Muslihat terhadap Yesus
(Mat 26.1-5; Mrk 14.1-2; Yoh 11.45-53)
22
1 Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paska sudah dekat. +
2 Para ketua imam dan guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus dengan diam-diam, kerana mereka takut akan orang ramai.
Yudas Bersetuju Mengkhianati Yesus
(Mat 26.14-16; Mrk 14.10-11)
3 Kemudian Iblis memasuki Yudas yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus.
4 Lalu Yudas pergi berunding dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang bagaimana dia boleh menyerahkan Yesus kepada mereka.
5 Mereka gembira dan bersetuju memberikan wang kepadanya.
6 Yudas pun bersetuju dan mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai.
Persiapan Jamuan Paska
(Mat 26.17-25; Mrk 14.12-21; Yoh 13.21-30)
7 Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska.
8 Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.”
9 Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?”
10 Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya,
11 lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’
12 Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.”
13 Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
Perjamuan Tuhan
(Mat 26.26-30; Mrk 14.22-26; 1 Kor 11.23-25)
14 Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu.
15 Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku!
16 Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.”
17 Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri.
18 Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.”
19 Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.”
20 Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu.c +
21 Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! +
22 Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!”
23 Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu.
Pertengkaran tentang Siapa yang Terbesar
24 Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. +
25 Yesus berkata kepada mereka, “Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut ‘Pelindung Rakyat’.
26 Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecil dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. + +
27 Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. +
28 Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku.
29 Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu.
30 Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.” +
Nubuat bahawa Petrus akan Menyangkal Yesus
(Mat 26.31-35; Mrk 14.27-31; Yoh 13.36-38)
31 “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam.
32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.”
33 Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!”
34 Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.”
Dompet, Beg, atau Pedang
35 Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?”
“Tidak!” jawab mereka. +
36 “Tetapi sekarang,” kata Yesus, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang.
37 Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: ‘Dia dianggap sebagai penjahat’. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.” +
38 Semua pengikut-Nya berkata, “Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang.”
Yesus menjawab, “Cukuplah!”d
Yesus Berdoa di Bukit Zaitun
(Mat 26.36-46; Mrk 14.32-42)
39 Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia.
40 Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.”
41 Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu.
42 Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.”
43 Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia.
44 Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.e
45 Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih.
46 Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.”
Yesus Ditangkap
(Mat 26.47-56; Mrk 14.43-50; Yoh 18.3-11)
47 Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia.
48 Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?”
49 Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, “Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!”
50 Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya.
51 Yesus berkata, “Sudahlah!” Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52 Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, “Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku?
53 Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.” +
Petrus Menyangkal Yesus
(Mat 26.57-58, 69-75; Mrk 14.53-54, 66-72; Yoh 18.12-18, 25-27)
54 Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh.
55 Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya.
56 Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, “Orang ini juga bersama-sama Yesus!”
57 Tetapi Petrus menafikannya, “Aku tidak mengenal orang itu!”
58 Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, “Kamu juga seorang daripada mereka!”
Tetapi Petrus menjawab, “Bukan!”
59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, “Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!”
60 Tetapi Petrus menjawab, “Aku tidak faham apa yang kamu katakan!”
Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
61 Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, “Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.”
62 Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu.
Yesus Dipermainkan dan Dipukul
(Mat 26.67-68; Mrk 14.65)
63 Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia.
64 Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, “Tekalah, siapakah yang memukul kamu?”
65 Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus.
Yesus di hadapan Majlis Agama
(Mat 26.59-66; Mrk 14.55-64; Yoh 18.19-24)
66 Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama.
67 Mereka berkata, “Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?”
Yesus menjawab, “Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya.
68 Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab.
69 Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.”
70 Mereka semua bertanya, “Adakah kamu ini Anak Allah?”
Yesus menjawab, “Begitulah yang kamu katakan.”
71 Mereka berkata, “Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!”
+ 22:1 Kel 12.1-27
c 22:20 Dalam beberapa buah naskhah lain ayat 18 berakhir dengan: Inilah tubuh-Ku. Kata-kata yang selanjutnya sehingga ayat 20 tidak dituliskan.
+ 22:20 Yer 31.31-34
+ 22:21 Mzm 41.9
+ 22:24 Mat 18.1; Mrk 9.34; Luk 9.46
+ 22:26 Mat 20.25-27, 10.42-44
+ 22:26 Mat 23.11; Mrk 9.35
+ 22:27 Yoh 13.12-15
+ 22:30 Mat 19.28
+ 22:35 Mat 10.9-10; Mrk 6.8-9; Luk 9.3, 10.4
+ 22:37 Yes 53.12
d 22:38 Cukuplah; atau Sudahlah, jangan cakap lagi.
e 22:44 Beberapa buah naskhah lain tidak mempunyai ayat 43 dan 44.
+ 22:53 Luk 19.47, 21.37