Simson dan Seorang Gadis dari Timna
14
Pada suatu hari Simson pergi ke Timna, lalu di sana dia nampak seorang gadis Filistin. Simson pulang ke rumah lalu memberitahu ibu bapanya. Katanya, “Saya tertarik kepada seorang gadis Filistin. Pinanglah dia untuk saya. Saya hendak mengahwininya.”
Tetapi ibu bapa Simson berkata kepadanya, “Mengapa engkau harus memilih isteri di kalangan orang Filistin, sedangkan mereka tidak tergolong umat Allah? Tidak dapatkah engkau mencari seorang gadis daripada puak kita sendiri, atau di kalangan seluruh bangsa kita?”
Simson menjawab bapanya, “Gadis Filistin itulah yang saya suka. Saya mahu ayah meminang dia untuk saya.”
Ibu bapa Simson tidak tahu bahawa TUHAN yang menyebabkan Simson melakukan hal itu, kerana TUHAN sedang mencari peluang untuk memerangi orang Filistin. Pada waktu itu orang Filistin menguasai umat Israel.
Maka Simson pergi ke Timna bersama dengan ibu bapanya. Apabila mereka melalui ladang anggur di situ, Simson mendengar auman seekor singa muda. Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN. Lalu Simson mencabik-cabikkan singa itu dengan tangannya, seolah-olah binatang itu hanya seekor anak kambing. Simson tidak memberitahu perkara itu kepada ibu bapanya.
Kemudian Simson menemui gadis itu dan bercakap-cakap dengannya. Simson suka kepadanya. Selepas beberapa waktu, Simson kembali ke tempat itu untuk mengahwini gadis itu. Di tengah jalan, Simson menyimpang hendak melihat singa yang telah dibunuhnya itu. Ketika sampai di situ dia melihat sekawanan lebah dan juga madu di dalam bangkai singa itu. Dia mengambil madu itu dengan tangannya, lalu berjalan terus sambil memakan madu itu. Dia memberikan sedikit madu kepada ibu bapanya, lalu mereka pun memakannya. Tetapi Simson tidak memberitahu mereka bahawa dia telah mengambil madu itu dari dalam bangkai seekor singa.
10 Bapa Simson pergi ke rumah gadis itu, lalu Simson mengadakan jamuan di sana menurut adat pemuda pada masa itu. 11 Ketika orang Filistin nampak Simson, mereka menyuruh tiga puluh orang pemuda menemani dia. 12 Simson berkata kepada pemuda-pemuda itu, “Dengarlah teka-teki ini. Jika kamu dapat menekanya dengan tepat sebelum habis masa tujuh hari perjamuan perkahwinan ini, aku akan memberi setiap orang sehelai kain linen halus dan sepasang pakaian yang baik. 13 Tetapi jika kamu tidak dapat menekanya, setiap orang harus memberi aku kain linen halus dan sepasang pakaian yang baik.”
Pemuda-pemuda itu berkata, “Sebutkanlah teka-tekimu itu. Biarlah kami mendengarnya.”
14 Kemudian Simson berkata,
“Daripada yang memakan, terdapat makanan;
Daripada yang kuat, terdapat manisan.”
Selepas tiga hari, mereka masih belum dapat meneka teka-teki itu.
15 Pada hari keempat,c mereka berkata kepada isteri Simson, “Pujuklah suamimu supaya dia memberitahu kamu makna teka-teki itu. Jika tidak, kami akan membakar kamu dan rumah bapamu.d Rupanya kamu berdua menjemput kami dengan maksud merompak kami!”
16 Oleh itu isteri Simson menangis dan berkata kepada Simson, “Abang tidak mencintai saya. Abang memberikan teka-teki kepada sahabat-sahabat saya, tetapi abang tidak memberitahu saya maknanya. Abang membenci saya.”
Simson berkata, “Dengar dulu! Ibu bapaku sekalipun belum kuberitahu maknanya. Mengapakah aku harus memberitahunya kepadamu?” 17 Isteri Simson menangis terus-menerus selama tujuh hari perjamuan itu. Pada hari ketujuh, Simson memberitahu makna teka-teki itu kepadanya kerana isterinya terus merengek-rengek. Selepas itu isterinya memberitahu maknanya kepada orang Filistin. 18 Oleh sebab itu, pada hari ketujuh itu juga, sebelum Simson masuk ke dalam bilik tidurnya,e para pemuda kota itu berkata kepadanya,
“Apakah yang lebih manis daripada madu?
Apakah yang lebih kuat daripada singa?”
Simson menjawab, “Jika kamu tidak memperalat isteriku, tentu kamu belum dapat jawapannya.”
19 Tiba-tiba Simson menjadi kuat oleh kuasa TUHAN, lalu dia pergi ke Askelon dan membunuh tiga puluh orang lelaki di sana. Dia mengambil pakaian baik yang dipakai mereka lalu memberikannya kepada tiga puluh orang yang telah menjawab teka-tekinya itu. Selepas itu, dia pulang ke rumah dengan hati yang kesal dan marah. 20 Kemudian isteri Simson diberikan kepada orang yang menjadi pengiring Simson pada waktu perkahwinan.
c 14:15 Beberapa buah naskhah terjemahan kuno: keempat; Naskhah Ibrani: ketujuh. d 14:15 membakar...bapamu; atau membakar kamu dengan keluarga kamu. e 14:18 bilik tidur; Naskhah Ibrani: matahari.