Yeremia Dibawa ke Mesir
43
1 Aku telah menyampaikan setiap firman TUHAN, Allah Israel, yang wajib kusampaikan kepada mereka.
2 Kemudian Azarya anak Hosaya dan Yohanan anak Kareah dan semua orang lain yang sombong itu berkata kepadaku, “Kamu berdusta! TUHAN, Allah kita, tidak menyuruh kamu melarang kami untuk pergi tinggal di Mesir.
3 Barukh anak Neria telah menghasut kamu untuk menentang kami, supaya orang Babilonia dapat menguasai kami dan membunuh atau mengangkut kami ke Babilonia.”
4 Tiada seorang pun, baik Yohanan atau para pegawai tentera atau rakyat taat kepada perintah TUHAN untuk tetap tinggal di negeri Yehuda.
5 Kemudian Yohanan dan semua pegawai tentera itu membawa setiap orang yang masih tinggal di Yehuda ke Mesir. Mereka dibawa bersama-sama semua orang yang baru pulang dari tempat-tempat mereka tercerai-cerai dahulu;
6 termasuk kaum lelaki, perempuan, anak-anak, dan puteri-puteri raja. Mereka membawa juga semua orang yang diserahkan oleh panglima Nebuzaradan ke bawah penjagaan Gedalya, termasuk Barukh dan aku sendiri.
7 Mereka membantah perintah TUHAN, dan pergi ke Mesir sejauh kota Tahpanhes. +
8 Di sana TUHAN berfirman kepadaku,
9 “Ambillah beberapa buah batu besar dan tanamkanlah semuanya di tanah di depan pintu masuk ke bangunan kerajaan di kota itu. Biarlah beberapa orang Israel nampak engkau melakukannya.
10 Selepas itu beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan membawa hamba-Ku, Raja Nebukadnezar dari Babilonia, ke tempat ini. Diav akan mendirikan takhtanya di atas batu-batu yang engkauw tanam itu, dan dia akan memasang khemah diraja di tempat itu.
11 Nebukadnezar akan datang dan mengalahkan Mesir. Mereka yang ditentukan mati kerana penyakit akan mati kerana penyakit, mereka yang ditentukan menjadi tawanan perang akan menjadi tawanan perang, dan mereka yang ditentukan mati dalam peperangan akan mati dalam peperangan.
12 Aku akan membakar kuil-kuil dewa Mesir, dan raja Babilonia pun akan membakar dewa-dewa mereka itu atau membawa semuanya ke tempat lain. Sebagaimana seorang gembala membersihkan pakaiannya daripada kutu, demikian juga raja Babilonia akan membersihkan Mesir lalu berangkat dengan kemenangan.
13 Dia akan merobohkan tugu-tugu berhala di Heliopolis,x di Mesir, dan membakar kuil-kuil dewa Mesir.”