Ajaran Yesus tentang Doa
(Mat 6.9-13, 7.7-11)
11
1 Pada suatu hari, Yesus berdoa di suatu tempat. Setelah Dia berdoa, salah seorang pengikut-Nya berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, ajarlah kami berdoa sebagaimana Yohanes mengajar pengikutnya berdoa.”
2 Yesus berkata kepada mereka, “Berdoalah demikian,
‘Ya Bapa,
Engkaulah Allah yang Esa.
Semoga Engkau disembah dan dihormati.
Engkaulah Raja kami.
Semoga Engkau memerintah di bumi.
3 Berilah kami makanan yang kami perlukan setiap hari.r
4 Ampunkanlah dosa kami, kerana kami pun mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami.
Dan janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai.’”
5 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Seandainya seorang daripada kamu pergi ke rumah kawannya pada tengah malam, lalu berkata, ‘Hai kawan, pinjami aku tiga ketul roti,
6 kerana sahabatku yang sedang dalam perjalanan singgah di rumah, dan aku tidak mempunyai makanan untuk dia!’
7 Seandainya kawanmu itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku! Pintu sudah dikunci dan aku dengan anak-anak sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu.’”
8 Yesus berkata, “Lalu bagaimana? Ketahuilah, meskipun kamu kawannya, dia tidak mahu bangun dan memberikan roti kepada kamu. Tetapi kerana kamu tidak segan untuk terus-menerus meminta, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan.
9 Oleh itu Aku berkata kepada kamu: Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu.
10 Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya, dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya.
11 Siapakah antara kamu selaku bapa akan memberikan ular kepada anaknya ketika dia meminta ikan?
12 Atau adakah kamu akan memberikan kala jengking ketika dia meminta telur?
13 Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-NyaJ kepada mereka yang meminta daripada Bapa!”
Yesus dan Beelzebul
(Mat 12.22-30; Mrk 3.20-27)
14 Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan,
15 tetapi ada beberapa orang yang berkata, “Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” +
16 Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. +
17 Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur.
18 Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul.
19 Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah!
20 Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu.
21 Apabila seorang kuat yang bersenjata lengkap, menjaga rumahnya sendiri, semua miliknya akan selamat.
22 Tetapi jika seorang yang lebih kuat menyerang dan mengalahkan dia, orang itu akan merampas semua senjata yang digunakan pemilik itu, lalu membahagi-bahagikan apa yang dicurinya.
23 Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!” +
Kembalinya Roh Jahat
(Mat 12.43-45)
24 “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika roh jahat itu tidak dapat menjumpai tempat tinggal, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’
25 Ketika roh itu kembali, roh itu mendapati rumah itu bersih dan teratur.
26 Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.”
Kebahagiaan yang Sejati
27 Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!”
28 Tetapi Yesus menjawab, “Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!”
Orang Ramai Meminta Mukjizat
(Mat 12.38-42)
29 Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus. +
30 Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini. +
31 Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo! +
32 Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!” +
Terang dan Gelap
(Mat 5.15, 6.22-23)
33 “Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu.s Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya. +
34 Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita.
35 Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap.
36 Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.”
Yesus Mencela Orang Farisi dan Guru Taurat
(Mat 23.1-36; Mrk 12.38-40)
37 Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan.
38 Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu.
39 Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, “Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan.
40 Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam?
41 Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih.
42 Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain. +
43 Malanglah kamu orang Farisi! Kamu suka akan tempat duduk khas di dalam rumah ibadat dan kamu suka dihormati di pasar.
44 Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari.”
45 Salah seorang guru Taurat berkata kepada Yesus, “Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga!”
46 Yesus menjawab, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.
47 Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu.
48 Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu.
49 Itulah sebabnya Kebijaksanaan Allah berkata, ‘Aku akan mengutus nabi dan utusan kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya!’
50 Demikianlah orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi sejak dunia ini diciptakan,
51 mulai daripada pembunuhan Habel sehingga pembunuhan Zakharia yang berlaku di antara mazbah dan Tempat Suci itu. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi itu. +
52 Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!”
53 Apabila Yesus meninggalkan tempat itu, guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Yesus. Mereka menyoal Yesus tentang banyak hal
54 dengan maksud untuk memerangkap Dia. Mereka berusaha untuk mencari kesalahan Yesus ketika Dia berkata-kata.
r 11:3 makanan yang kami perlukan; atau makanan untuk esok hari.
J 11:13 Roh-Nya; Harfiah: Roh Kudus.
+ 11:15 Mat 9.34, 10.25
+ 11:16 Mat 12.38, 16:1; Mrk 8.11
+ 11:23 Mrk 9.40
+ 11:29 Mat 16.4, Mrk 8.12
+ 11:30 Yun 3.4
+ 11:31 1 Raj 10.1-10; 2 Taw 9.1-12
+ 11:32 Yun 3.5
s 11:33 Dalam beberapa buah naskhah kuno tidak ada kata-kata: menaruh pelita itu di bawah pasu.
+ 11:33 Mat 5.15; Mrk 4.21; Luk 8.16
+ 11:42 Im 27.30
+ 11:51 Kej 4.8; 2 Taw 24.20-21