Yesus dan Wanita Samaria
4
1 Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis lebih ramai pengikut daripada Yohanes. (
2 Sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun melainkan para pengikut-Nya yang melakukan hal itu.)
3 Apabila Yesus tahu bahawa orang Farisi sudah mendengar hal itu, Dia meninggalkan Yudea lalu kembali ke Galilea.
4 Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria.
5 Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. +
6-8 Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.”
9 Wanita Samaria itu menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?” (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.)l +
10 Yesus menjawab, “Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.”
11 “Tuan,” kata wanita itu, “tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup?
12 Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?”
13 Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi;
14 tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.”
15 Wanita itu berkata, “Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.”
16 Yesus menjawab, “Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.”
17 Wanita itu menjawab, “Saya tidak bersuami.”
Lalu Yesus berkata, “Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami.
18 Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.”
19 Wanita itu berkata, “Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi.
20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.”
21 Yesus berkata kepadanya, “Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem.
22 Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi.
23 Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa.m
24 Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.”n
25 Wanita itu berkata kepada Yesus, “Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.”
26 Yesus menjawab, “Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.”
27 Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, “Mahu apa?” atau bertanya kepada Yesus, “Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?”
28 Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar.
29 Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?”
30 Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus.
31 Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!”
32 Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.”
33 Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?”
34 Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku.
35 Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai!
36 Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama.
37 Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’
38 Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.”
39 Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.”
40 Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari.
41 Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya.
42 Mereka berkata kepada wanita itu, “Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.”
Yesus Menyembuhkan Anak Lelaki Pegawai Kerajaan
43 Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea.
44 Yesus berkata, “Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri.” +
45 Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska. +
46 Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. +
47 Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal.
48 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.”
49 Pegawai itu menjawab, “Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.”
50 Lalu Yesus berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.”
Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi.
51 Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh.
52 Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, “Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang.”
53 Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, “Anakmu akan sembuh.” Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus.
54 Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea.
+ 4:5 Kej 33.19; Yos 24.32
l 4:9 Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang digunakan oleh orang Samaria; atau Orang Yahudi tidak ada hubungan dengan orang Samaria.
+ 4:9 Ezr 4.1-5; Neh 4.1-2
m 4:23 dengan kuasa Roh Allah...seperti yang dikehendaki oleh Bapa; Harfiah: penyembah-penyembah benar akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; sebab Bapa menghendaki penyembah-penyembah demikian.
n 4:24 dan hanya dengan kuasa Roh Allah...Allah yang benar; Harfiah: dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.
+ 4:44 Mat 13.57; Mrk 6.4; Luk 4.24
+ 4:45 Yoh 2.23
+ 4:46 Yoh 2.1-11