Perang antara Israel dan Moab
3
1 Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosafat di Yehuda, Raja Yoram putera Raja Ahab menjadi raja Israel. Raja Yoram memerintah di Samaria selama dua belas tahun.
2 Raja Yoram berdosa terhadap TUHAN, tetapi baginda tidak sejahat Raja Ahab, ayahandanya atau Izebel, bondanya. Raja Yoram merobohkan patung berhala yang dibina oleh ayahandanya untuk menyembah Baal.
3 Namun, seperti Raja Yerobeam anak Nebat dahulu, Raja Yoram juga menyebabkan Israel berdosa dan baginda tidak mahu bertaubat.
4 Raja Mesa dari Moab, mempunyai penternakan domba. Tiap-tiap tahun baginda memberi raja Israel ufti sebanyak 100,000 ekor anak domba, dan bulu domba daripada 100,000 ekor domba.
5 Tetapi apabila Raja Ahab dari Israel mangkat, Raja Mesa memberontak terhadap Israel.
6 Oleh itu Raja Yoram segera meninggalkan Samaria lalu mengumpulkan segenap tenteranya.
7 Baginda mengirim berita berikut kepada Raja Yosafat di Yehuda, “Raja Moab telah memberontak terhadap beta. Mahukah tuanku berperang bersama dengan beta untuk melawan raja Moab?”
“Baiklah,” jawab Raja Yosafat. “Beta bersedia menolong tuanku. Demikian juga anak buah dan pasukan berkuda beta.
8 Jalan manakah harus kita ikut untuk menyerang mereka?”
Raja Yoram bertitah, “Baiklah kita mengambil jalan jauh, yang melalui padang gurun Edom.”
9 Demikianlah Raja Yoram bersama-sama raja Yehuda dan raja Edom keluar berperang. Setelah tujuh hari perjalanan, mereka kehabisan air minum, sehingga tentera mereka dan binatang pengangkut barang-barang mereka kehausan.
10 “Malanglah kita,” seru Raja Yoram, “kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kita bertiga kepada raja Moab!”
11 Raja Yosafat bertanya, “Adakah seorang nabi di sini, supaya kita dapat minta petunjuk daripada TUHAN?”
Seorang pegawai tentera Raja Yoram menjawab, “Elisa anak Safat berada di sini. Dia bekas pembantu Elia.”
12 Raja Yosafat berkata, “Betul! TUHAN memang berfirman melalui dia.” Lalu tiga orang raja itu pergi kepada Elisa.
13 Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapa hamba harus menolong tuanku? Pergilah bertanya kepada nabi-nabi ayahanda dan bonda tuanku dahulu!”
“Tidak,” jawab Raja Yoram. “Kerana TUHAN telah merancang untuk menyerahkan kami bertiga kepada raja Moab.”
14 Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi TUHAN yang hidup, bahawa jika bukan kerana hamba menghormati Raja Yosafat dari Yehuda, hamba tidak akan menolong tuanku.
15 Sekarang panggillah seorang pemain kecapi.”
Sementara pemain kecapi itu memainkan kecapinya, kuasa TUHAN meliputi Elisa,
16 lalu dia berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Galilah beberapa parit di dasar anak sungai yang kering ini.
17 Walaupun tidak ada hujan atau angin, dasar sungai kecil ini akan penuh dengan air. Lalu engkau serta ternakan dan binatang pengangkut barang-barangmu akan mendapat cukup air minum.’”
18 Elisa meneruskan lagi, “Perkara ini mudah bagi TUHAN. Dia juga akan memberi tuanku kemenangan terhadap orang Moab.
19 Tuanku akan mengalahkan semua kota mereka yang berkubu dan yang indah. Tuanku akan menebang semua pokok buah-buahan mereka, menutup semua mata air dan semua ladang mereka yang subur akan dilempari batu sampai rosak sama sekali.”
20 Esok paginya, pada masa korban pagi biasa dipersembahkan, air mengalir dari arah Edom lalu memenuhi dasar sungai yang kering itu.
21 Apabila orang Moab mendengar bahawa tiga orang raja itu telah tiba untuk menyerang mereka, semua kaum lelaki yang sanggup berperang, daripada yang paling tua sampai kepada yang paling muda, dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri.
22 Apabila mereka bangun esok paginya, matahari menyinari permukaan air sehingga kelihatan merah seperti darah.
23 “Lihatlah, darah!” seru mereka. “Ketiga-tiga pasukan tentera musuh kita tentu telah berlawan dan membunuh satu sama lain! Marilah kita pergi menjarah perkhemahan mereka!”
24 Tetapi apabila orang Moab sampai di tempat perkhemahan, tentera Israel menyerang dan mengalahkan mereka. Orang Israel terus mengejar sambil membunuh orang Moab
25 serta memusnahkan kota-kota mereka. Apabila mereka melalui ladang yang subur, tiap-tiap orang Israel melontarkan batu ke situ, sehingga semua ladang itu diliputi batu. Mereka juga menutup semua mata air di situ dan menebang semua pokok buah-buahan. Akhirnya hanya ibu kota Kir-Hareset yang tertinggal. Kota itu juga dikepung dan dilontari batu dengan humban.
26 Apabila raja Moab sedar bahawa baginda telah kalah, baginda membawa 700 orang askar yang berpedang bersama dengan baginda, lalu cuba menembusi pertahanan raja Edom,c tetapi gagal.
27 Oleh itu raja Moab membawa putera mahkota ke atas tembok kota lalu mempersembahkannya sebagai korban kepada dewa negeri Moab. Orang Israel ketakutand sehingga mereka undur dari kota itu, lalu pulang ke negeri mereka sendiri.