Perumpamaan tentang Seorang Balu dengan Seorang Hakim
18
1 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa.
2 Yesus berkata, “Di sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun.
3 Di kota itu juga ada seorang balu yang selalu datang kepada hakim itu untuk memohon supaya perkaranya dibela. ‘Tolonglah saya menghadapi lawan saya,’ kata balu itu.
4 Sudah lama hakim itu tidak mahu menolong balu itu, tetapi akhirnya hakim itu berkata dalam hati, ‘Sungguhpun aku tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun,
5 tetapi kerana balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!’”
6 Lalu Tuhan berkata, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang jahat itu!
7 Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang malam? Adakah Dia akan berlambat-lambat untuk menolong mereka?
8 Percayalah, Allah akan membela mereka dengan segera! Tetapi, adakah Anak Manusia akan menjumpai orang yang percaya kepada-Nya di bumi ini, apabila Dia datang?”
Perumpamaan tentang Orang Farisi dan Pemungut Cukai
9 Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik.
10 Yesus berkata, “Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai.
11 Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa,a ‘Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.
12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.’
13 Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!’”
14 Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.” +
Yesus Memberkati Anak-Anak
(Mat 19.13-15; Mrk 10.13-16)
15 Beberapa orang membawa anak-anak kecil kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada anak-anak itu dan memberkati mereka. Ketika pengikut Yesus nampak hal itu, mereka menegur orang di situ.
16 Tetapi Yesus memanggil anak-anak itu lalu berkata, “Biarlah anak-anak datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang semacam inilah yang akan menikmati Pemerintahan Allah.
17 Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang anak, tidak akan menikmati Pemerintahan-Nya.”
Tentang Orang Kaya
(Mat 19.16-30; Mrk 10.17-31)
18 Seorang pemimpin Yahudi bertanya kepada Yesus, “Ya Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
19 Yesus bertanya kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah.
20 Kamu mengetahui hukum Allah: ‘Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu dan hormatilah ibu bapamu.’” +
21 Orang itu menjawab, “Sejak muda saya menurut segala hukum itu.”
22 Apabila Yesus mendengar hal itu, Dia berkata kepadanya, “Masih ada satu perkara yang harus kamu lakukan: Juallah segala hartamu lalu dermakan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian ikutlah Aku.”
23 Tetapi apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, dia sedih kerana dia sangat kaya.
24 Yesus melihat bahawa dia sedih. Oleh itu Dia berkata, “Alangkah susahnya bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah!
25 Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”
26 Orang yang mendengar kata-kata Yesus bertanya, “Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?”
27 Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Allah!”
28 Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan rumah tangga untuk mengikut Guru.”
29 “Betul!” kata Yesus. “Percayalah, sesiapa yang meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara, atau ibu bapa, atau anak-anak kerana mengabdikan diri kepada Allah,M
30 akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda pada masa ini, dan pada zaman yang akan datang dia akan menerima hidup sejati dan kekal.”
Kali Ketiga Yesus Berkata tentang Kematian-Nya
(Mat 20.17-19; Mrk 10.32-34)
31 Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, “Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku.
32 Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia.
33 Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula.”
34 Semuanya itu tidak difahami sedikit pun oleh pengikut Yesus. Makna ucapan itu dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Yesus.
Yesus Menyembuhkan Seorang Buta
(Mat 20.29-34; Mrk 10.46-52)
35 Yesus hampir tiba di Yerikho. Di situ ada seorang buta yang sedang duduk di pinggir jalan meminta sedekah.
36 Apabila orang buta itu mendengar orang ramai lalu di situ, dia bertanya, “Apa sedang berlaku?”
37 Mereka memberitahu dia, “Yesus, orang Nasaret itu, lalu.”
38 Segera dia berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah saya!”
39 Semua orang yang di hadapan memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi dia berseru lebih kuat lagi, “Anak Daud, kasihanilah saya!”
40 Yesus berhenti dan menyuruh orang membawa orang buta itu kepada-Nya. Apabila dia tiba, Yesus bertanya kepadanya,
41 “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?”
Orang buta itu menjawab, “Tuan, saya ingin melihat semula.”
42 Yesus berkata kepadanya, “Jika demikian, lihatlah! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh.”
43 Seketika itu juga dia dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus, sambil memuliakan Allah. Apabila orang ramai nampak hal itu, mereka memuji Allah.