkan engkau daripada dusta dan fitnah;
Dia akan menyelamatkan engkau apabila kebinasaan tiba.
22 Apabila keganasan dan kelaparan melanda,
engkau akan tabah bahkan tertawa.
Engkau tidak takut dan cemas
menghadapi binatang buas yang ganas.
23 Ladang yang engkau bajak tidak akan berbatu,
dan binatang liar tidak akan menyerang engkau.
24 Engkau akan hidup aman di dalam khemahmu;
apabila engkau memeriksa dombamu, semuanya selamat.
25 Engkau akan mempunyai banyak keturunan,
sebanyak rumput di padang ternakan.
26 Seperti gandum masak dituai pada musimnya,
engkau akan hidup sampai lanjut usia.
27 Ayub, semua itu telah kami kaji dan dapati benar.
Oleh itu, terimalah kerana hal itu benar.”