Penyembahan Berhala
10
1 Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN kepada kamu.
2 Dia berfirman,
“Jangan ikut kebiasaan bangsa-bangsa lain;
jangan gentar melihat tanda-tanda yang luar biasa di langit,
walaupun bangsa-bangsa lain takut.
3 Agama bangsa-bangsa itu tidak berguna sama sekali.
Orang menebang sebatang pokok kayu di hutan;
lalu tukang kayu mengukir batang pokok itu dengan alat pengukir,
4 kemudian menghiasnya dengan emas dan perak.
Kayu yang berukir itu ditegakkan dengan paku
untuk menahannya daripada terjatuh.
5 Patung-patung berhala itu bagaikan orang-orangan di kebun mentimun;
patung berhala tidak dapat bercakap;
patung berhala harus diangkat
kerana tidak dapat berjalan.
Jangan takut akan patung berhala;
patung berhala tidak dapat mencederakan kamu,
dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepada kamu.”
Ibadat kepada TUHAN
6 Ya TUHAN, Engkau tiada taranya;
Engkau sungguh perkasa,
nama-Mu agung dan berkuasa.
7 Siapa yang tidak mahu menghormati Engkau,
raja semua bangsa?
Engkau patut dihormati oleh semua.
Engkau tiada taranya
antara semua orang bijak daripada bangsa-bangsa,
atau antara raja-raja mereka. +
8 Mereka semua bebal dan bodoh.
Apakah yang dapat dipelajari mereka daripada
patung berhala yang dibuat daripada kayu?i
9 Berhala mereka disaluti perak dari Sepanyol,
dan disaluti emas dari Ufas;
semuanya karya para tukang.
Pakaian berhala daripada kain ungu tua dan ungu muda,
ditenun oleh para penenun yang mahir.
10 Tetapi Engkau, TUHAN, Allah yang benar,
Engkau Allah yang hidup,
raja yang kekal.
Apabila Engkau murka, dunia gementar,
bangsa-bangsa tidak tahan menghadapi kemurkaan-Mu.
(
11 Hai umat, kamu harus memberitahu mereka bahawa dewa-dewa yang tidak menciptakan langit dan bumi akan dibinasakan. Dewa-dewa itu akan lenyap dari muka bumi.)
Lagu Pujian kepada Allah
12 TUHAN menjadikan bumi dengan kuasa-Nya;
dengan hikmat-Nya Dia menciptakan dunia
dan membentangkan langit.
13 Dengan perintah-Nya air di cakerawalaj menderu;
Dia membawa awan dari hujung bumi.
Dia menyebabkan kilat memancar dalam hujan,
dan mengirimkan angin dari tempat penyimpanan.
14 Melihat semua itu manusia sedar bahawa
mereka bodoh dan tidak mempunyai pengertian.
Orang yang membuat berhala berasa hampa
kerana berhala buatan mereka itu palsu dan tidak bernyawa.
15 Berhala-berhala itu tidak berguna
dan sepatutnya dihina.
Semuanya akan dimusnahkan
apabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman.
16 Allah Yakub tidak seperti berhala-berhala itu;
Dialah pencipta segala sesuatu.
Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya.
TUHAN Yang Maha Kuasa ialah nama-Nya.
Kegentaran Timbul di dalam Negeri
17 Hai penduduk Yerusalem, kamu dikepung! Oleh itu, kumpulkanlah barang-barang kamu.
18 TUHAN akan membuang kamu dari negeri ini; Dia akan meremukkan kamu sehingga tidak seorang pun tertinggal. Demikianlah firman TUHAN.
19 Penduduk Yerusalem berseru,
“Kami luka parah!
Luka kami tidak akan sembuh.
Dahulu kami sangka bahawa penderitaan ini
dapat kami tanggung, tetapi sebenarnya tidak.
20 Khemah kami rosak;
tali-talinya semua putus.
Anak-anak kami semuanya sudah pergi;
tiada lagi yang dapat memasang khemah kami;
tiada lagi yang dapat menggantungkan kain khemah.”
21 Aku menjawab, “Para pemimpin kita bodoh.
Mereka tidak minta petunjuk daripada TUHAN.
Itulah sebabnya mereka tidak berjaya,
dan bangsa kita terserak ke mana-mana.
22 Dengarlah! Berita sudah tiba!
Ada suatu bangsa di utara yang menimbulkan huru-hara.
Tenteranya akan menjadikan kota-kota Yehuda sepi dan tidak berpenghuni,
sehingga menjadi tempat tinggal anjing hutan.”
23 Ya TUHAN, aku insaf bahawa tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya;
tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.
24 Ya TUHAN, hukumlah umat-Mu;
tetapi jangan terlalu keras,
dan jangan hukum kami ketika Engkau sedang murka,
kerana tentu kami semua akan binasa.
25 Lampiaskanlah kemurkaan-Mu
kepada bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau,
dan kepada orang yang menolak Engkau.
Mereka telah membinasakan umat-Mu;
mereka telah menghancurkan kami sama sekali
dan memusnahkan negeri kami.