Yefta dan Suku Efraim
12
1 Pada masa itu, suku Efraim bersedia untuk berperang. Mereka menyeberangi Sungai Yordan dan menuju ke Zafon. Mereka berkata kepada Yefta, “Mengapa kamu berperang dengan orang Amon tanpa mengajak kami? Sekarang kami akan membakar kamu bersama-sama seisi rumahmu!”
2 Yefta berkata, “Aku dan rakyatku bersengketa dengan orang Amon. Aku memanggil kamu, tetapi kamu tidak datang untuk membantu aku membebaskan diri daripada orang Amon.
3 Apabila aku melihat bahawa kamu tidak mahu menolong, aku mempertaruhkan nyawaku. Aku pergi menyerang mereka, lalu TUHAN memberi aku kemenangan atas mereka. Mengapakah sekarang kamu hendak menyerang aku?”
4 Kemudian Yefta mengumpulkan semua orang Gilead, lalu memerangi suku Efraim dan mengalahkan mereka. (Suku Efraim mengatakan bahawa orang Gilead yang tinggal di wilayah Efraim dan Manasye telah memisahkan diri daripada Efraim, suku mereka.)
5 Orang Gilead merebut tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan, supaya suku Efraim tidak dapat menyeberanginya. Apabila seorang Efraim cuba melarikan diri dengan menyeberangi sungai itu, orang Gilead bertanya kepadanya, “Adakah engkau orang Efraim?” Jika dia menjawab, “Bukan,”
6 mereka menyuruh dia mengucapkan kata, “Syibolet.” Tetapi orang itu akan berkata, “Sibolet” kerana dia tidak dapat mengucapkannya dengan tepat. Kemudian mereka akan menangkap dan membunuh dia di tempat penyeberangan sungai itu. Ketika itu, sebanyak 42,000 orang Efraim terbunuh.
7 Yefta memimpin Israel selama enam tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di kampung halamannyau di Gilead.
Ebzan, Elon, dan Abdon
8 Selepas Yefta, umat Israel dipimpin oleh Ebzan. Dia berasal dari Betlehem.
9 Dia mempunyai tiga puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang anak perempuan. Dia mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan lelaki daripada puak lain, dan mengambil pula tiga puluh orang perempuan daripada puak lain untuk dikahwinkan dengan anak-anak lelakinya. Ebzan memimpin Israel selama tujuh tahun,
10 lalu dia meninggal dan dikebumikan di Betlehem.
11 Selepas Ebzan, umat Israel dipimpin oleh Elon daripada suku Zebulon selama sepuluh tahun.
12 Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Ayalon di wilayah Zebulon.
13 Selepas Elon, umat Israel dipimpin oleh Abdon anak Hilel yang berasal dari Piraton.
14 Dia mempunyai empat puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang cucu lelaki. Mereka mempunyai tujuh puluh ekor keldai tunggangan. Abdon memimpin Israel selama lapan tahun.
15 Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Piraton di wilayah Efraim, di kawasan perbukitan Amalek.
u 12:7 Sebuah naskhah terjemahan kuno: kampung halamannya; Naskhah Ibrani: pekan-pekan.